• Mon, Nov 2025

CHILL’X: HAB INOVASI DAN SIMULASI DUNIA PERUNCITAN FAKULTI KEUSAHWANAN DAN PERNIAGAAN

CHILL’X: HAB INOVASI DAN SIMULASI DUNIA PERUNCITAN FAKULTI KEUSAHWANAN DAN PERNIAGAAN

Chill’X ialah makmal peruncitan di FKP UMK yang ditubuhkan bagi menyokong pembelajaran amali berasaskan OBL. Dibangunkan sejak 2014 dan beroperasi pada 2016, ia menjadi ruang simulasi sebenar untuk pelajar mempraktikkan operasi runcit, merchandising, dan promosi. Chill’X kini simbol inovasi, kolaborasi, serta pemangkin kemahiran dan pengalaman industri.

Chill’X, sebuah Makmal Peruncitan yang terletak di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merupakan satu inisiatif strategik fakulti dalam memperkukuh pembelajaran berasaskan amali khususnya dalam bidang peruncitan. Penubuhannya bukan sekadar untuk menyediakan ruang fizikal, tetapi untuk membina satu ekosistem pembelajaran yang selari dengan keperluan industri dan pendekatan Outcome Based Learning (OBL) .

Idea penubuhan Chill’X mula tercetus sekitar tahun 2014 hasil sesi brainstorming yang diadakan bersama kumpulan pensyarah peruncitan FKP yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Wee (mantan Ketua Program Peruncitan ketika itu), Dr. Azila Jaini, Puan Nurul Hasliana Hamsani, Puan Nadia Hanum Amiruddin, dan saya sendiri, Dr. Nik Syuhailah Nik Hussin. Dalam sesi perbincangan tersebut, kami berkongsi aspirasi untuk menubuhkan sebuah makmal yang dapat menjadi simulasi bagi pelajar kursus peruncitan — tempat mereka bukan sekadar belajar teori, tetapi turut mengalami suasana sebenar dunia runcit dalam suasana kampus. Lokasi awal dikenalpasti adalah bersebelahan hostel pelajar (lampiran gambar)

Perancangan tersebut mengambil masa yang panjang dengan pelbagai perbincangan, cabaran logistik, serta usaha untuk mendapatkan kelulusan dan sokongan daripada pihak Fakulti dan universiti. Akhirnya, hasil kerja keras, komitmen, dan semangat kolaboratif antara pensyarah serta pelajar, Chill’X  berjaya direalisasikan dan dirasmikan pada tahun 2016 . Nama di awal penubuhan Chill’X Mini Market kemudian berubah kepada beberapa nama seperti Chill’X Mart, Chill’X Corner, namun ia tidak mengubah tujuan asal untuk bagi pendedahan kepada pelajar. 

Bagi menyokong OBL inipelajar bukan sahaja dinilai berdasarkan pemahaman teori, tetapi juga keupayaan mereka mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi sebenar, berfikir secara kritikal, dan menyelesaikan masalah dalam konteks perniagaan sebenar. Makmal ini menjadi “ruang eksperimen” di mana teori dan amalan disatukan bagi menghasilkan pelajar yang kompeten, inovatif, dan bersedia untuk ke dunia pekerjaan. Makmal ini berfungsi untuk meningkatkan kemahiran pelajar dalam beberapa kursus seperti Retail Operation , Retail Merchandise Management , Visual Merchandising , dan kursus lain yang bersesuaian.

Sejak awal penubuhannya, Ketua Program Peruncitan amat menggalakkan pensyarah untuk mengintegrasikan tugasan pelajar dengan aktiviti yang dijalankan di makmal simulasi ini. Masih ingat lagi pelajar kohort pertama Peruncitan diberi tugasan yang berkaitan terus dengan Chill’X iaitu mereka perlukan siapkan logo dan tagline Chill’X bagi kursus Penjenamaan. Malah ada antara tugasan yang memerlukan pelajar merancang susun atur kedai, mengenal pasti kategori produk, serta mencipta strategi promosi untuk menarik pelanggan. Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan tugasan lebih bermakna, malah melatih pelajar untuk berfikir seperti usahawan bidang peruncitan. 

Sepanjang perjalanan pembangunan Chill’X, pelbagai pengalaman manis, pahit, dan mencabar telah dilalui bersama. Dari proses menyiapkan ruang, menyusun barangan, mengurus stok, hingga mengadakan simulasi jualan sebenar — semuanya menjadi kenangan yang tidak ternilai bagi kami sebagai tenaga pengajar dan juga pelajar yang terlibat secara langsung. Banyak pelajar yang pada awalnya kekok akhirnya menunjukkan peningkatan luar biasa dalam kemahiran komunikasi, kreativiti, serta pengurusan masa hasil daripada pengalaman yang diperoleh melalui makmal ini.

Chill’X kemudiannya berkembang menjadi lebih daripada sekadar ruang akademik. Ia menjadi tempat perbincangan dan bonding antara pelajar dan pensyarah. Di sinilah tempat pelajar menyiapkan tugasan, bertukar pandangan, dan meluangkan masa untuk belajar dalam suasana santai tetapi produktif. Pensyarah pula sering menggunakan ruang ini untuk merancang aktiviti pembelajaran dan perbincangan strategik bagi memperkukuh pendekatan pengajaran dalam kursus peruncitan.

Selain itu, pelajar juga pernah diberikan peluang untuk bekerja sambilan di makmal ini dengan bayaran gaji mengikut jam. Program ini memberi mereka peluang hands-on sebenar dalam menguruskan operasi kedai — dari mengatur stok hingga melayani pelanggan. Pengalaman ini memberi nilai tambah kepada kebolehpasaran mereka apabila memasuki dunia pekerjaan sebenar.

Operasi Chill’X sekarang diselia oleh seorang pensyarah peruncitan yang bertanggungjawab memastikan segala aktiviti berjalan lancar, selain menjadi penghubung antara pelajar, pensyarah, dan pihak pengurusan. Kehadiran penyelia ini bagi memastikan Chill’X sentiasa berfungsi dengan baik dan relevan dengan keperluan pembelajaran semasa.

Kini, sejak idea asalnya dicetuskan, Chill’X terus berdiri sebagai simbol inovasi, kolaborasi, dan dedikasi. Ia bukan sekadar makmal, tetapi lambang semangat perjuangan dan komitmen pensyarah serta pelajar yang menjayakannya. Setiap sudut tempat ini menyimpan kisah usaha gigih, idea kreatif, dan kenangan indah yang tidak mungkin dilupakan. Chill’X bukan hanya tempat belajar — ia adalah nadi yang menghubungkan ilmu, pengalaman, dan nilai kemanusiaan dalam dunia pendidikan peruncitan.