• Sun, Sep 2025

DARI ARCHIMEDES KE EINSTEIN: KUASA MOMEN A HA DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

DARI ARCHIMEDES KE EINSTEIN: KUASA MOMEN A HA DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

Aa… betul le. Kenapa tadi idea ni tak sampai? Pernah tak anda mengalami situasi sebegini? Pendek kata semua pernah. Keadan ini dikenali sebagai “ Momen Eureka ” atau “Momen A Ha”.

Momen A Ha merujuk kepada saat di mana seseorang tiba-tiba mendapat pemahaman yang mendalam atau pencerahan mengenai sesuatu yang sebelumnya sukar difahami. Ini juga dikenali sebagai Momen Eureka, di mana idea atau penyelesaian kepada masalah muncul secara tiba-tiba seolah-olah ada "lampu menyala" dalam minda mereka

Salah satu sejarah yang tercetus dari Momen A Ha ialah kisah Archimedes , seorang ahli Matematik dan ilmuwan Yunani kuno. Dikatakan bahawa Archimedes menemui prinsip daya apungan ketika beliau sedang mandi. Penemuan ini memberi Archimedes idea mengenai prinsip daya apungan, yang kemudian menjadi asas penting dalam Fizik. Dalam kegembiraan, Archimedes dikatakan melompat keluar dari tab mandi dan berlari menyusuri jalan-jalan di Syracuse sambil menjerit "Eureka!" yang bermaksud "Saya telah menemuinya!". Manakala Albert Einstein, salah seorang ahli Fizik berpengaruh, sering dikaitkan penemuan idea-idea revolusioner tentang cahaya, masa dan ruang. Beliau menyifatkan dalam teori relatifnya bahawa kepantasan cahaya bergerak adalah tetap dan spontan.

Dari Archimedes hingga Einstein, momen-momen ini telah menjadi pencetus kepada banyak penemuan penting yang membentuk dunia kita hari ini. Dalam psikologi, ia terus menjadi topik penting dalam memahami bagaimana minda manusia menyelesaikan masalah dan mencapai pemahaman yang lebih mendalam.

Dalam kehidupan seharian,  Momen A Ha    ini boleh berlaku dalam pelbagai situasi. Misalnya, di tempat kerja, mungkin kita sedang mencari cara untuk meningkatkan produktiviti pasukan kerja. Sebagai rakan, kita telah mencuba pelbagai strategi, tetapi tidak ada yang benar-benar berkesan. Kemudian, dalam satu perbincangan santai dengan rakan sekerja, kita terdengar sesuatu yang tiba-tiba memberi idea baru. Dengan itu, kita  menyedari bahawa inilah penyelesaian yang sedang pasukan cari selama ini. Ini juga boleh berlaku dalam sesi pembelajaran; mungkin kita  sedang membaca satu topik yang sukar difahami. Selepas berulang kali membaca dan membuat nota, tiba-tiba satu konsep yang kabur sebelum ini menjadi jelas. Dalam aktiviti melibatkan kreativiti, Momen A Ha ini mungkin berlaku ketika seseorang sedang buntu mencari idea, dan tiba-tiba inspirasi datang dari sesuatu yang dilihat atau didengari.

Proses ini melibatkan gabungan pemikiran bawah sedar dan pengalaman yang sudah dimiliki. Ketika minda seseorang beralih dari fokus aktif kepada rehat atau aktiviti lain, otak bawah sedar terus bekerja dengan maklumat yang sedia ada, cuba mengaitkan hubungan antara pelbagai elemen yang sebelumnya tidak berkaitan. Apabila hubungan ini ditemui titik noktah, maka berlakulah  Momen A Ha .

Momen A Ha membawa kepada perasaan kepuasan dan pencapaian yang tinggi kerana ia melibatkan pencerahan terhadap masalah atau situasi yang sebelumnya menimbulkan kekeliruan. Ia juga boleh membawa kepada peningkatan motivasi dan keyakinan, serta mendorong kreativiti dan inovasi. Contohnya, dalam konteks pekerjaan atau pembelajaran,  Momen A Ha boleh membawa kepada idea-idea baru yang inovatif atau pemahaman yang lebih mendalam.

Momen ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan motivasi dan keyakinan diri. Perasaan ini mendorong kita untuk terus berusaha, belajar, dan menghadapi cabaran lain dengan lebih bersemangat. Ia turut memberi isyarat bahawa kita  mempunyai keupayaan otak dalam memahami perkara yang kompleks dan dapat memperkuat keyakinan diri untuk mencapai kejayaan. Kita juga dapat membina asas yang kukuh dan mantap dalam menghadapi situasi-situasi sukar di masa hadapan dan meneroka peluang-peluang baru. 

Secara keseluruhannya, Momen    A Ha adalah kunci untuk memperbaiki motivasi, keyakinan diri, dan peningkatan diri, yang seterusnya membolehkan kita menjalankan urusan dengan lebih baik dan membina hubungan yang lebih positif dengan orang sekeliling. Momen-momen pencerahan ini bukan sahaja memperkaya kehidupan kita, tetapi juga menjadikan kita lebih berjaya dalam menghadapi cabaran dan mencapai matlamat kita.