• Fri, Apr 2024

DILEMA PELAJAR: BELAJAR ATAU BERNIAGA?

DILEMA PELAJAR: BELAJAR ATAU BERNIAGA?

Para remaja menghadapi dilema sama ada untuk mengejar pengalaman bekerja atau melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Mereka perlu memilih dengan bijak bagi memastikan masa depan terjamin

Ekonomi dunia mengalami perubahan selepas berlakunya pandemik Covid-19 dan ia akan mengambil masa untuk pulih seperti sediakala. Perancangan yang rapi adalah penting bagi memastikan masa depan terjamin dan cerah. Oleh yang demikian, tindakan terbaik perlu dipertimbangkan dengan perancangan dan kemampuan dengan keadaan ekonomi semasa. 

Pelajar khususnya perlu mempunyai perancangan yang baik. Ini kerana mereka adalah dalam golongan yang banyak dipengaruhi oleh rakan sebaya, media sosial dan persekitaran. Golongan ini menghadapi dilema sama ada untuk mengejar ilmu hingga ke menara gading atau mengejar pengalaman berkerja serta berniaga. 

Selepas pandemik Covid-19 melanda dunia, era pendigitalan telah mengambil alih kehidupan kita semua. Bermula dari sistem pembelian dalam talian sehinggalah pembelajaran dalam talian, semuanya bergantung kepada pendigitalan dan revolusi IR4.0. Pembelian dalam talian telah meningkat lebih 100% semasa pandemik Covid-19 dan hampir lebih setahun setengah, sistem pendidikan negara dijalankan secara atas talian, ini membuktikan bahawa sistem pembelajaran masih lagi boleh dijalankan walaupun tidak secara bersemuka. Oleh yang demikian tiada halangan pelajar untuk belajar sambil berniaga. Tetapi persoalannya, adakah mereka dapat memberi tumpuan untuk belajar dan berniaga?

Untuk menjadi usahawan pula, mereka perlu berilmu, sanggup menghadapi risiko, proaktif, cekap dalam menguruskan masa dan berpandangan jauh. Semua ciri-ciri ini sangat penting bagi mereka yang hendak menjadi usahawan. Sebagai contoh berilmu, usahawan perlu berilmu untuk menguruskan perniagaan mereka dari segi pengurusan inventori, pengurusan kewangan, pengurusan sumber manusia dan sebagainya. Sekiranya tanpa ilmu, mereka tidak akan kekal dalam bidang yang diceburi. Selain itu juga, sebagai usahawan mereka perlu bijak dalam menyelesaikan masalah yang timbul. Masalah yang biasa berlaku adalah pelanggan, pembekal, keuntungan, kerugian dan muflis. Ini kerana, untuk memulakan perniagaan memerukan modal yang besar, sekiranya tanpa pengurusan yang cekap dan bijak akan mendorong kepada kegagalan.

Kebanyakkan universiti awam telah menawarkan kursus-kursus keusahawanan kepada pelajar yang mendedahkan mereka pengetahuan dan kemahiran secara teori dan amali. Dengan kursus-kursus keusahawan yang ditawarkan ini dapat membantu melahirkan graduan yang usahawan setelah mereka tamat belajar nanti. Secara purata jumlah pelajar yang tamat pengajian setiap tahun adalah lebih dari 200 ribu orang setahun dan dalam 4 orang yang tamat belajar, seorang tidak mendapat pekerjaan dalam tempoh 6 bulan. Ini menyebabkan penggangur dikalangan graduan adalah sebanyak 31.4%. Universiti awam telah Berjaya melahirkan graduan usahawan sebagai contoh UMK telah melahirkan graduan usahawan yang berjaya seperti usahawan produk makanan sejuk beku (Risoles) Hasmira Che Omar, usahawan Pes Oden oleh Imir Jibri Mohd Nasir dan Wan Azehan Helmi Wan Abdul Halim dan ramai lagi graduan usahawan yang diahirkan di UMK.

Dengan adanya ilmu keusahawanan, pelajar secara tidak langsung dapat memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dahulu semasa mereka masih lagi belajar dan meneruskan perniagaan mereka setelah tamat belajar nanti dan ini sebagai sumber pendapatan mereka. Secara tidak langsung dapat mengurangkan pengangguran di kalangan graduan. Oleh itu, pilihan untuk belajar dan berniaga adalah kedua-duanya penting. Pelajaran menjamin masa depan dan berniaga menjadi sumber pendapatan. Oleh yang demikian, pelajar harus bijak untuk mengatur kehidupan mereka bagi menjamin masa depan yang lebih cerah nanti. Mereka boleh memilih untuk kesenangan pada masa sekarang atau kesenangan pada masa depan.