• Sun, May 2024

DILEMA PENGGUNA: SIMPAN ATAU BELANJA?

DILEMA PENGGUNA: SIMPAN ATAU BELANJA?

Setelah 2 tahun berperang dengan Covid-19, negara telah beralih kepada fasa endemik dimana kehidupan 32.2 juta penduduk di Malaysia telah kembali normal. Pembukaan sempadan membolehkan pergerakan merentas negeri dan negara dan ini akan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Walaupun kehidupan telah kembali normal, namun peningkatan kadar inflasi menyebabkan pengguna berada dalam dilema, samada berbelanja atau menyimpan?. Apabila inflasi meningkat, ramai pengguna menghadapi dilema baharu: perbelanjaan yang mana perlu dikurangkan?. Namun untuk membuat keputusan adalah sesuatu perkara yang sukar. Sebagai contoh, peningkatan kadar inflasi menyebabkan pengguna terpaksa membuat keputusan samaada memperuntukkan perbelanjaan untuk melancong setelah 2 tahun berkurung di rumah atau simpan wang dengan terus berada dirumah. 

Namun, kesan inflasi adalah berbeza. Tidak semua orang merasa terkesan dengan kenaikan kadar inflasi. Malah, sesetengah pengguna tidak mungkin mengalami dilema kewangan ini sama sekali, dan mungkin masih berbelanja lebih. Kajian daripada Global Web Index (GWI) melaporkan 67% pengguna mengatakan inflasi telah memberikan kesan sederhana yang dramatik kepada mereka dan 25% daripada pengguna mengatakan keadaan kewangan mereka tidak begitu selamat disebabkan inflasi dan 8% pengguna menyatakan inflasi tidak menjejaskan situasi ekonomi mereka.

Semasa negara berada dalam fasa peralihan kepada endemik, kadar inflasi negara telah berada dalam situasi trend menaik. Pada Mac 2022, kadar inflasi adalah pada 2.1% dan meningkat kepada 2.3% pada April 2022 (fasa endemik) dan 2.8% pada May 2022 dan mengalami peningkatan yang ketara pada Jun 2022 kepada 3.4% dan terus meningkat kepada 4.4% pada Julai 2022. Keadaan ini menyebabkan berlaku peningkatan kos sara hidup kepada pengguna dimana pengguna terpaksa menanggung peningkatan kos perbelanjaan untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal dan juga keperluan-keperluan lain untuk keselesaan hidup termasuk kos pendidikan, kos sambungan jalur lebar dan kos kenderaan untuk kegunaan harian. Oleh itu, pengguna akan terus berada dalam dilema samaada untuk terus mengekalkan corak perbelanjaan yang sama walaupun berlaku peningkatan kadar inflasi atau mengurangkan perbelanjaan untuk tujuan menyimpan.   

Dari semasa ke semasa, inflasi meningkatkan kos sara hidup dan mengurangkan kuasa beli pengguna. Jika pendapatan seseorang tidak meningkat pada kadar sama atau lebih tinggi daripada peningkatan inflasi, maka inflasi pasti akan menjejaskan kehidupan mereka dan ekonomi negara. Justeru, dalam keadaan inflasi berterusan, adalah wajar bagi seseorang itu mempertimbangkan pengurusan kewangan yang teliti. Dengan adanya perancangan kewangan yang berhemah, pengguna tidak lagi berada dalam dilema samaada untuk simpan atau belanja.