• Mon, May 2024

EKONOMI DIGITAL DAN USAHAWAN

EKONOMI DIGITAL DAN USAHAWAN

Ekonomi digital merujuk kepada aktiviti ekonomi dan sosial ang melibatkan pengeluaran dan penggunaan teknologi digital oleh individu, perniagaan dan kerajaan.

Pandemik COVID-19 telah mendorong perkembangan ekonomi digital berkembang dan ramai perniagaan tradisional beralih kepada penggunaan dalam talian. Ekonomi digital gelombang baharu mampu mewujudkan pelbagai peluang perniagaan serta pekerjaan, sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat secara menyeluruh, termasuk di luar bandar.

Inisiatif kerajaan telah membangunkan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL). MyDIGITAL menggariskan rancangan untuk mempercepat pencapaian Malaysia sebagai negara ekonomi maju dari segi teknologi, melalui Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia. Rangka tindakan ini menyediakan hala tuju untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berdaya saing di era baharu ini. Inisiatif MyDIGITAL adalah penanda aras yang kritikal untuk merealisasikan Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (RMKe-12), seiring dengan usaha kita menuju Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Objektif MyDIGITAL adalah memastikan rakyat menikmati penambahbaikan literasi digital, pertambahan pekerjaan berpendapatan tinggi, peningkatan kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar; perniagaan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi Malaysia, akan menikmati peluang yang lebih besar untuk membangun dan berkembang pada peringkat domestik, serantau bahkan global melalui pulangan daripada pendigitalan, lebih banyak peluang integrasi antara sektor ekonomi, dan menjadi lebih cekap kos hasil daripada perkongsian ekonomi.

MyDIGITAL mensasarkan kepada perniagaan dengan 30% peningkatan produktivii dalam semua sekor menjelang 2030, 22.6% sumbangan ekonomi digital kepada KDNK Malaysia, 875,000 perusahaan mikro dan sederhana (PMKS) menerima guna e-dagang, menarik dua syarikat unikorn (tempatan atau asing), RM70 bilion pelaburan dalam pendigitalan dan meningkatkan bilangan syarikat permulaan kepada 5,000 syarikat.

MyDIGITAL telah membantu perniagaan untuk berkembang lebih maju selaras dengan sasaran kerajaan iaitu teknologi digial mewujudkan model perniagaan baharu yang mengganggu amalan tradisional, produk dan perkhidmatan fizikal bertukar kepada digital seperi buku dan DVD di stor telah digantikan denagn e-buku dan penstriman video dalam talian dan pengkomputaran awan membolehkan perniagaan memperoleh perkhidmatan tanpa perlu memiliki dan menyenggara asset berkaitan.

Inisiatif daripada Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) di bawah Kemenerian Kewangan juga menubuhkan platform Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi). Peranan PEDi adalah sebagai Pusat Sehenti untuk:

  1. Menyediakan capaian Internet secara kolektif kepada masyarakat dan kawasan yang kurang mendapat liputan jalur lebar;
  2. Masyarakat setempat mengikuti pelbagai kursus dan latihan berasaskan ICT, mengambil bahagian dalam program untuk mengasah kemahiran dalam peniagaan e-dagang, serta aktiviti yang menggalakkan penciptaan digital, penyebaran dan penguasaan ilmu pengetahuan digital.
  3. Meningkatkan kesedaran dan penglibatan komuniti ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi dan memperkasakan modal insan dalam kalangan masyarakat luar bandar dan miskin bandar.
  4. Membimbing dan melahirkan usahawan mikro yang menggunakan teknologi digital, bagi mempergiatkan lagi transformasi pendigitalan perniagaan ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing.

Pelbagai kursus keusahawanan bagi membantu usahawan tempatan untuk menjalankan perniagaan dalam talian yang akan disediakan oleh agensi kerajaan seperti MDEC, HRDF, MEDAC, SME Corp dan swasta seperti AEON dan Shopee. Setiap PEDi menjalankan kursus-kursus dan latihan seperti:

  1. Latihan ICT
  2. Latihan keusahawanan
  3. Latihan multimedia
  4. E-pembelajaran
  5. Latihan pemasaran, pembangunan perniagaan, pembungkusan dan modul lain yang penting bagi usahawan mikro; dan
  6. Program kesedaran serta penglibatan komuniti sebagai usaha ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi dan memperkasakan modal insan

Sebagai kesimpulannya, transformasi digital menjadi agenda utama di PEDi supaya masyarakat di luar bandar dan kawasan miskin bandar boleh memperkasakan diri kepada kegiatan ekonomi serta menambah pendapatan mereka melalui aktiviti ekonomi digital.