Dalam pembentangan bajet 2025, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anuar Ibrahim telah mengumumkan kenaikan gaji minimum pekerja di Malaysia dari RM1,500 kepada RM1,700 sebulan bermula 1 Februari 2025. Pelaksanaan gaji minimum ini terpakai kepada pekerja tetap, pekerja kontrak dan pekerja separa masa. Langkah ini dibuat bagi meningkatkan taraf hidup pekerja dan merapatkan jurang pendapatan. Peningkatan kadar gaji minimum ini bukan sahaja berpotensi untuk meningkatkan kuasa membeli dikalangan pekerja, malahan boleh menyimpan sebahagian daripada pendapatan mereka untuk persediaan kewangan jangka masa panjang.
Namun, dari sudut pandang Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), terutamanya PMKS Bumiputera — pelaksanaan gaji minimum ini bukanlah sesuatu yang mudah. Kita tahu PMKS adalah tulang belakang ekonomi negara, menyumbang lebih 38% kepada KDNK dan menyediakan jutaan peluang pekerjaan. Jadi, sebarang perubahan besar dalam kos operasi memang akan memberi kesan langsung kepada sektor ini.
Antara kesan pelaksanaan gaji minimum kepada PMKS terutama yang mempunyai kurang daripada lima orang pekerja adalah (1) kos operasi akan meningkat, (2) menjejaskan tenaga kerja dan pengambilan dan (3) peningkatan harga barang. PMKS menghadapi kesukaran untuk menampung kos gaji yang lebih tinggi terutama untuk pekerja separa mahir dan berpotensi untuk mengurangkan bilangan pekerja atau menutup perniagaan. Risiko pengurangan tenaga kerja adalah paling ketara samada melalui pengurangan jam kerja, pemecatan pekerja separa mahir dan penggunaan automasi bagi mengurangkan kadar kebergantungan kepada pekerja. Bagi mengurangkan kos operasi, PMKS berpotensi memindahkan kos tambahan dengan menaikkan harga barang atau perkhidmatan, dan ini boleh menjejaskan kuasa membeli di kalangan pengguna.
Pun begitu, semua cabaran ini masih ada jalan keluar. PMKS boleh melihat kenaikan gaji minimum sebagai peluang untuk membuat penyesuaian. Misalannya, melatih pekerja agar mahir dan cekap dalam penggunaan automasi dan teknologi. Dampaknya, produktiviti dan nilai tambah pekerja akan meningkat sekaligus dapat menampung kenaikan kos yang berkaitan. PMKS juga boleh mengambil peluang yang disediakan oleh kerajaan seperti insentif digital, bantuan kos operasi dan latihan kemahiran. Disamping itu, pihak kerajaan juga dicadangkan untuk meneliti model gaji minimum yang berbeza mengikut sektor perniagaan agar beban yang ditanggung lebih seimbang.
Kesimpulannya, walaupun kenaikan gaji minimum memberi tekanan kepada PMKS, dengan strategi yang betul dan sokongan kerajaan, ia boleh ditukar menjadi peluang untuk meningkatkan produktiviti, daya saing, dan kelangsungan perniagaan dalam jangka panjang.