• Mon, May 2024

HALATUJU GIG EKONOMI DAN MASA DEPAN BELIA NEGARA

HALATUJU GIG EKONOMI DAN MASA DEPAN BELIA NEGARA

Bermula daripada aplikasi dalam talian kepada penghantaran makanan dalam talian, perkhidmatan perkongsian perjalanan dan hampir semua aktiviti lain yang boleh dibayangkan, platform digital telah merevolusikan cara orang bekerja, bermain, belajar, bersosial dan membeli serta menjual barangan dan perkhidmatan.

Salah satu perkembangan terkini yang paling menarik ialah peningkatan dan pembangunan berterusan ekonomi gig. Ekonomi gig atau dikenali juga sebagai ‘ekonomi platform’, ‘ekonomi atas permintaan’ dan ‘ekonomi bersama’, merujuk kepada permintaan dan penawaran perkhidmatan jangka pendek atau berdasarkan tugas. Ekonomi gig merupakan antara segmen baharu pekerjaan yang menjadi pilihan ramai susulan pelbagai kesukaran perlu dihadapi ekoran penularan pandemik COVID-19. Menjengah tahun 2020, ekonomi gig mula mendapat tempat malah ribuan sudah mula beralih ke sektor baharu itu yang dilihat mampu menjana lebih pendapatan berbanding beberapa sektor lain.

Perkembangan teknologi digital telah membantu untuk merancakkan ekonomi gig sama ada di peringkat global mahupun nasional.Kebiasaannya, apabila kita membicarakan perihal ekonomi gig, perbincangan pasti akan tertumpu kepada landskap pekerjaan bagi golongan belia dalam mendepani cabaran ekonomi kini. Ekonomi gig bukan sahaja menjadi pilihan belia yang tidak mempunyai pekerjaan sahaja, bahkan ramai juga yang memilih untuk berkecimpung di dalam ekonomi gig untuk menjana pendapatan tambahan melalui perkhidmatan seperti yang dijalankan oleh syarikat Food panda dan Grab. Selain itu, mereka turut dapat menggunakan kepakaran yang dimiliki untuk menjana pendapatan sama ada secara penuh atau separuh masa seperti pereka grafik, konsultan dan sebagainya.

Malaysia telah memberikan tumpuan khas kepada ekonomi gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru dalam merangka Rancangan Malaysia Kedua Belas (2021-2025). Menurut jabatan statistik buruh Malaysia, kadar pengangguran belia bagi umur 15 hingga 24 tahun meningkat kepada 13.1 peratus pada Mac 2022 berbanding 13.0 peratus pada Februari 2022, mencatatkan 361.0 ribu orang penganggur belia (Februari 2022: 356.9 ribu orang). Cabaran paling besar adalah ‘mismatched’ dalam peluang pekerjaan yang disediakan. Bayangkan daripada 1.47 juta pekerjaan yang ditawarkan, hanya 4.5 peratus dikhususkan untuk golongan profesional, lepasan tertiari dan berkemahiran tinggi manakala selebihnya untuk pekerjaan yang berkemahiran rendah.

Persoalannya, adakah ekonomi gig mampu mengatasi masalah pengangguran dan pekerjaan di bawah potensi sebenar (underemployment) di kalangan belia negara? Bagaimana ekosistem ekonomi gig boleh membantu mereka?Bagaimana golongan belia mahu memenuhi pasaran tersebut jika kerja dan upah yang ditawarkan tidak sepadan dengan ilmu dan kemahirannya? Hal tersebut membawa kepada satu isu baru iaitu ‘underemployment’.

Ekonomi gig mampu menyelesaikan masalah pengangguran tetapi bekerja sebagai prekariat sukar untuk mengatasi kemelut ‘underemployment’ dan ‘jobs security’. Jika ini berlaku, golongan belia akan terus terperangkap dalam lingkungan berpendapatan rendah dan sederhana. Hal ini dapat diatasi jika mereka meningkatkan keupayaan dan kebolehan diri dengan kemahiran tinggi dan mempunyai mentaliti keusahawanan yang betul. Mereka perlu mencipta peluang pekerjaan baru dengan menjadi seorang prekariat yang menawarkan pekerjaan profesional dan bernilai tinggi. Keluar daripada kepompong ‘cukup makan’ dan mula membina jenama sendiri. Kini, tiba masanya untuk golongan belia termasuklah para graduan universiti, untuk mengembangkan kemahiran yang dimiliki. Perkara ini amat penting agar mereka dapat menjana pendapatan tanpa perlu berada di dalam tempoh pengangguran disebabkan menunggu peluang-peluang pekerjaan daripada sektor pekerjaan yang sedia ada.