• Wed, Sep 2025

JUALAN RAHMAH: TAK BANYAK, TAPI CUKUP BUAT LEGA

JUALAN RAHMAH: TAK BANYAK, TAPI CUKUP BUAT LEGA

Jualan Rahmah bantu rakyat tangani inflasi dengan harga mampu milik. Walaupun ada isu akses dan kualiti, program ini beri kelegaan serta didik pengguna berjimat cermat. Kejayaannya bergantung pada penyampaian lebih cekap dan penglibatan peniaga kecil.

Dalam keadaan ekonomi yang makin mencabar, harga barang bukan lagi sekadar angka atas tag. Ia kini jadi lambang kemampuan hidup, penentu pilihan harian, dan kadang-kadang, sumber stres. Bagi ramai rakyat Malaysia, membeli barang asas bukan lagi rutin biasa – ia jadi satu seni bertahan dalam hidup yang makin menghimpit.

Sebab itu, bila kerajaan perkenal Jualan Rahmah , ramai yang rasa lega. Program ini sebahagian daripada Payung Rahmah , cetusan idea mendiang Dato’ Seri Salahuddin Ayub , bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, yang terkenal dengan semangat rakyatnya. Matlamat program ini bukan sekadar bantuan, tapi usaha memastikan semua orang – termasuk golongan B40 dan M40 – tidak tercicir dari perlindungan ekonomi.

Konsep ini bukan asing di rantau kita. Di Thailand , ada program Blue Flag yang tawarkan barang asas dengan harga subsidi. Di Indonesia , mereka ada Operasi Pasar yang bawa barangan terus kepada rakyat melalui trak jualan dan gerai khas – sangat membantu terutama waktu perayaan dan musim inflasi.

Jualan Rahmah juga berfungsi begini – kerjasama antara kerajaan, pasar raya, pengeluar dan pemborong bagi turunkan harga barang penting seperti minyak, beras, ayam dan gula. Tapi, timbul persoalan: Betul ke program ni bantu semua orang? Atau sekadar lega sementara?

Jawapannya berbeza ikut siapa yang ditanya. Bagi sesetengah pengguna, terutama yang bergaji harian, program ini memang penyelamat. Mereka dapat jimat dan guna duit itu untuk keperluan lain – ubat, belanja sekolah atau simpanan. Tapi ada juga yang rasa kurang puas hati – terutamanya golongan kelas pertengahan. Isu utama: kualiti barang, lokasi jualan yang jauh, stok cepat habis, atau tak tahu pun bila dan di mana jualan berlangsung.

Masalah komunikasi dan penyampaian maklumat jadi faktor besar. Kalau pengguna tak tahu lokasi atau masa jualan, promosi tak sampai, atau pengalaman beli tak best – lama-lama mereka tak datang lagi. Tambah pula dengan waktu kerja yang tak fleksibel dan jarak lokasi yang jauh, ramai akhirnya terpaksa lepaskan peluang.

Tapi tak boleh dinafikan – penjimatan kecil tetap beri impak besar. Dalam ekonomi isi rumah, walau jimat RM10–20 seminggu pun, itu dah cukup untuk top up perbelanjaan lain. Jualan Rahmah juga beri tekanan kepada pasaran supaya peniaga lain kekal kompetitif dan tak naikkan harga sesuka hati.

Namun begitu, ada juga risiko jangka panjang. Kalau terlalu bergantung pada harga subsidi, pengguna mungkin susah nak adapt bila harga kembali normal. Peniaga kecil pula mungkin rasa terpinggir jika tak diberi ruang sertai program ini.

Jadi, penting untuk kita tengok Jualan Rahmah bukan saja sebagai program diskaun, tapi sebagai pendidikan kepenggunaan . Ia boleh buka mata rakyat tentang nilai barang, pentingnya perbandingan harga, dan kebijaksanaan dalam berbelanja.

Kerajaan pula perlu pastikan penyampaian maklumat lebih cekap. Bayangkan kalau ada aplikasi khas yang tunjuk lokasi Jualan Rahmah terdekat, dengan info stok dan masa jualan – pasti lebih ramai dapat manfaat. Hebahan melalui WhatsApp, media sosial, atau kerjasama dengan komuniti setempat seperti masjid, surau, koperasi, pun sangat membantu.

Paling penting, vendor kecil dan peniaga tempatan juga perlu dilibatkan. Bila lebih ramai pihak terlibat, ekosistem ini jadi lebih kuat dan mampan. Jualan Rahmah bukan sekadar pasal “harga murah”, tapi lambang bahawa kerajaan benar-benar prihatin terhadap tekanan yang rakyat hadapi setiap hari.

Sebagai intipati, kejayaan program sebegini bergantung pada satu perkara utama: kepercayaan rakyat . Bila pengguna rasa mereka tidak dilupakan, mereka akan terus menyokong. Kita tidak mahu hanya diberi ‘ikan’, tapi juga ‘joran’ untuk masa depan. Dan apabila harga murah datang bersama nilai, hormat, dan harapan – barulah ia jadi simbol kasih antara kerajaan dan rakyat.

Monolog:

“Tiap kali nak beli barang dapur, hati rasa serba salah. Nak berjimat, tapi semua benda perlu. Harga makin naik, bajet makin sempit. Tapi alhamdulillah… sekurang-kurangnya ada Jualan Rahmah. Tak banyak, tapi cukup untuk bantu aku bertahan minggu ke minggu. Dapat beli minyak, ayam, beras dengan harga rendah – itu pun dah besar maknanya bagi aku. Terima kasih… sekurangnya, kami tak rasa sendirian.”