• Tue, May 2024

KELESTARIAN PENGURUSAN KEWANGAN MENDORONG KEJAYAAN USAHAWAN

KELESTARIAN PENGURUSAN KEWANGAN MENDORONG KEJAYAAN USAHAWAN

Pengurusan dalam organisasi adalah penting bagi mencapai matlamat sesebuah perniagaan. Penilaian bagi sesebuah organisasi yang berjaya adalah berdasarkan kepada kecekapan dan keberkesanan organisasi tersebut.

Kecekapan merujuk kepada usaha membuat sesuatu tugas dengan betul iaitu dengan memadankan output atau hasil organisasi dengan sejumlah input yang telah digunakan dalam melaksanakan sesuatu usaha. Manakala keberkesanan bermaksud melakukan pilihan tindakan yang tepat. Secara idealnya kedua-dua konsep tersebut perlu wujud serentak untuk menilai pencapaian pengurus sesebuah organisasi.

Pengurusan kewangan ialah seni dan sains dalam mengendalikan wang yang perlu dimiliki oleh individu mahupun organisasi (Bany et al. 2002). Menurut Deakins et al. (2002) perniagaan kecil memerlukan corak pengurusan kewangan yang tersendiri. Kajian mereka menunjukkan perniagaan kecil juga berbeza daripada sudut amalan pengurusan kewangan sesama kelompok mereka. Menurut Deakins et al (2002) lagi, keupayaan pengurusan kewangan firma melibatkan satu proses pembelajaran dinamik yang dipengaruhi oleh faktor persekitaran luaran dan dalaman. Justeru tidak terdapat suatu penyelesaian seragam yang tersedia untuk diaplikasi dalam semua firma kecil. Ini disebabkan pengaruh persekitaran dalaman dan luaran masing-masing yang unik.

Aspek paling penting dalam perniagaan yang berjaya ialah pengurusan kewangan kewangan yang cekap dan bijak, selain strategi yang berkesan. Ramai usahawan yang muflis kerana gagal mengurus kewangan dengan baik, malah ada yang tidak dapat membezakan antara kewangan peribadi dan perniagaan mereka, menyebabkan modal perniagaan hilang begitu sahaja dan akhirnya perniagaan terpaksa ditutup. Sebagai pemilik perniagaan, anda perlu tahu dan mengambil tahu mengenai kewangan perniagaan anda kerana aliran keluar masuk wang merupakan nadi utama perniagaan anda. Tidak kiralah berapa banyak jualan yang anda lakukan, tetapi apabila anda tidak dapat mengimbangkannya dengan perbelanjaan, anda tidak mungkin memperoleh keuntungan.

Berikut disenaraikan kepentingan penyata kewangan kepada usahawan:

1. Mengukur prestasi kewangan perniagaan

Penyata kewangan akan dapat membantu usahawan menganalisa prestasi perniagaan mereka dari semasa ke semasa. Usahawan perlu mengetahui prestasi perniagaan mereka bagi menentukan halatuju perniagaan mereka untuk masa akan datang. Mereka juga akan menambahbaik perniagaan mereka dengan merujuk kepada penyata kewangan. Sebagai seorang usahawan, sudah tentu anda ingin prestasi syarikat bertambah baik dari tahun ke tahun. Jika aliran tunai direkodkan, kita dapat mengelakkan pembaziran daripada pelbagai sudut seperti bahan mentah, buruh dan kos pengeluran yang lain.

2. Mendapatkan Pembiayaan/Pinjaman

Sebagai seorang usahawan, kita pasti mempunyai matlamat untuk mengembangkan perniagaan. Dalam mencapai matlamat tersebut, mahu atau tidak kita perlukan modal pembiayaan daripada bank, syarikat kewangan dan beberapa lagi badan-badan kewangan. Bukan semua orang ada tunai yang banyak, jadi pinjaman bank adalah satu pilihan yang boleh dipertimbangkan. Jika kita membuat pinjaman dengan bank, mereka memerlukan penyata kewangan untuk menganalisa prestasi kewangan syarikat sama ada kita berkemampuan untuk membayar balik pinjaman tersebut atau tidak. Dengan adanya penyata kewangan, peluang untuk mendapatkan pinjaman adalah lebih tinggi.

3. Menghadapi Risiko

Setiap perniagaan akan ada risiko keuntungan dan kerugian. Usahawan perlu mengetahui cara untuk menghadapi risiko tersebut.  Dengan penyata kewangan, usahawan dapat mengenalpasti aliran tunai keluar masuk dengan merekodkan senarai penghutang dan pemiutang. Dengan merekod secara berkala, isu hutang lapuk atau risiko syarikat gulung tikar dapat dielakkan.

4. Mengelakkan Penyelewengan

Pengawalan aliran tunai masuk dan keluar akan berlaku penyelewengan sekiranya ia tidak dikawal dengan baik. Setiap traksaksi yang dibuat perlu ada rekod aliran keluar dan masuk wang bagi mengelakkan ada pihak yang mengambil kesempatan dan akan menyebabkan risiko kerugian kepada perniagaan tersebut.

5. Pembayaran Percukaian

Perniagaan juga akan dikenakan cukai ke atas pendapatan yang diterima. Usahawan perlu merancang percukaian. Bagi memastikan cukai yang perlu dibayar adalah bersesuaian dengan pendapatan perniagaan yang diperoleh, penyata kewangan perlu direkodkan secara berkala. Perkhidmatan daripada syarikat perakauan boleh digunankan sekiranya usahawan tidak pandai dalam menguruskan penyata kewangan.

Sebagai kesimpulannya, kelestarian pengurusan kewangan adalah penting kepada usahawan untuk merancang perniagaan mereka untuk lebih maju dan berjaya. Pengurusan kewangan yang cekap akan menjamin kepada kejayaan setiap perniagaan. 

 

Rujukan

Deakins, D., Morrison, A. and Galloway, L. (2002). Evolution, financial management and learning in the small firm.  Journal of Small Business and Enterprise Development, Vol. 9 No. 1, pp. 7-16. https://doi.org/10.1108/14626000210419446 @ @ @

Bany, A., Md Isa, A.H, Aliahmed, H.J., & Muhammad, J. (2022). Guide to Financial Management. 2nd Edition. Thomson Learning