• Fri, May 2024

KEPENTINGAN MELANJUTKAN PENGAJIAN TINGGI DALAM MENGURUSKAN PERNIAGAAN

KEPENTINGAN MELANJUTKAN PENGAJIAN TINGGI DALAM MENGURUSKAN PERNIAGAAN

Pelajar lepasan SPM yang menyambung pengajian di peringkat tinggi mampu menguruskan perniagaan sendiri malahan perniagaan milik keluarga pada tahap yang memberangsangkan

Isu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pengajian di peringkat tinggi semakin hangat diperkatakan di kalangan masyarakat hari ini. Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2022 menyatakan sebanyak 72% pelajar lepasan SPM tidak berminat untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma atau ijazah selepas menamatkan pengajian SPM.

Perkara ini amat membimbangkan kerana walaupun pengajian di peringkat tinggi seperti di kolej dan universiti tidak menjaminkan peluang pekerjaan dalam bidang pengajian yang diceburi, namun ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang sesi pengajian tersebut mampu melahirkan insan yang matang dan tenang dalam membuat keputusan. 

Tidak dinafikan juga, ada di kalangan dalam peratusan ini memilih untuk memulakan perniagaan sebagai langkah awal untuk menyara ekonomi diri mereka. Berbekalkan sedikit ilmu dan teori yang mereka ada semasa menuntut di peringkat SPM, pelajar ini mula menguruskan perniagaan kecil mereka. Ada di kalangan pelajar lepasan SPM ini mengambil mata pelajaran asas pengurusan perniagaan seperti asas perakaunan dan ekonomi, Namun teori ini tidak cukup untuk mematangkan mereka dalam menguruskan perniagaan. Malahan, boleh menyebabkan perniagaan yang baru diuruskan tidak dapat bertahan lama dan tidak mampu berdaya saing dalam pasaran. Isu kekurangan modal, penyalahgunaan modal dan kecuaian dalam menguruskan kewangan perniagaan adalah antara isu-isu yang sering dikaitkan dengan dunia perniagaan.

Walaubagaimanapun, masyarakat tidak boleh menuding jari dengan pilihan mereka untuk tidak menyambung pengajian di peringkat tinggi. Faktor desakan ekonomi keluarga dan kurangnya pendedahan terhadap kepentingan melanjutkan pengajian di peringkat tinggi    mungkin antara punca kepada kurangnya minat meneruskan pengajian di peringkat tinggi dalam kalangan pelajar lepasan SPM.

Kajian berkenaan modal sosial, modal budaya, dan modal simbolik telah dijalankan oleh Bourdieu, seorang pakar sosialis dari Perancis. Menurut beliau, modal bukan hanya terdiri daripada wang tunai bahkan pergaulan, budaya, adat, kedudukan dan status pendidikan juga turut dikategorikan sebagai modal. Dalam mendepani cabaran untuk menguruskan perniagaan, ilmu pengurusan perniagaan dan keusahawanan, ilmu pengurusan aset, ilmu pengurusan pekerja dan kemahiran berkomunikasi adalah sangat penting bagi memastikan kemampanan sesebuah perniagaan. Pergaulan sesama pelajar di universiti misalnya telah membantu membina jaringan sosial perniagaan manakala tugasan berkumpulan yang diberikan oleh pensyarah dan penglibatan pelajar dalam program yang dianjurkan oleh pihak universiti mampu melatih pelajar dalam membuat keputusan, membina kemahiran berkomunikasi, dan membentuk keyakinan diri.   

Tidak dinafikan ada di kalangan usahawan yang tidak memiliki kelayakan pendidikan tinggi tetapi masih mampu menguruskan perniagaan mereka dengan baik. Namun, banyak peluang dan pengetahuan perniagaan yang mereka tidak kecapi untuk menjadi usahawan yang lebih berdaya saing. 

Apapun, kita perlu sedar pendidikan tinggi amat perlu dalam membentuk generasi muda yang berpengetahuan dan berdaya saing pada zaman teknologi ini. Malah, kerajaan telah memperuntukkan RM14.5 bilion kepada kementerian pendidikan tinggi dalam usaha untuk memperkasakan pendidikan tinggi sekaligus meningkatkan kebolehan pasaran graduan. 

Justeru itu, sokongan dan dorongan daripada ibu bapa adalah sangat penting dalam memastikan pelajar lepasan SPM bijak dan matang dalam membuat keputusan. Ibu bapa perlu mengambil tahu perkembangan anak mereka dan menerapkan kesedaran kepentingan pelajaran di peringkat tinggi kepada anak. 

Dr. Tahirah Abdullah

Senior lecturer of accounting at Faculty of Entrepreneurship and Business, Universiti Malaysia Kelantan