• Tue, Jan 2026

KUNJUNGAN FKP UMK KE USK PRESS DAN KITA KREATIF USK: PERKUKUH KOLABORASI DAN PERTUKARAN PENGETAHUAN

KUNJUNGAN FKP UMK KE USK PRESS DAN KITA KREATIF USK: PERKUKUH KOLABORASI DAN PERTUKARAN PENGETAHUAN

Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah mengadakan lawatan rasmi yang penuh bermakna ke USK Press dan Pusat Riset Komunikasi Pemasaran, Pariwisata, dan Ekonomi Kreatif (Kita Kreatif), Universitas Syiah Kuala (USK) pada 14hb November 2024 (Khamis).

Pendahuluan

Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah mengadakan lawatan rasmi yang penuh bermakna ke USK Press dan Pusat Riset Komunikasi Pemasaran, Pariwisata, dan Ekonomi Kreatif (Kita Kreatif), Universitas Syiah Kuala (USK) pada 14hb November 2024 (Khamis). Lawatan ini berlangsung di tingkat dua Kompleks USK Press, sebuah lokasi yang menjadi pusat intelektual dan inovasi bagi penerbitan akademik dan penyelidikan kreatif di universiti tersebut. Delegasi UMK disambut mesra oleh Pengarah USK Press, En. M. Ridha, yang diiringi oleh Pengarah Kita Kreatif USK, Dr. Teuku Meldi Kesuma, Dr. Ahmad Nizam selaku penasihat, dan beberapa staf USK lainnya. Sambutan yang penuh mesra ini menandakan permulaan hubungan yang lebih erat antara dua institusi pengajian tinggi ini.

Delegasi daripada Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, UMK diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, bersama barisan akademik termasuk Prof. Madya Dr. Mohd Asrul Hery Ibrahim, Prof. Madya Dr. Mohd Zulkifli Muhammad, dan Dr. Mohd Afifie Mohd Alwi. Kehadiran delegasi ini bukan sahaja mencerminkan komitmen UMK dalam memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa tetapi juga memberi peluang kepada kedua-dua institusi untuk bertukar pandangan serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang penerbitan, keusahawanan, komunikasi pemasaran, dan ekonomi kreatif.

image-2.jpeg

Gambar 1: Bergambar bersama dengan Pengarah USK Press, En. M. Ridha (dua dari kanan) dan Pengarah Kita Kreatif USK, Dr. Teuku Meldi Kesuma (tiga dari kanan), turut dalam gambar adalah Pengarah Program, En. Haris Riyaldi (pertama dari kiri)

Tujuan dan Hasil Lawatan

Lawatan ini bertujuan untuk bertukar maklumat dan membincangkan peluang kerjasama, terutamanya dalam pengurusan operasi USK Press sebagai unit pelaksana teknik percetakan USK. En. M. Ridha, Pengarah USK Press, menekankan bahawa pertukaran pengetahuan ini penting dalam memperkukuh keberkesanan pengurusan dan penerbitan bahan bercetak di universiti.

Selain itu, lawatan ini merupakan usaha berterusan untuk mengukuhkan hubungan akademik dan profesional antara UMK dan USK. Dengan penumpuan kepada pembangunan sumber daya kreatif dan inovatif, program ini menjadi platform strategik bagi kedua-dua pihak untuk meneroka pelbagai inisiatif yang berpotensi memberikan impak besar kepada masyarakat tempatan dan global. Delegasi UMK turut diberi taklimat mengenai pencapaian USK Press dan Kita Kreatif, serta pelbagai projek penyelidikan yang sedang dijalankan, yang membuka peluang untuk kolaborasi masa depan dalam pelbagai bidang kepakaran.

Dalam sesi lawatan tersebut, Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob turut menjadi tetamu wawancara dalam program podcast baharu USK Press. Beliau telah berkongsi ilmu dan pengalaman kepada komuniti akademik USK berkenaan dengan perkembangan, cabaran dan hala tuju keusahawanan di Malaysia.

image-3.jpeg

Gambar 2: Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob menjadi tetamu wawancara dalam program podcast baharu USK Press

Dr. Mohd Afifie Mohd Alwi pula menjelaskan bahawa lawatan ini merupakan sebahagian daripada kembara ilmu UMK di Aceh, dengan tujuan berkongsi pengetahuan mengenai operasi USK Press serta mengintai potensi kerjasama dalam penerbitan ilmiah seperti dalam bidang kewangan Islam. Prof. Madya Dr. Mohd Zulkifli Muhammad pula menyatakan minat yang mendalam daripada pihak UMK untuk menjalin hubungan kerjasama strategik dengan Kita Kreatif USK, khususnya dalam menjalankan penyelidikan yang berfokus pada aspek keusahawanan, perniagaan dan kewangan Islam. 

Beliau menekankan bahawa kolaborasi ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuh bidang tersebut, tetapi juga untuk meneroka potensi kerjasama dalam pelbagai disiplin yang relevan, termasuk ekonomi, pemasaran strategik, dan inovasi dalam keusahawanan berasaskan nilai Islam. Menurut beliau, gabungan kepakaran antara kedua-dua institusi mampu menghasilkan penyelidikan yang signifikan dan berimpak tinggi, yang dapat memberi manfaat kepada komuniti akademik, industri, dan masyarakat secara keseluruhan. Prof. Madya Dr. Mohd Asrul Hery Ibrahim juga turut berpendapat bahawa lawatan ini juga bertindak sebagai sesi penanda aras untuk membandingkan amalan terbaik dalam pengurusan pusat penyelidikan antara kedua-dua institusi.

image-1.jpeg

Gambar 3: Perbincangan mengenai peluang kerjasama, terutamanya dalam pengurusan operasi penerbitan di universiti

Tambahan pula, Dr. Ahmad Nizam yang mewakili Kita Kreatif USK, menyambut baik usaha ini dan berharap kerjasama dengan UMK akan membuka peluang untuk penyelidikan bersama (joint research) dan memberikan manfaat yang signifikan kepada kedua-dua institusi. 

Penutup

Lawatan ini telah memperkukuh hubungan strategik antara UMK dan USK dalam memperluas pengembangan ilmu, penyelidikan, dan inovasi khususnya dalam bidang keusahawanan dan perniagaan. Selain itu, kolaborasi ini diharapkan dapat menjadi platform untuk melahirkan lebih banyak peluang kerjasama antarabangsa yang bermanfaat, bukan sahaja kepada kedua-dua institusi tetapi juga kepada komuniti akademik dan industri yang lebih luas. Usaha ini mencerminkan komitmen bersama untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial melalui perkongsian ilmu dan kepakaran.