• Mon, Apr 2024

LOMPAT KERJA: KESETIAAN ATAU KEJAR KEKAYAAN

LOMPAT KERJA: KESETIAAN ATAU KEJAR KEKAYAAN

Budaya lompat kerja atau job hopping adalah trend yang membimbangkan di kalangan generasi muda dan membebankan kepada majikan. Sesetengah orang beranggapan bahawa menukar pekerjaan dengan kerap adalah sesuatu yang tidak baik dan boleh menjejaskan corak kerja dan gaya pemikiran seseorang.

Tanggapan kononnya tidak produktif apabila seseorang terperangkap dalam satu bidang pekerjaan untuk tempoh yang lama. Mana satu yang perlu ikut, masing-masing ada baik dan buruknya. Bukan sesuatu yang luar biasa bagi generasi muda untuk bertukar pekerjaan dengan kerap. Bagi sesetengah majikan, mereka melihat kumpulan ini bercita-cita tinggi dan akan cuba mengapai apa yang mereka inginkan tanpa mengambil kira faktor empati.

Faktor utama adalah tawaran gaji yang lebih besar, tiada keserasian dengan rakan maupun majikan, beban kerja yang tinggi atau mengejar kerjaya yang diidamkan. Kadang kala terdapat generasi muda berkongsi luahan di media sosial tentang keserasian kerja, pengalaman dan kelayakan akademik dengan gaji yang ditawarkan.

Dunia hari ini tidak boleh disamakan dengan masa dahulu. Kesetiaan pekerja terhadap majikan kekal bertahan sehingga habis frasa masa pekerjaan. Generasi muda ini merasakan mereka perlu dipimpin dan dilatih secukupnya. Malah ada yang mengharapkan segala ilmu pekerjaan perlu disuapkan atau disediakan tanpa ada inisiatif untuk self learning.

Walau apa alasannya, secara realiti tenaga kerja generasi muda tidak meletakkan elemen kesetiaan kepada majikan sebagai nilai penting dan mereka juga tidak bersedia untuk memberi komitmen dalam jangka masa panjang. Mereka ini dilihat tidak mahu membuang masa dalam pekerjaan yang kurang memberi impak. Mereka dikhabarkan akan bertukar kerja sekurang-kurang 3 kali sepanjang alam pekerjaan (The Star, 6 Disember 2023). Semetelaah lagi mereka berpendapat untuk kesejahteraan dan kesihatan minda bila berada di tempat baru.

Generasi ini menyedari nilai diri mereka, oleh itu dengan mengambil keputusan lompat kerja ke tempat baru, ia mungkin memberi mereka peluang yang lebih cepat untuk kemajuan kerjaya.

Hakikatnya, bukan sesuatu yang mudah untuk majikan melakukan proses pengambilan pekerja yang mana ia memeperuntukkan masa yang lama, banyak pihak terlibat dalam penentuan pekerja dan kos yang tinggi untuk melatih pekerja baru terutama sekiranya graduan yang baru tamat belajar atau kurang pengalaman. Staff turnover yang tinggi akan memberikan implikasi kewangan yang tidak baik.

Tidak dinafikan generasi millennial ini mempunyai kelayakan, mudah terpengaruh dengan arus perdana dalam sosial media seiring dengan revolusi teknologi digital, tapi elemen sahsiah dan integriti diri yang tinggi tidak boleh dipandang sebelah mata. Pihak majikan perlu mensasarkan beberapa kepentingan kepada generasi yang terlibat ini demi mencapai situasi menang-menang. Antaranya menyediakan senarai semak untuk mewujudkan sifat kebertanggungjawaban atas amanah yang diberikan, kerap mengadakan komunikasi secara terbuka dalam menyelami isi hati dan pandangan mereka, memperkukuhkan budaya kerja yang berkualiti, menunjukkan sikap percaya, toleransi dan sokongan kuat atas daya usaha mereka dan akhir sekali menyediakan ganjaran yang setimpal untuk mengalakkan mereka kekal inovatif dan proaktif dalam mencapai objektif.