RACE module adalah inisitatif dari Jawatankuasa Service-Learning Malaysia-Universiti for Society (SULAM), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan dalam memperkasakan pelajar dengan isu-isu kelestarian dan memperkukuh nilai kepimpinan, komunikasi berkesan dan kepekaan sosial melalui pembelajaran dan pengajaran melibatkan teori dan komuniti.
Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan telah melaksanakan pendekatan pembelajaran berimpak tinggi melalui modul Raising Awareness on Circular Economy (RACE) yang disepadukan dalam kursus Service-Learning Malaysia - University for Society (SULAM) iaitu AEB30203 - Pengenalan kepada Kelestarian Perniagaan. Modul ini dibangunkan berdasarkan kaedah SULAM yang menggabungkan elemen pembelajaran akademik dengan khidmat komuniti.
Melalui pelaksanaan program RACE ini, ianya dapat memupuk kefahaman yang lebih mendalam terhadap konsep kitaran ekonomi dan kelestarian dalam perniaagan dalam kalangan pelajar. Pelajar telah didedahkan dengan teori seperti prinsip kitaran ekonomi, tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan perniagaan hijau di dalam kuliah. Menggunakan kaedah SULAM, pelajar kemudian terlibat secara aktif dalam projek kerja lapangan bersama komuniti dan industri untuk menjayakan program RACE ini.
Pelajar dari kursus ini bertindak sebagai perancang dan pelaksana utama bagi program ini. Bermula dengan penyediaan awal projek, pelajar dibimbing untuk mengenal pasti isu komuniti berkaitan kelestarian, khususnya dalam pengurusan sisa seperti minyak masak terpakai, e-waste dan pakaian terpakai. Untuk menjayakan program dan meningkatkan impak pembelajaran, sesi perbincangan antara pelajar dan pensyarah sebagai koordinator program adalah penting.
Seterusnya, pelajar menjalankan sesi pertemuan bersama komuniti termasuk wakil jawatankuasa taman dan menghubungi industri yang berpotensi untuk pungutan bahan-bahan yang dikumpul. Sesi ini bertujuan mendapatkan pandangan dan kerjasama dalam menjayakan program kesedaran yang dirancang.
Beberapa minggu sebelum pelaksanaan, pelajar melaksanakan aktiviti promosi dan kesedaran awal, termasuk membuat hebahan melalui poster digital, media sosial dan edaran poster ke rumah-rumah terpilih untuk menggalakkan penyertaan komuniti.
Aktiviti yang dijalankan pada hari program merangkumi menyediakan pusat pungutan sisa seperti minyak masak, e-waste dan pakaian terpakai. Bahan informasi berkaitan kitaran ekonomi dan impak kepada alam sekitar juga disediakan untuk diedarkan kepada komuniti dan diberi pendedahan berkaitan konsep ini. Selain itu, pelajar juga terlibat dengan aktiviti gotong royong bersama komuniti untuk memastikan program diselesaikan dengan lancar.
Melalui program ini, pelajar didedahkan secara langsung dengan aplikasi sebenar prinsip kitaran ekonomi bersama pihak industri. Sally Global Sdn. Bhd. memainkan peranan penting dalam memproses minyak masak terpakai kepada biodiesel, iaitu sejenis biobahan api mesra alam. Biodiesel dihasilkan daripada minyak sayuran dan lemak haiwan melalui proses transesterifikasi, yang memberikan alternatif lestari kepada bahan api fosil.
Sementara itu, Laksana Cergas Sdn. Bhd. merupakan syarikat yang menguruskan pelupusan e-waste secara selamat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Proses pelupusan ini dijalankan dengan pematuhan kepada peraturan alam sekitar, bagi memastikan kesejahteraan penduduk dan perlindungan terhadap sumber semula jadi.
H&M Malaysia, pula, merupakan antara syarikat antarabangsa yang aktif menyokong amalan kitaran ekonomi yang telah memproses sekitar 50 – 60% pakaian terpakai dengan cara dikitar semula, digunakan semula, dijual kepada rakan kongsi atau disalurkan kepada badan amal. Bagi tekstil yang tidak dapat digunakan semula, kebanyakannya akan dikitar semula untuk menghasilkan produk baharu yang lebih tahan lama, diperbuat daripada bahan yang selamat dan mampan, sekaligus menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar dalam jangka masa panjang.
Keterlibatan pelajar secara langsung dengan masyarakat dan industri telah menjadikan pengalaman pembelajaran mereka lebih bermakna dan holistik. Secara keseluruhannya, pelaksanaan RACE ini bukan sahaja memperkukuh penguasaan pelajar terhadap konsep kitaran ekonomi dan kelestarian perniagaan, malah turut membangun nilai kepimpinan, komunikasi berkesan dan kepekaan sosial dalam kalangan pelajar.
Pengantarabangsaan dalam pendidikan tinggi merupakan satu keperluan strategik dalam membentuk graduan yang bersedia menghadapi landskap global yang semakin kompleks.
Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Program Sarjana Pengurusan, Universitas Syiah Kuala (USK) telah menganjurkan Seminar Pengurusan dan Perniagaan Islam pada 16-17 November 2024 bertempat di Pusat Sarjana Pengurusan, USK, Aceh, Indonesia.
Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah mengadakan lawatan rasmi yang penuh bermakna ke USK Press dan Pusat Riset Komunikasi Pemasaran, Pariwisata, dan Ekonomi Kreatif (Kita Kreatif), Universitas Syiah Kuala (USK) pada 14hb November 2024 (Khamis).