• Fri, Mar 2024

PENGETAHUAN SEBAGAI SUMBER KELESTARIAN PERNIAGAAN

PENGETAHUAN SEBAGAI SUMBER KELESTARIAN PERNIAGAAN

Landskap dan persekitaran alam perniagaan sering berubah dan tidak siapa mampu mengawal akan perubahan tersebut kerana ianya terjadi, antara lainnya, dek pengaruh pasaran yang dikawal oleh kehendak, keinginan dan keupayaan ekonomi pengguna.

Selain itu, perubahan pada dasar pihak berkuasa setempat dan antarabangsa juga memberi kesan yang mendalam terhadap keupayaan perniagaan untuk terus berada dalam pasaran. Melihat kepada perubahan tersebut, yang boleh disaksikan melalui sejarah dunia seperti perubahan revolusi perindustrian dunia, apakah ianya boleh dikatakan sebagai punca kejatuhan dan pengakhiran sesuatu perniagaan seperti apa yang terjadi kepada syarikat Kodak dan Readest Digest Association (McCarty, 2013).

Pengaruh pengguna

Tidak dapat dinafikan bahawa pengguna memainkan peranan besar dalam menentukan kebolehupayaan sesuatu perniagaan untuk terus relevan dalam pasaran semasa. Oleh kerana itu, perlu bagi perniagaan untuk memastikan bahawa mereka mempunyai cukup pengetahuan tentang kehendak dan kemahuan pasaran sebelum sesuatu produk dikeluarkan. Selera dan keinginan pengguna sentiasa perlu berada di barisan hadapan dalam penentuan produk atau perkhidmatan yanag ingin diketengahkan ke dalam pasaran. Pengeluar barangan sukan terkemuka, Nike, pernah tercalit dengan beberapa kontroversi melibatkan barangan dan kempen yang dilancarkan oleh syarikat tersebut. Ia telah menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian setiap kali mereka terlibat dengan setiap kontroversi (Kelner, 2018). Ia terjadi disebabkan respon dari pengguna yang secara langsung memberi tindak balas terhadap kontroveri yang berlaku yang mempunyai hubungan terus dengan kehendak pengguna.

Dari sudut yang berbeza, respon yang lambat terhadap kemahuan pengguna telah mengalihkan kedudukan Kodak sebagai syarikat yang terkenal sebagai pembekal barangan fotografi kepada kedudukan yang menjurus kepada bankrapnya syarikat tersebut (DiSalvo, 2011). Berada pada kedudukan selesa sebagai pembekal produk filem fotografi telah sedikit sebanyak melekakan Kodak akan perubahan keinginan pengguna, iaitu pertukaran kepada produk fotografi berunsurkan digital.

Perubahan perundangan

Dasar perundangan negara dan antarabangsa ditentukan oleh pihak berkuasa, yangmana pertimbangan terhadap tindakan dan pendekatan dibuat penuh oleh mereka. Apabila sesuatu dasar dibentuk, maka ianya tergunapakai secara langsung. Sebagai contoh di Malaysia adalah pertukaran cukai berkaitan pengguna, iaitu sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Dari penggunaan SST yang kemudiannya ditukar kepada GST dan kembali ke SST, ia memerlukan pengetahuan yang mencukupi dari perniagaan bagi memastikan kepatuhan penuh terhadap sistem tersebut (Rohami, 2018). Kegagalan kepatuhan kepada sistem perundangan yang ditetapkan mampu meletakkan perniagaan di dalam situasi yang membahayakan mereka sendiri kerana risiko yang bakal hadir akibat ketidakpatuhan terhadap sistem perundangan yang dilaksanakan.

Tindakan Amerika Syarikat meletakkan syarikat Huawei di dalam senarai hitam yang melarang sebarang syarikat dari Amerika Syarikat berdagang dengan syarikat tersebut secara menyeluruh menyebabkan berlaku perubahan landskap perniagaan bagi sektor komunikasi dan teknologi secara amnya (Pham, 2019). Sedar dan faham akan larangan tersebut, Huawei tidak berpeluk tubuh, sebaliknya mengambil tindakan sewajarnya, seperti membangunkan aplikasi dan sistem operasi sendiri serta meneroka pilihan lain yang wujud, bagi memastikan larangan tersebut tidak memberikan kesan yang ketara, walaupun kesan tetap wujud, kepada perniagaan mereka (Kharpal, 2019). Dalam konteks ini, pengetahuan tentang polisi mampu mengelakkan dari sesuatu perniagaan tersebut dari terus dihala ke arah kebankrapan.

Kesimpulan

adi-1

 

Secara keseluruhannya, amatlah penting bagi satu-satu perniagaan itu untuk memiliki pengetahuan yang mampu melonjakkannya ke hadapan tanpa perlu diikat untuk kekal di belakang. Seperti ilustrasi dalam Rajah 1 di atas, sekiranya perundangan dan peraturan dipatuhi, maka tiada yang dapat menghalang perniagaan tersebut dari bergerak ke hadapan, kecuali keupayaan perniagaan tersebut untuk memenuhi kehendak pelanggan. Amatlah perlu untuk kedua-dua aspek pengetahuan ini diberi perhatian sebagai keperluan dan kepentingan perniagaan dalam memastikan kelestariannya pada masa mendatang.

Rujukan