• Sun, Apr 2024

PENGURUSAN KONFLIK MENURUT PERSPEKTIF BARAT DAN ISLAM

PENGURUSAN KONFLIK MENURUT PERSPEKTIF BARAT DAN ISLAM

Konflik merupakan satu fenomena yang biasa berlaku di dalam pengurusan sesebuah organisasi. Teori barat berpendapat konflik hanya dapat diselesaikan melalui pendekatan jangkamasa pendek dalam konteks organisasi itu sendiri. Pendapat ini amat berbeza dengan pandangan Islam yang lebih...

Pendahuluan

Konflik merupakan satu fenomena yang biasa berlaku di dalam pengurusan sesebuah organisasi. Teori barat berpendapat konflik hanya dapat diselesaikan melalui pendekatan jangkamasa pendek dalam konteks organisasi itu sendiri. Pendapat ini amat berbeza dengan pandangan Islam yang lebih melihat perkara ini sebagai satu anugerah yang murni daripada Tuhan kepada hambanya di dalam menjadikan seseorang itu lebih matang di dalam pengurusannya. Hal yang demikian kerana Islam sendiri mengakui konflik merupakan tempat bercambahnya idea-idea baru yang harus difikirkan bersama demi kebaikan sesebuah organisasi.

Pengurusan Konflik Menurut Perspektif Barat dan Islam

Perkataan konflik berasal daripada Bahasa Latin iaitu confligere yang merujuk kepada‘a serious disagreement’ atau ‘a serious differences of opinions, wishes, etc’. Konflik adalah satu proses di mana seseorang itu berusaha dengan sengaja untuk menggagalkan usaha seseorang yang lain dengan cara menghalang. Tujuannya ialah agar orang itu merasa kecewa di dalam usaha untuk mencapai matlamat atau untuk meneruskan kepentingannya.

Konflik merujuk kepada proses di mana seseorang atau sesuatu kumpulan melihat dan merasa kepentingannya bertentangan dengan pihak lain. Konflik terdiri daripada dua, konflik berfungsi iaitu konfrontasi di kalangan kumpulan kerja yang memberi manfaat kepada organisasi dan konflik disfungsi iaitu konfrontasi di kalangan kumpulan kerja yang mengganggu prestasi organisasi. Manakala pengurusan konflik pula bermaksud proses diagnosis, gaya interpersonal, strategi perundingan dan lain-lain direka untuk mengelakkan konflik yang tidak diingini serta mengurangkan atau menyelesaikan konflik yang melampau.

Konflik menurut pendefinisian Islam pula mempunyai maksud yang lebih mendalam jika dibandingkan dengan pemahaman yang diutarakan para sarjana Barat. Pengertian konflik dalam Islam terdiri daripada tiga perkara iaitu perselisihan pendapat, perdebatan dan perbalahan. Perselisihan pendapat (dalam bahasa Arab bermaksud al-ikhtilaf wal mukhalafah) membawa maksud seseorang yang melalui satu cara yang berlainan daripada orang lain dari segi perilaku atau pendapat. Firman Allah s.w.t jelas menerangkan maksud perselisihan pendapat yang berlaku pada pendapat dan ucapan sebagaimana berikut:

“….Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka di Hari Kiamat tentang apa yang mereka perselisihkan.” (Yunus, 10:93)

Firman-Nya lagi:

“Sesungguhnya kamu berada dalam keadaan berselisih pendapat.” (al-Dhariat, 51:8)

Manakala, perdebatan pula (dalam bahasa Arab bermaksud al-mujadalah) bermaksud membuat rundingan dengan cara bertengkar dan saling salah-menyalahi. Ia juga bermaksud satu keadaan di mana seseorang yang berselisih menjadi lebih agresif dalam usaha mempertahankan pendapat dan pendirian dengan menundukkan lawan masing-masing. Apabila perdebatan semakin sengit dan tidak mungkin tercapainya persefahaman di antara mereka, maka ketika itu perbalahan akan berlaku.

Jika dibandingkan pengertian Barat dan Islam berkaitan konflik walaupun pengertian dalam Islam lebih kompleks, namun didapati tidak banyak bezanya. Kedua-dua pandangan menjurus kepada maksud pertikaian dan pertelingkahan di antara dua pihak.

Pandangan dunia Barat berkaitan konflik sentiasa mengalami perubahan. Perubahan ini amat ketara dalam masa 50 tahun yang lalu. Pandangan tersebut berlaku dalam tiga peringkat iaitu pandangan tradisi, pandangan kelakuan dan pandangan penginteraksi. Pandangan tradisi muncul pada awal 1900 hingga pertengahan 1940an. Menurut pandangan ahli fikir tradisi ini konflik adalah sesuatu yang negatif. Mereka mengatakan bahawa konflik serupa dengan kemusnahan, kekejaman dan tidak rasional. Konflik memberikan kesan yang tidak bermanfaat kerana terjadi akibat komunikasi yang lemah, kurang kepercayaan antara ahli organisasi dan kegagalan pihak pengurus memberikan respons kepada keperluan dan kehendak pekerja.

Pandangan kelakuan yang muncul pada akhir 1940 hingga 1970an pula berpendapat konflik adalah suatu keadaan semulajadi yang wujud dalam sesuatu organisasi. Pendokong pandangan ini menerima hakikat kewujudan konflik organisasi sebagai sesuatu yang tidak boleh dielakkan dan kadang kala memberi manfaat kepada organisasi. Kumpulan pandangan penginteraksi pula berpendapat konflik bukan sahaja patut diterima malah perlu digalakkan dalam suasana damai, harmoni dan tenang. Oleh itu, mereka menyarankan pengurus menggalakkan kewujudan konflik yang minimum untuk mewujudkan satu suasana yang lebih kreatif dan aktif. Pandangan ini wujud pada pertengahan 1970an hingga sekarang.

Menurut pandangan Islam pula, konflik dilihat sebagai satu fitrah dan fenomena biasa yang berlaku ke atas sesiapa jua. Perbezaan pendapat dalam cara pemikiran dan menilai sesuatu adalah fitrah yang bersifat tabii. Islam tidak menafi sepenuhnya kewujudan konflik kerana manusia dijadikan oleh Allah s.w.t dengan sifat yang tersendiri dan berbeza di antara satu sama lain. Oleh itu, mustahil untuk mewujudkan satu kehidupan di antara manusia berlandaskan hanya satu pendapat dan kemahuan seseorang sahaja. Akan tetapi Islam tidak membenarkan perbezaan pendapat atau konflik wujud sebagai for its own sake. Sesungguhnya ada hikmahnya Allah s.w.t menciptakan manusia dengan bakat tersendiri dan pelbagai sifat yang berbeza sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Hud ayat 118:

“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.”

Namun begitu, Islam tetap mengambil sikap berhati-hati agar konflik yang berlaku dalam organisasi tidak melampaui batas. Konflik yang melangkaui adab-adab yang telah digariskan Islam dan tidak terkawal akan membawa kepada pertelingkahan antara ahli dalam organisasi sehingga muncul keadaan yang tidak harmoni dalam sesebuah organisasi. Ini akan memberikan impak negatif terhadap prestasi organisasi. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Anfal ayat 46 menjelaskan keadaan ini:

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantah; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, Islam telah menggariskan panduan yang bukan berasaskan rasionalisme dan utilarisme semata-mata tetapi berasaskan kepada al-Quran dan Sunnah sebagai alat untuk dipatuhi oleh setiap manusia yang berhadapan dengan masalah konflik. Setiap organisasi tidak dapat mengelakkan daripada menghadapi sesuatu konflik. Konflik sememangnya tidak dapat dihapuskan sama sekali dalam sistem pengurusan sesebuah organisasi. Walau bagaimanapun, oleh kerana konflik boleh memberi kesan positif atau negatif, pihak pengurusan tidak seharusnya menghapuskan terus semua konflik hanya kerana ia menimbulkan kesan gangguan terhadap pencapaian matlamat organisasi. Sesetengah konflik bermanfaat sekiranya digunakan sebagai instrumen perubahan dan inovasi.