• Sun, Dec 2024

PENULISAN POPULAR ILMIAH, BUAH TANGAN CENDIAKAWAN NEGARA

PENULISAN POPULAR ILMIAH, BUAH TANGAN CENDIAKAWAN NEGARA

Cendiakawan adalah individu yang mempunyai keupayaan dalam mengorganisasi input-input seterusnya menyampai dan mempersembahkan hasil buah fikiran (transformasi atau olahan atas input yang ada) kepada masyarakat demi kebaikkan dan manfaat dalam kehidupan seharian. Penulisan bertajuk di atas bertujuan menggalakkan masyarkat mengambil manfaat daripada buah tangan yang disediakan oleh para cendiakawan

Sebagai ahli akademik, penulisan merupakan kekuatan utama berbanding aktiviti lain seperti berceramah, berunding, mentadbir, mengajar dan beberapa tugasan lain lagi. Hal ini kerana aktiviti menulis kurang mendapat perhatian oleh pihak yang terlibat dalam aktiviti yang dinyatakan di atas. Sebagai contoh, tidak semua ahli politik yang petah berkata-kata dapat mengemukakan penulisan sebanyak apa yang diperkatakan dan begitu juga halnya kepada pakar perunding yang terlibat dalam aktiviti khidmat nasihat turut tidak terlibat dalam penulisan yang berkait dengan sesi perundingan yang dikendalikan. Persoalannya, adakah mereka tidak mampu? Jawapannya ialah penulisan bukan keutamaan mereka. Justeru, aktiviti tersebut tidak dijadikan agenda dalam aktiviti yang mereka ceburi. Namun, hal sebaliknya kepada para pensyarah atau ahli akademik berkenaan dengan penulisan yang mana, penulisan merupakan perkongsian buah fikiran, kupasan isu semasa seterusnya laporan kajian sama ada berdasarkan sumber utama atau sekunder. Bagaimanapun, menulis adalah suatu perkara yang sukar walaupun telah bergelar pensyarah. Justeru, penulis ingin berkongsi tips dan panduan dalam menghasilkan sesebuah penulisan khususnya penulisan popular ilmiah.    

Penulisan popular ilmiah merangkumi penulisan di akhbar, majalah malah buku. Namun begitu, tujuan asas bagi setiap kategori tersebut adalah sama iaitu penulisan adalah bersifat mendatangkan manfaat kepada para pembaca bagi sesuatu topik dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh setiap lapisan masyarakat.      

Panduan menulis penulisan popular ilmiah adalah seperti berikut:-    

Tanyakan soalan “apa?, dimana?, bagaimana?, siapa?, kenapa?, bila? Dan kenapa?” pada diri anda sebelum menulis. Persoalan tersebut membolehkan anda tahu apa yang ingin ditulis dan kenapa penulisan itu diperlukan. Persoalan tersebut juga adalah gambaran awal kepada anda sebelum membuat perincian terhadap apa yang akan diperhalusi atau dibincangkan sepanjang penulisan nanti. Selain itu, persoalan sampingan seperti “apakah polisi sedia ada?”, “apakah solusi yang dicadangkan?” perlu diaju dari masa ke masa dalam memastikan penulisan yang dibuat memberi input kepada para pembaca dengan lebih tersusun.    

Pastikan idea penulisan tersusun. Penulisan yang baik ialah penulisan yang dapat mengekalkan pembaca terhadap bacaan tersebut. Para pembaca akan terus membaca apabila wujud hubungan dengan penulisan. Justeru, wujudkan petunjuk awal terhadap input baru bagi setiap perbincangan pada perenggan baru, isi baru malah bab baru. Kajian menunjukkan apabila pembaca mula fokus kepada sesebuah bahan bacaan mereka akan mengingati permulaan dan pengakhiran penulisan apatah perbincangan pentingan penulisan tersebut.   
 
Guna tajuk yang “catchy”. Tajuk yang baik akan mengujakan pembaca malah dan menarik perhatian mereka. Tajuk penulisan popular ilmiah haruslah menarik pembaca setiap lapisan masyarat malah jumlah patah perkataan tajuk tersebut haruslah bersesuaian agar tidak terlalu panjang. Memandangkan penulisan adalah berorientasikan masyarakat am justeru elakkan istilah teknikal dalam tajuk penulisan. Walau bagaimanapun jika penulisan adalah berkait rapat dengan terma yang sukar moleklah kiranya digabungkan dengan istilah yang mudah. Hal ini juga antara cara membuatkan pembaca ingin tahu. Contoh tajuk penulisan popular ilmiah yang terkini adalah seperti Malaysia ke arah revolusi industri 4.0, Memahami Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Pembelajaran Mesin - Merevolusi Dunia Automasi.  

Penulisan popular ilmiah juga tidak terlepas dari memasukkan data dan maklumat yang dikongsi bersama kepada khalayak yang bukan pakar dalam topik anda. Justeru, sepanjang menulis anggap pembaca anda tidak mempunyai pengetahuan yang teknikal dalam bidang tetapi menghormati kebijaksanaan mereka. Justeru, beri gambaran keseluruhan kajian (jika penulisan berdasarkan kajian ilmiah). Kongsikan maklumat terpenting seperti mengutarakan dapatan-dapatan utama. Selain itu, elak daripada memberi maklumat yang terlalu banyak serta penggunaan bahasa yang berbunga-bunga dengan mematuhi prinsip satu ayat satu idea.    

Selain memastikan kandungan yang senang difahami pemilihan perkataan, akronim dan singkatan juga perlu di diteliti. Hal ini kerana orang di luar bidang kepakaran anda tidak akan tahu. Justeru berhati-hati dengan pengetahuan pembaca anda dan pilih perkataan dan frasa yang memastikan mereka faham.      

Penggunaan ayat aktif secara tidak langsung melibatkan para pembaca dan bahasa peribadi. Sebagai contoh “hari ini kita berdepan dengan dengan pelbagai cabaran termasukkan kenaikkan harga barang”. Penggunaan perkataan “kita” menjadikan sesebuah penulisan bersifat peribadi.    

Sebagai kesimpulan, penulisan popular ilmiah perlu dijadikan kebiasaan dikalangan para pensyarah. Dengan kemahiran (mendapatkan bahan, bermaklumat serta berupaya membahas sesuatu isu) yang ada adalah landasan terbaik untuk diteruskan dalam konteks penulisan. Penulis berharap perkongsian panduan penulisan ini sedikit sebanyak memacu ke arah peningkatan sumbangan buah tangan dari kalangan cendiakawan negara kepada masyarakat segajat.      
 

Ahmad Syakir Junoh @ Ismail

Pengajar subjek keusahawanan Suka meneroka cabang baharu dalam perniagaan Suka berkongsi kemahiran dan tips berkaitan perniagaan