Pengantarabangsaan dalam pendidikan tinggi merupakan satu keperluan strategik dalam membentuk graduan yang bersedia menghadapi landskap global yang semakin kompleks.
Dalam usaha mendepani masa hadapan, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Universiti Malaysia Kelantan mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan program mobiliti tidak berkredit iaitu Program Empowering Students with Entrepreneurship, Cultural Heritage, and Sustainable Solutions (ECHOS)di Singapura. Program ini melibatkan pelajar semester Februari 2023/2024 daripada kursus Pengenalan kepada Kelestarian Perniagaan (AEB30203), yang ditawarkan di bawah inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) seramai 35 orang.
Program ini telah mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Tok Bali Supply Base, yang turut memainkan peranan dalam memastikan agenda pengantarabangsaan diterapkan secara efektif. Sokongan ini memberi penekanan kepada pemupukan pemikiran global dalam kalangan pelajar, berteraskan prinsip keusahawanan, kelestarian dan nilai budaya.
Penglibatan pelajar dalam program pengantarabangsaan seperti ini membuka ruang kepada mereka untuk terlibat dalam interaksi rentas budaya dan pemindahan ilmu secara langsung dalam konteks dunia sebenar. Tambahan pula, pendedahan terhadap amalan kelestarian di negara maju seperti Singapura berupaya membentuk pelajar untuk berfikir secara lebih kritis, kreatif dan global, sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran kerjaya masa hadapan yang semakin kompleks dan saling berkait.
Pelaksanaan program ini bermula dengan pembangunan model perniagaan yang lestari dalam komuniti usahawan di Kelantan. Lawatan ke Singapura adalah sebagai fasa pemerkasaan, di mana pelajar menilai semula pendekatan yang digunakan dalam Pembangunan model yang disediakan melalui pendedahan di negara maju seperti Singapura. Ini telah membuka ruang kepada pelajar untuk melihat aplikasi sebenar prinsip kelestarian, sokongan terhadap komuniti, dan pendekatan keusahawanan inklusif yang boleh dijadikan penanda aras bagi pembangunan tempatan.
Secara keseluruhannya, ECHOS bukan sekadar program mobiliti, tetapi merupakan platform strategik untuk mengasah minda global pelajar UMK. Ia mencerminkan komitmen Jawatankuasa SULAM, FKP UMK dalam menyokong aspirasi nasional dan antarabangsa ke arah pendidikan tinggi yang inklusif, mampan dan bersifat mendunia. Justeru, pelaburan dalam program pengantarabangsaan seperti ini perlu diteruskan dan diperluaskan agar lebih ramai pelajar mendapat peluang membina perspektif global sebagai asas kepada pembelajaran sepanjang hayat dan sumbangan bermakna kepada masyarakat sejagat.
RACE module adalah inisitatif dari Jawatankuasa Service-Learning Malaysia-Universiti for Society (SULAM), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan dalam memperkasakan pelajar dengan isu-isu kelestarian dan memperkukuh nilai kepimpinan, komunikasi berkesan dan kepekaan sosial melalui pembelajaran dan pengajaran melibatkan teori dan komuniti.
Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Program Sarjana Pengurusan, Universitas Syiah Kuala (USK) telah menganjurkan Seminar Pengurusan dan Perniagaan Islam pada 16-17 November 2024 bertempat di Pusat Sarjana Pengurusan, USK, Aceh, Indonesia.
Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah mengadakan lawatan rasmi yang penuh bermakna ke USK Press dan Pusat Riset Komunikasi Pemasaran, Pariwisata, dan Ekonomi Kreatif (Kita Kreatif), Universitas Syiah Kuala (USK) pada 14hb November 2024 (Khamis).