• Fri, Mar 2024

SEKURITI MAKANAN: CABARAN DAN PERANAN KERAJAAN

SEKURITI MAKANAN: CABARAN DAN PERANAN KERAJAAN

Isu ketidakcukupan makanan adalah isu global. Apakah cabaran yang dihadapi oleh kerajaan dan apakah langkah yang perlu dilakukan bagi mengatasi masalah sekuriti makanan.

Kekurangan bahan keperluan asas seperti minyak masak, tepung gandum, telor dan sebagainya amat membimbangkan masayarakat sehingga ada yang membuat pembelian panik bila tersebar khabar angin yang mengatakan barangan tersebut akan habis bekalan dan harga semakin mahal. Harga barangan yang semakin meningkat akan membebankan golongan yang berpendapatan rendah. Masalah ini berlaku bukan sahaja di Malaysia tetapi diseluruh dunia.

Negara kita telah mengimport makanan bernilai RM55.4 bilion pada tahun 2020, yang meningkat daripada RM51.46 bilion pada 2019. Setakat ini, angka bagi 2021 ialah sebanyak RM36.09 bilion dan untuk tahun 2022, nilai import makanan suku pertama sudah cecah RM17.8 bilion. Inflasi Malaysia, yang diukur daripada Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 4.4 peratus kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, didorong oleh kenaikan harga makanan.

Kerajaan telah mengambil langkah dengan melaksanankan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0). Bagi meneruskan pembangunan dalam sektor agromakanan, DAN 2.0 ini telah digubal sebagai usaha kerajaan menjamin sekuriti makanan melalui transformasi sistem makanan negara. Dasar ini mendukung aspirasi dan hala tuju sektor agromakanan negara untuk lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi. Ia bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat selain mengutamakan sekuriti serta nutrisi makanan negara. DAN 2.0 juga menyokong agenda pembangunan nasional dan dasar semasa kerajaan termasuk Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), Rancangan Malaysia Lima Tahun, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia serta dasar-dasar sektoral yang lain.

Bagi memastikan kecukupan makanan negara, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi. Antaranya ialah:

Kekurangan Sumber Asli

Tanah bagi aktiviti pertanian semakin terhad berikutan aktiviti pembukaan kawasan hutan yang tidak lestari selain berupaya merosakkan alam sekitar, mengakibatkan hakisan tanah dan seterusnya menjejaskan kualiti air minuman. Selain itu, sebanyak 71% daripada sumber air tawar di peringkat global digunakan bagi tujuan aktiviti pertanian dan ini menjadikannya sebagai salah satu penyumbang utama kepada pencemaran air kesan daripada penggunaan racun perosak dan bahan pencemar yang lain.

Produktiviti dan Inovasi Pertanian

Sumber bekalan makanan di negara membangun kebanyakannya bergantung kepada hasil daripada pengeluar makanan berskala kecil walaupun tahap produktiviti mereka masih rendah. Produktiviti Faktor Total (TFP) antara tahun 2006 hingga tahun 2015 telah mengalami kemerosotan kerana pengeluar makanan terus menukar hutan dan padang rumput kepada ladang untuk memenuhi permintaan makanan dan makanan ternakan.

Perubahan Demografi Dan Peralihan Trend Pemakanan

Permintaan makanan per kapita dijangka meningkat dan peralihan daripada penggunaan bijirin ruji kepada diet yang lain seperti diet berasaskan protein atau vegan. Pendapatan penduduk bandar yang lebih tinggi menyebabkan kecenderungan kepada penggunaan makanan segera atau makanan yang mudah dibeli di kedai. Pengguna juga mengambil kira tentang harga, cita rasa, kemudahan, nilai pemakanan dan kaedah pengeluaran makanan.

Pembaziran dan Kehilangan Makanan

Kehilangan makanan merupakan proses makanan yang dibuang atau dibakar sepanjang rantaian bekalan disebabkan pengurusan yang tidak cekap semasa pengeluaran, pengendalian/penstoran pasca tuai dan pemprosesan. Sisa makanan merujuk kepada pengurangan bahan makanan ekoran daripada keputusan serta tindakan peruncit, pembekal perkhidmatan makanan dan pengguna. Antara Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu adalah untuk mengurangkan sisa makanan dan kehilangan makanan global kepada separuh per kapita menjelang tahun 2030.

Perubahan Iklim

Pemanasan global boleh mengancam amalan pertanian melalui kenaikan paras air laut yang menyebabkan pengurangan saiz tanah dan infiltrasi air masin, tekanan kepada bekalan air, perubahan ketara suhu puncak yang boleh mengurangkan hasil tanaman, perubahan kekerapan hujan yang boleh menyebabkan kemarau atau banjir dan meningkatkan kekerapan bencana alam.

Sebagai kesimpulanya, cabaran yang dihadapi oleh sektor pertanian perlu di atasi bagi memastikan kecukupan makanan untuk masa akan datang. Dalam kerangka DAN 2.0 merangkumi keseluruhan elemen termasuklan dasar kerajaan bagi memastikan agenda pemodenan sektor makanan dapat ditingkatkan.