• Sun, Apr 2024

SKETSA MAHASISWA MENJELANG MUSIM PEPERIKSAAN

SKETSA MAHASISWA MENJELANG MUSIM PEPERIKSAAN

Minggu peperiksaan bagi semester Februari/September telah bermula. Mahasiswa atau pelajar mula sibuk membuat persiapan yang terakhir sebelum menempuh ujian peperiksaan.

Selain daripada mengulangkaji pelajaran dan menjaga kesihatan, perkara utama yang perlu diambil perhatian oleh pelajar adalah tatacara menjawab peperiksaan. Sebelum pelajar dibenarkan menjawab soalan peperiksaan, mereka perlu mengisi dan melengkapkan maklumat kursus dan diri di muka hadapan kertas jawapan dan soalan.

Maklumat kursus di muka hadapan kertas jawapan/soalan

Bunyinya seperti perkara mudah dan senang, namun percayalah, setiap kali musim peperiksaan tiba, perkara ini yang pelajar lakukan.

Antara maklumat diri dan kursus yang perlu diisi oleh pelajar di atas kertas jawapan adalah:

  1. Nombor kad pengenalan atau pasport dan nombor matrik. Jangan terkejut kerana masih ada pelajar yang lupa nombor kad pengenalan diri! Mungkin kerana cemas atau berdebar untuk menduduki peperiksaan
  2. Kod & nama kursus. Pelajar bernasib baik kerana maklumat ini ada di muka hadapan kertas soalan dan slip peperiksaan.  Melainkan pelajar buat-buat tak nampak maklumat tersebut!
  3. Kumpulan kuliah. Jangan buat2 terkejut kerana ada pelajar yang lupa mereka dari kumpulan kuliah mana dan minta izin dengan pengawas untuk melihat jadual kelas. Anda rasa pengawas ada masa nak layan perkara ini. 
  4. Nama pensyarah. Maklumat ini paling penting. Ramai di kalangan pelajar yang lupa (lupa keseluruhan dan lupa separuh) nama sebenar pensyarah mereka. Pelbagai ejaan nama pensyarah yang pelajar reka. Ada yang terlebih kreatif dengan menulis nama lain bapa pensyarah tersebut!

Empat perkara ini nampak mudah dan senang. Namun, setiap kali tiba musim peperiksaan, pelajar sering membuat kesilapan dan tidak ambil berat tentang kepentingan mengisi maklumat kursus dan diri yang betul dan tepat di atas kertas jawapan. Kesilapan yang dianggap remeh ini boleh mempengaruhi emosi pensyarah untuk menanda kertas jawapan tersebut, samada suka atau duka!

Sekiranya ruang memori para pelajar sudah tepu dan padat dengan ilmu maka satu sahaja cadangan kami selaku pensyarah yang sentiasa mendapat anugerah nama yang berbeza ketika musim peperiksaan, adalah dengan memanfaatkan slip peperiksaan. Tulislah nama pensyarah dan kumpulan kuliah bagi setiap kursus di slip peperiksaan anda. Senang bukan!

Kehadiran di dewan peperiksaan

Pelajar dinasihatkan untuk hadir awal di dewan peperiksaan. Sekurang-kurangnya 30 - 45 minit sebelum peperiksaan bermula.. Sekiranya masa peperiksaan bermula jam 2.30 petang, maka pelajar perlu berada di luar dewan tepat jam 2.00 petang. Ramai di kalangan pelajar yang masih berjalan lenggang seperti menghadiri majlis pertunjukan fesyen, sedangkan jam sudah menunjukkan pukul 2.30 petang! Ini boleh menganggu ketenteraman pelajar lain untuk menjawab soalan. Malahan, pelajar yang lewat tiba itu juga perlu mengambil masa untuk menyemak kertas soalan dan melengkapkan butiran kursus dan diri di atas kertas jawapan dan soalan. Peribahasa ‘biar lambat asal selamat’ adalah tidak sesuai digunakan semasa musim peperiksaan. Oleh itu, pelajar digalakkan untuk bersiap sedia dan hadir awal di dewan peperiksaan.

Semoga artikel ini bermanfaat untuk para pelajar khususnya semasa musim peperiksaan. 

Dr. Tahirah Abdullah

Senior lecturer of accounting at Faculty of Entrepreneurship and Business, Universiti Malaysia Kelantan