• Wed, May 2024

SUSHI DI BUMI KANGGARU

SUSHI DI BUMI KANGGARU

Australia merupakan negara ke-enam terbesar di dunia, yang mempunyai gabungan budaya, cuaca dan gaya hidup yang sangat menarik. Di tengah-tengah negara yang menarik ini terletak Melbourne, hab kebudayaan dan seni Australia.

Melbourne juga dikenali sebagai bandar yang mempunyai empat musim dalam sehari kerana cuacanya yang boleh berubah-ubah tetapi masih boleh merasai keempat-empat musim sepanjang tahun. Oleh hal ini, tidak hairanlah kota ini menjadi salah satu tumpuan pelajar melanjutkan pelajaran di sini kerana latar budaya yang meriah, kepelbagaian budaya dan iklimnya.

Adeena, seorang pelajar doktor falsafah sedang menikmati kopi di pantri universiti bagi memanaskan badannya. Musim luruh kali ini mencecah suhu 6-7 darjah celsius di mana kedinginanya menusuk sehingga tulang sum-sum. Semasa Adeena ingin beredar dari pantri, dia didatangi Waheeda yang mengadu kelaparan dan meminta menemaninya ke kedai untuk membeli makanan. Lalu mereka berdua pun berjalan menuju ke Sushi Hub yang terletak di Melbourne Sentral.

“Sushi-sushi di sini semuanya sedap, tak tahu nak beli yang mana. Akak nak beli yang mana satu?”, tanya Waheeda.

“Oh tak apa, akak tak nak beli, teman Waheeda sahaja. Lagi pun akak dah kenyang”, balas Adeena.

“Tak apa, akak ambil yang mana akak mahu. Belikan juga untuk anak dan suami akak. Saya belanja”, kata Waheeda seolah-olah memahami apa yang difikirkan rakan baiknya itu.

Tidak semena-mena kedengaran esakan kecil Adeena lalu mendorong Waheeda memeluknya dengan satu perasaan yang sukar dimengertikan. Dengan berat, Adeena menjelaskan dia perlu mengawal perbelanjaan dengan ketat kerana biasiswa yang diterima tidak dapat menampung bil-bil utiliti dan deposit yang perlu dilunaskan setibanya mereka di bumi Kanggaru ini. Waheeda menganguk perlahan menandakan dia faham dan merasai kesulitan rakannya itu.

Kini setelah tiga tahun meletakkan noktah untuk pengajian Phd ini, kenangan bermusafir ke negara Kanggaru adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan. Banyak yang boleh dipelajari daripada pemusafiran ini. Antaranya adalah sikap berdikari yang tinggi, mementingkan diri sendiri dan bertanggung jawab terhadap diri sendiri. Kedengaran negatif, tetapi jika dilihat dalam konteks pengajian Phd ianya adalah sesuatu yang positif. Terdapat satu peristiwa yang berlaku semasa pengajiaan Phd di bumi Kanggaru ini yang memberi kesan kepada penulis. Kejadian ini berlaku di tempat kereta dimana seorang jiran tetanga mengalami sawan disebabkan oleh penyakit saraf yang dihadapinya. Penulis yang berada berhampiran dengan tempat kejadian meluru kepada mangsa yang sedang mengaduh kesakitan kerana kecederaan di bahagian kepala kerana terjatuh. Penulis tergesa-gesa ingin membersihkan luka dan menelefon ambulan tetapi dihalang oleh jiran yang lain.

Pada mulanya penulis agak hairan kerana ianya perkara asas yang perlu dilakukan jika berlakunya kemalangan. Setelah diterangkan oleh jiran tersebut, penulis faham dan akur dengan keunikan budaya masyarakat barat ini dan perbezaan pendapat seperti inilah yang perlu diraikan. Masyarakat barat mementingkan tanggungjawab terhadap diri sendiri dan setiap keputusan penting perlulah di teliti oleh empunya badan. Sebagai contoh daripada peristiwa tadi, keputusan untuk menelefon ambulan perlu dipersetujui sendiri dimana ianya akan melibatkan kos kepada jiran. Manakala rawatan luka perlulah dikendalikan oleh orang yang pakar kerana jika tersalah rawatan, ianya akan memburukkan lagi kecederaan yang dialami. Keputusan yang penting ini perlu diambil oleh jiran itu sendiri dan bukannya dibuat oleh orang lain. Peristiwa ini mengajar penulis agar lebih berhati-hati dalam setiap tindakan dan tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan kerana setiap daripada sekecil-kecil keputusan kita sepanjang tempoh pengajian akan memberi kesan kepada pengajian Phd.

Sebagai seorang pelajar Phd, seseorang itu hendaklah lebih berdikari dalam menjayakan pengajian Phd ini tanpa mengharapkan pemantauan rapi oleh penyelia atau pensyarah yang sering kita peroleh dalam pengajian sebelumnya. Ini kerana hasil pengajian Phd ini bukan sahaja menunjukkan kita arif dalam bidang itu, malah ianya adalah satu lambang usaha keras sepanjang tempoh pengajian. Sikap mementingkan diri sendiri juga perlu dalam memastikan pengajian Phd kita tidak terjejas. Ini kerana seseorang itu perlu mengamalkan disiplin yang tinggi bagi memastikan jadual belajar dan urusan peribadi tidak dicampur-aduk. Oleh itu pelajar perlu bijak merancang masa supaya momen-momen indah seperti melancong ke tempat menarik dan menikmati pemandangan dapat diselitkan dalam kehidupan pelajar semasa berada di tempat orang. Professor Dr Norzaidi Mohd Daud dalam bukunya, Tips-tips lulus Phd telah berkongsi berkenaan dengan pengurusan masa semasa Phd. Beliau telah merangka satu garis masa untuk pelajar dimana seawal tahun satu pengajian pelajar perlu fokus dalam meyiapkan proposal pengajian dan bersedia untuk menduduki pembentangan proposal di antara 1-7 bulan pengajian. Aktiviti kajian seperti pengumpulan dan analisis data pula dicadangkan supaya dijalankan sejurus lulus pembentangan proposal dan pelajar perlu menetapkan garis masa pada tahun ke dua sehingga dua tahun setengah untuk peperiksaan lisan viva voce supaya pelajar mempunyai masa yang mencukupi untuk melakukan pembetulan (Mohd Daud, 2019).

Phd juga mengajar erti bertanggung jawab dalam semua aspek. Semasa pengajian Phd tiada yang lebih penting selain daripada menjalankan tangung jawab terhadap diri sendiri dimana pelajar Phd perlu bertanggung jawab terhadap dirinya sendiri dari aspek kesihatan, ekonomi, rumah tangga dan banyak lagi. Namun demikian, tanggung jawab ini bertambah apabila pelajar itu juga menggalas tanggung jawab sebagai seorang ibu atau bapa, isteri atau suami dimana ianya sedikit sebanyak menambah warna-warni dalam perjalanan Phd ini. Ajaran Islam juga amat menyokong konsep akauntabiliti dimana seseorang itu dipertanggunjawabkan sesuatu amanah atau tugasan akan dipersoalkan di hadapan Allah s.w.t atas segala tindakan kesan dari pelaksanaan amanah atau tugasan tersebut (Chandio, 2021). Oleh itu, pelajar perlu bijak dalam mengatur kehidupan sebagai seorang pelajar Phd dan pelbagai topi tangung jawab yang lain kerana setiap tanggung jawab itu pastinya akan dipersoal kelak.

Kejayaan menggengam segulung Phd itu adalah lebih bermakna dengan seribu satu kisah suka duka sepanjang pengajian. Ini kerana, tempoh masa tiga sehingga empat tahun pengajian mengajar seseorang itu supaya tidak mudah berputus asa dan erti tidak kenal penat lelah. Sesungguhnya pengalaman jatuh bangun itu akan mematangkan seseorang dan dapat mempersiapkan seseorang itu untuk kehidupan yang akan datang. Oleh itu janganlah gentar untuk bermusafir untuk mencari ilmu kerana hikmahnya adalah sangat luas.

Rujukan :

Chandio, A. R.(2021). Administrative Accountability: With Special Reference to Islam. International Journal of Engineering and Information Systems, 5(7),33-39.

Mohd Daud, N. (2019).Tips-tips lulus Phd. https://mindappz.com/Learn/LearningView?PId=EdOqfal4Q3A%3D&PId1=vTlccrZXZYw%3D