• Fri, May 2024

TIPS ELAK MUFLIS DI USIA MUDA

TIPS ELAK MUFLIS DI USIA MUDA

Muflis dikalangan golongan muda mencatatkan peningkatan yang membimbangkan saban tahun.Beberapa tips dikongsi untuk mengelak muflis di usia muda diantaranya adalah bijak mengurus kewangan, kemahuan atau kehendak dan menyimpan atau menabung.

Muflis dikalangan golongan muda mencatatkan peningkatan yang membimbangkan saban tahun. Menurut laporan   kajian Pantauan Ekonomi Malaysia Disember 2019 yang diterbitkan oleh Bank Dunia sebanyak 60 peratus individu muflis di Malaysia terutama dikalangan golongan muda. Jabatan Perangkaan Malaysia juga turut melaporkan  dari tahun 2015 hingga 2019, 85,000 individu yang muflis ialah mereka yang berusia 25 tahun ke bawah. Malahan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut mendedahkan individu yang berusia seawal 18 tahun telah diisytiharkan muflis. Menurut Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (pindaan) 2019 golongan belia ataupun dalam kategori muda adalah individu yang berumur 15 tahun sehingga 30 tahun.  

Banyak faktor menjadi punca utama muflis dikalangan individu yang berusia muda. Diantaranya adalah pinjaman 5 serangkai iaitu pinjaman peribadi, kad kredit, pinjaman kereta, pinjaman rumah dan pinjaman pendidikan. Gabungan kelima-lima pinjaman serangkai ini boleh menyebabkan golongan muda muflis seawal usianya. Beberapa tips dikongsi untuk mengelak muflis di usia muda. Diantaranya:  

Bijak mengurus kewangan  

Pengurusan kewangan yang lemah menjadi punca utama muflis di usia muda. Pada usia 20 hingga 30 tahun kebanyakan golongan ini mula mengambil pinjaman kredit dan leka dengan aktiviti perbelanjaan. Contohnya sebaik saja tamat pengajian dan mula bekerja, senario membeli kenderaan menjadi perkara biasa. Malahan pinjaman peribadi untuk perkahwinan menjadi trend dikalangan anak muda. Pada masa yang sama penggunaan kad kredit tanpa had dan kawalan turut berlaku dikalangan anak muda. Hal ini kerana pada usia muda mereka tiada komitmen dan merasakan mampu membayar bulanan pinjaman. Oleh itu golongan muda harus bijak menguruskan kewangan kerana pinjaman serangkai boleh menyebabkan mereka muflis di usia muda. Janganlah  terperangkap dengan bebanan hutang tambahan apabila usia meningkat dan bijaklah dalam mengurusan kewangan anda.

Kemahuan atau kehendak  

Kebiasaannya, pada usia 20 hingga 30 tahun golongan muda mempunyai keinginan dan kehendak. Contohnya keinginan untuk berkereta mewah, telefon pintar yang canggih dan pakaian yang “up-to-date”. Keinginan tersebut tidak menjadi beban dan masalah jika mereka tahu yang mana kehendak dan kemahuan. Golongan muda harus bijak menyenaraikan perbelanjaan mengikut kemahuan atau kehendak. Contohnya yang mana lebih menjadi keutamaan seperti komitment bulanan insurans perubatan atau bulanan kad kredit. Ramai dikalangan anak muda mempunyai lebih dari satu kad kredit. Selain itu, mereka turut cenderung untuk membuat pinjaman peribadi dan ia telah menjadi trend dikalangan anak muda. Bagi mereka pinjaman peribadi adalah untuk meningkatkan taraf kehidupan dan mengekalkan gaya hidup tetapi ia adalah dikategorikan sebagai kehendak. Oleh itu senaraikanlah keutamaan dalam perbelanjaan dan buatlah pilihan yang tepat kemahuan atau kehendak.  

Menyimpan atau menabung  

Langkah pertama setelah mendapat gaji adalah membayar segala komitmen, kedua adalah perbelanjaan dan ketiga apabila ada lebihan haruslah menyimpan atau menabung. Jika gaji naik dan pendapatan telah meningkat menyimpanlah. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan, mungkin berdepan masalah kesihatan, mungkin dibuang kerja dan mungkin berdepan masalah kewangan yang sangat meruncingkan. Contohnya kita tidak menjangka penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh pelosok dunia termasuk Malaysia. Penularan wabak Covid-19 telah menyebabkan jutaan manusia menghadapi masalah kesihatan, dibuang kerja dan perniagaan merudum. Oleh itu ingatlah kata pepatah sediakan payung sebelum hujan.

Kesimpulannya, muflis di usia muda dapat dielakkan jika kita bijak menguruskan kewangan dan perbelanjaan. Senaraikanlah kemahuan dan kehendak. Jangan lupa menyimpan dan menabung. Perancangan hari ini akan menentukan masa depan kita semua.