• Fri, Oct 2025

UMK DAN USK ANJUR SEMINAR PENGURUSAN DAN PERNIAGAAN ISLAM: PERKUKUH KOLABORASI ANTARABANGSA

UMK DAN USK ANJUR SEMINAR PENGURUSAN DAN PERNIAGAAN ISLAM: PERKUKUH KOLABORASI ANTARABANGSA

Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Program Sarjana Pengurusan, Universitas Syiah Kuala (USK) telah menganjurkan Seminar Pengurusan dan Perniagaan Islam pada 16-17 November 2024 bertempat di Pusat Sarjana Pengurusan, USK, Aceh, Indonesia.

Pendahuluan

Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Program Sarjana Pengurusan, Universitas Syiah Kuala (USK) telah menganjurkan Seminar Pengurusan dan Perniagaan Islam pada 16-17 November 2024 bertempat di Pusat Sarjana Pengurusan, USK. Seminar ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman antara kedua-dua institusi, malah turut memperkukuh hubungan akademik dan profesional antara Malaysia dan Indonesia.

Selain sesi seminar, pelbagai program tambahan telah dirangka untuk melengkapkan pengalaman peserta, termasuk lawatan ke Kota Sabang, yang menjadi sebahagian daripada rangkaian aktiviti. Lawatan ini bertujuan untuk mempamerkan elemen budaya dan ekonomi tempatan sebagai inspirasi kepada peserta, khususnya dalam bidang keusahawanan dan pelancongan Islamik.

Dr. Ahmad Nizam, pensyarah kanan Program Pengurusan dan Sarjana Pengurusan USK merangkap pengarah program, menyatakan bahawa seminar ini dianjurkan bagi mengekalkan status cemerlang yang telah diraih oleh Program Sarjana Pengurusan USK. Menurut beliau, acara ini menjadi medium penting untuk menyuntik semangat inovasi dan pembangunan akademik melalui kerjasama antarabangsa yang lebih erat.

Seminar ini bertujuan untuk memperkukuh orientasi antarabangsa dalam aktiviti akademik dan membuka ruang bagi kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan.” jelas beliau. Tambahnya lagi, inisiatif seperti ini juga mampu mewujudkan peluang kolaborasi dalam pelbagai bidang penyelidikan, seterusnya memperkayakan pengalaman akademik untuk kedua-dua pihak.

Perspektif Global: Wacana Antara Institusi

Seminar ini menampilkan ucaptama dari Universiti Malaysia Kelantan, termasuk Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, Prof. Madya Dr. Mohd Asrul Hery Ibrahim, Prof. Madya Dr. Mohd Zulkifli Muhammad, dan Dr. Mohd Afifie Mohd Alwi. Turut hadir ialah pensyarah dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, USK, termasuk Prof. Dr. Shabri A. Majid, serta Dr. Hamdi Harmen, Dekan Fakulti Ekonomi, Universitas Teuku Umar (UTU), Meulaboh, Indonesia.

Ucaptama seminar ini dimulai dengan ucapan daripada Prof. Madya Dr. Mohd Zulkifli Muhammad yang bertemakan “Ketidak-Terhadan Kehendak Manusia dalam Ekonomi Islam Arus Perdana,” bertujuan memberikan wawasan mendalam kepada peserta mengenai hubungan antara nilai-nilai Islam, pengurusan moden, dan cabaran ekonomi global. Menurut beliau, wacana ketidak-terhadan kehendak manusia adalah salah satu realiti yang diakui dalam ekonomi Islam arus perdana, namun ia tidak bermakna kehendak tersebut harus dipenuhi tanpa batasan. Dalam kerangka ekonomi Islam, kehendak manusia yang tidak terbatas ini perlu ditadbir oleh prinsip syariah, yang bertujuan untuk memastikan keseimbangan antara memenuhi keperluan material dan menjaga kesejahteraan spiritual serta sosial. Kehendak manusia perlu diselaraskan dengan keutamaan (prioriti) dalam maqasid al-shariah, seperti menjaga agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta. Pendekatan ini bukan sahaja menghindari sifat tamak dan pembaziran, tetapi juga mendorong ke arah penciptaan nilai yang mampan dan inklusif, sejajar dengan matlamat pembangunan ekonomi yang adil dan seimbang. Oleh itu, ekonomi Islam bukan sekadar memenuhi kehendak manusia, tetapi juga mendidik masyarakat agar beretika, berintegriti, dan bertanggungjawab dalam penggunaan sumber yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Dalam sesi pembentangan Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob pula, beliau menekankan peranan penting wanita dalam memperkukuhkan ekonomi dan keusahawanan berasaskan nilai-nilai Islam. Menurut beliau, wanita merupakan elemen kritikal dalam membangunkan ekosistem perniagaan Islam yang inklusif, progresif, dan berdaya saing di peringkat global. Beliau turut menegaskan bahawa penglibatan wanita dalam ekonomi bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi, tetapi juga memperkukuhkan institusi keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya. Dengan menyuntik nilai-nilai Islam seperti kejujuran, amanah, dan integriti ke dalam aktiviti keusahawanan, wanita dapat menjadi agen perubahan yang membawa impak positif kepada pembangunan ekonomi ummah, sejajar dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam Islam.

Dr. Mohd Afifie Mohd Alwi pula membentangkan berkenaan dengan tema “Konsep Hutang Menurut Perspektif Islam”. Menurut beliau, hutang dalam Islam bukan sahaja dilihat sebagai satu bentuk tanggungjawab kewangan tetapi juga amanah yang mesti ditunaikan dengan penuh integriti dan disiplin. Beliau menegaskan bahawa Islam menggalakkan umatnya untuk berhati-hati dalam berhutang dan hanya melakukannya apabila benar-benar diperlukan, bagi mengelakkan risiko muflis atau tekanan kewangan yang boleh membawa kepada kemudaratan individu dan keluarga. Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa keutamaan membayar hutang dalam Islam adalah amat tinggi, sebagaimana ditekankan dalam pelbagai nas al-Quran dan Hadis, di mana kegagalan melunaskan hutang bukan sahaja memberi kesan kepada hubungan sesama manusia tetapi juga terhadap amalan seseorang di akhirat kelak. Dr. Mohd Afifie juga menggariskan kepentingan etika dan keadilan dalam hubungan kredit, termasuk keperluan mengelakkan riba dan penindasan dalam sebarang transaksi hutang.

Seterusnya, pembentangan akhir disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Asrul Hery Ibrahim berkenaan dengan kaedah penyelidikan dalam bidang pengurusan Islam. Menurut beliau, kaedah penyelidikan dalam bidang ini perlu bersifat holistik, menggabungkan pendekatan kualitatif dan kuantitatif bagi menghasilkan dapatan yang lebih komprehensif. Beliau menekankan bahawa penyelidikan dalam pengurusan Islam tidak hanya terhad kepada analisis praktikal, tetapi juga harus berpandukan prinsip maqasid al-shariah untuk memastikan hasil penyelidikan dapat menyumbang kepada pembangunan ilmu dan kesejahteraan masyarakat. Tambahan pula, beliau turut menggariskan pentingnya menggunakan sumber rujukan yang sahih, termasuk teks-teks Islam klasik seperti al-Quran, Hadis, serta karya ulama terdahulu, selain mengaplikasikan metodologi kontemporari yang sejajar dengan cabaran semasa. Dengan pendekatan ini, penyelidik mampu menghasilkan penemuan yang bukan sahaja relevan tetapi juga mampu memberikan solusi yang bermakna dan beretika dalam konteks pengurusan moden.

image-4.jpeg

Gambar 1: Sesi penyerahan plak dan sijil penghargaan seusai Seminar Pengurusan dan Perniagaan Islam bertempat di Pusat Sarjana Pengurusan, USK

 

Seusai seminar, Dr. Ahmad Nizam menyuarakan harapan agar seminar ini akan terus menjadi platform untuk memperluaskan kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan dan penyelidikan antara USK, khususnya Program Pengurusan dan Magister Pengurusan, dengan institusi luar negara di masa hadapan. “Kami berharap seminar ini akan membuka lebih banyak peluang untuk program kolaborasi dan memperkukuh rangkaian akademik di peringkat global.” tambah beliau.

 

 

image-5.jpeg

Gambar 2: Bergambar di ruang lobi Pusat Program Studi Magister Manajemen, Fakultas Ekonomi dan Bisnis, USK

 

Penutup

Dengan gabungan pandangan akademik dan kepakaran kedua-dua universiti, seminar ini telah berjaya mencetuskan idea serta pendekatan baharu dalam membangunkan ekonomi Islam yang mampan, bukan sahaja di peringkat serantau tetapi juga di arena antarabangsa. Perkongsian ilmu dan pengalaman antara para pembentang dan peserta telah membuka ruang untuk mengintegrasikan nilai-nilai Islam ke dalam kerangka pembangunan ekonomi moden yang lebih holistik dan inklusif.

Berasaskan tema yang relevan dengan perkembangan semasa dalam ekonomi dan pengurusan Islam, seminar ini diharap dapat menjadi platform untuk mencetuskan diskusi bermakna, mencabar pemikiran konvensional, dan mendorong penghasilan penyelesaian baharu yang berteraskan nilai-nilai Islam untuk manfaat sejagat. Selain itu, seminar ini juga diharapkan mampu memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan, dan pemain industri dalam usaha mewujudkan ekosistem ekonomi Islam yang dinamik dan berdaya tahan. Kesinambungan seminar ini akan terus memberi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif yang menyokong kemajuan ilmu dan pembangunan masyarakat berdasarkan prinsip keadilan dan kesejahteraan sejagat.