• Thu, May 2024

MICRO-CREDENTIAL: KE ARAH PENDIGITALAN KAMPUS

MICRO-CREDENTIAL: KE ARAH PENDIGITALAN KAMPUS

Memasuki era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) yang berkembang pesat menuntut perubahan dalam teknologi automasi yang turut memberi kesan kepada bidang pendidikan memandangkan ia bakal memberi kesan langsung kepada bakal graduan yang dihasilkan.

Dalam merealisasikan usaha ini, universiti perlu membuat persediaan secara komprehensif di era revolusi digital untuk terus kekal berdaya saing dan merancakkan kemajuan serta mencorakkan kegemilangan dalam landskap pendidikan negara.  

Selari dengan ledakan globalisasi, pandemik COVID-19 dan perkembangan dunia digital telah memaksa institusi pendidikan untuk berevolusi ke arah digitalisasi, sekali gus meningkatkan kepentingan ' micro-credential ' di dalam Pendidikan seiring peredaran zaman masa kini.

Mungkin ramai yang pertama kali mendengar terma micro-credential dan ini soalan lazim yang sering dilontarkan “Apa itu micro-credential ?”.

"Micro-credential adalah kursus-kursus daripada program yang telah mendapat akreditasi ditawarkan dalam unit pembelajaran yang lebih kecil, bagi membolehkan para pelajar belajar dengan lebih fokus kepada topik atau unit pembelajaran mengikut kesesuaian dan kemampuan mereka. Dalam kata lain, ianya merupakan satu kaedah memperkasa kepakaran “upskilling” spesifik dan menutup jurang kemahiran “skill gap”. Dengan adanya kemahiran tambahan ini, ia akan memberi manfaat kepada golongan yang berkerjaya.

Sistem pembelajaran secara micro-credential ini menyokong usaha pembelajaran sepanjang hayat yang pada masa kini menyaksikan perubahan pantas dalam kemajuan teknologi digital yang secara signifikan telah memberikan impak terhadap landskap ekonomi dunia. Dengan mempertingkatkan usaha pembelajaran sepanjang hayat, pengetahuan dan kemahiran atau kecekapan seseorang individu sentiasa dapat diselaraskan dengan tuntutan serta keperluan semasa. Dalam hal ini, pelaksanaan Micro-credentials dapat menyokong pembelajaran sepanjang hayat yang membolehkan individu untuk mempelajari serta menguasai pengetahuan dan kemahiran atau kecekapan baharu secara fleksibel mengikut keperluan, minat dan situasi individu.  

Di sinilah perlunya kursus-kursus yang ditawarkan secara micro-credential. Di Malaysia banyak institusi pengajian tinggi yang telah menawarkan kursus-kursus secra micro-credential. Antaranya Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn, UiTM, Universiti Sunway, SEGI, UNITAR dan    INTI Malaysia.        

Apakah kelebihan micro-credential?  

Micro-credential direka untuk menjadikan pembelajaran sangat fleksibel dimana pelajar boleh mengikuti pembelajaran pada bila-bila masa 24/7 kerana pembelajaran adalah secara atas sepenuhnya. Capaian kursus boleh dibuat dari mana-mana sahaja dan pada bilia-bila masa yang dirasakan sesuai. Selain itu juga, micro-credential adalah kursus yang diambil mengikut keperluan. Kursus yang dikiuti bersasakan keperluan peribadi dan pembelajaran arah kendiri. Pelajar bebas untuk menentukan laluan pembelajaran sendiri agar sesuai dengan kekangan masa dan keselesaan diri.    

Penting untuk pengetahuan semua, kursus yang ditawarkan secara micro-credential adalah kursus akademik yang diluluskan oleh MQA.  Kelebihan micro-credential  ialah ia merupakan komponen program akreditasi universiti. Setelah berjaya menamatkan kursus micro-credential, pelajar dianugerahkan pensijilan digital. Ini memberikan pengiktirafan dalam bentuk lencana digital terhadap pengetahuan, kemahiran atau kecekapan mikro yang telah diperolehi oleh pelajar. Lencana-lencana digital yang diperolehi itu pula “boleh ditimbunkan” (stackable) bagi tujuan pentauliahan atau kelayakan pada komponen lebih makro, iaitu penganugerahan Sijil Mikro serta Sijil Makro, dan selanjut diploma atau ijazah tertentu, mengikut “model timbunan” (stacking models) yang telah direka bentuk.    

Kesan pandemik Covid-19 pada masa ini memberi kita peluang merancang dan memikirkan inovasi baharu dalam menyelesaikan isu pendidikan alaf baharu yang menekankan keperluan Revolusi IR4.0. Kita juga perlu membina inovasi pembelajaran dan pendigitalan sistem pendidikan serta bersedia mendepani cabaran digitalisasi yang sekiranya tidak diurus dengan baik akan membawa kepada ancaman pada masa depan. Kita harus menerima realiti semasa bahawa micro-credential dan pembelajaran di atas talian merupakan norma baharu pendidikan masa kini yang dapat membantu kemampanan negara untuk terus menghasilkan tenaga kerja yang berdaya saing, kompetetif dan relevan.