• Fri, Apr 2024

PERANAN DAN CABARAN USAHAWAN MUSLIM MASA KINI

PERANAN DAN CABARAN USAHAWAN MUSLIM MASA KINI

Bidang keusahawanan merupakan satu medan dakwah yang cukup penting dalam Islam. Islam amat menggalakkan umatnya menceburkan diri dalam bidang keusahawanan

Rasulullah s.a.w. begitu jelas meletakkan perniagaan sebagai satu kegiatan yang bukan sahaja halal, malah amat digalakkan. Antaranya hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya, seseorang yang membawa tali, lalu dia memikul seberkas kayu, lantas menjualnya, (dengan usaha itu Allah s.w.t menjaga dirinya) adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang, baik mereka yang dipinta itu memberinya atau menghalangnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Berlandaskan kepada prinsip Rabbani, falsafah keusahawanan Islam memandu perlaksanaan aktivitinya mengikut acuan dan syariat Islam. Ia merupakan intipati peranan utama usahawan Muslim kepada masyarakat. Melalui hasil keusahawanan juga, iaitu menerusi perdagangan, Islam sampai ke Asia Tenggara. Namun begitu, usahawan Muslim tidak dapat lari daripada menghadapi cabaran ketika melebarkan usaha perniagaan secara global. Peranan dan cabaran usahawan Muslim selanjutnya dibincangkan seperti berikut.


Peranan usahawan muslim terhadap masyarakat antara lainnya adalah sebagaimana berikut:

  1. Sentiasa bersifat benar dan amanah • Merupakan tanggungjawab usahawan kepada masyarakat kerana penipuan atau pecah amanah merupakan kegiatan mengambil hak pembeli dengan cara yang batil. Sebarang kecacatan yang ada harus dihuraikan kelemahannya supaya pembeli tahu kekurangan dan kelemahannya.
  2. Memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat • Hendaklah sentiasa sedar bahawa dalam menjalankan perniagaan, mereka sedang memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan bukan hanya untuk meraih keuntungan semata-mata. Maka, keselesaan, keselamatan, kepuasan dan kebahagiaan masyarakat itu harus diutamakan. Hal ini sudah pasti menjadi tanggungjawab usahawan yang lebih tahu tentang barang dan perkhidmatan yang mereka sediakan.
  3. Berusaha mengurangi kos pengeluaran • Menyelidik cara dan kaedah bagaimana kita boleh menjual dengan harga yang paling murah. Di samping mendapatkan keuntungan, usahawan harus sedar bahawa harga yang murah akan memberi kepuasan yang lebih kepada pembeli. Contohnya, usahawan boleh berunding dengan para pembekal untuk mengurangkan harga barang yang mereka bekalkan, atau meningkatkan keberkesanan proses pengeluaran dan sebagainya.
  4. Menjaga kualiti barang dan perkhidmatan • Kualiti barang dan perkhidmatan yang disediakan untuk pengguna adalah yang terbaik. Usahawan harus menentukan supaya tidak ada barang yang cacat atau rosak. kelemahannya.

Motivasi Kecemerlangan Usahawan Muslim

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa usahawan ini mempunyai banyak komitmen dan tanggungjawab kepada masyarakat. Keuntungan yang lumayan sentiasa memotivasikan mereka untuk berusaha dengan lebih tekun lagi. Namun begitu dengan keuntungan ini mereka perlu mengeluarkan sebahagian sebagai zakat perniagaan dan cukai pendapatan. Persoalan yang amat menarik di sini ialah mengapakah masih ada manusia yang sangat berminat menjadi peniaga atau usahawan? Secara ringkasnya ialah, peniaga dan usahawan yang berjaya dan cemerlang akan mendapat tiga jenis ganjaran. Bagi peniaga dan usahawan Islam pula, ada dua lagi ganjaran yang disediakan oleh Allah s.w.t untuk mereka selain daripada tiga jenis ganjaran di atas (Syed Othman Alhabshi, t.t:4). Terdapat sebuah hadis yang bermaksud:

“Saudagar yang benar dan amanah akan (dikumpulkan pada hari balasan) bersama-sama para nabi, orang-orang yang benar dan para syuhada”.
(Riwayat al-Tirmidzi)

Dua ganjaran di akhirat ini akan diberikan kepada semua peniaga dan usahawan Muslim yang benar dan amanah, tidak kira sama ada mereka memperolehi keuntungan ataupun kerugian. Maka, bagi mereka yang beroleh keuntungan tetapi tidak mampu memberi apa-apa derma, maka golongan ini akan mendapat empat ganjaran sahaja. Bagi mereka yang mengalami kerugian pula, mereka hanya mendapat tiga ganjaran sahaja.


Cabaran Usahawan Muslim dalam Menghadapi Ekonomi Global

Dunia hari ini sedang berhadapan dengan gelombang perubahan secara mendadak serta mengubah landskap ekonomi di sekeliling kita. Perubahan ini dijangka akan menjadi semakin hebat pada masa akan datang. Sebagai usahawan Muslim yang sejati, mereka haruslah bersedia dari segi mental dan fizikal. Antara cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh usahawan Muslim dewasa ini adalah sebagaimana berikut:

  • Ekonomi global telah bergerak dari ekonomi berbentuk pengeluaran kepada ekonomi berpaksikan pengetahuan. Keuntungan tidak sekadar bersumberkan barangan yang dihasilkan tetapi melalui idea, melalui penciptaan dan melalui perisian yang menjadi hak milik.
  • Cabaran usahawan Muslim untuk berjiwa global, memahami senario global dan dapat mengharungi gelombang global.
  • Cabaran dari segi pengetahuan, menguasai pelbagai kemahiran seperti menguasai teknologi maklumat. Usahawan Muslim yang berupaya bersaing dan berupaya membuat jaringan hubungan dengan bangsabangsa lain di dunia.
  • Liberalisasi dan globalisasi menimbulkan cabaran kepada negara dan menimbulkan cabaran lebih besar kepada usahawan Muslim. Kini kuasa pasaran berperanan lebih penting dan menjadi penentu. Mereka yang gagal bersaing akan tewas. Tidak ada payung yang dapat memberikan perlindungan melainkan daya kebersaingan yang sedia terbina dalam urusniaga sesuatu kumpulan.
  • Usahawan Muslim hendaklah memahami bahawa di peringkat global, tidak mungkin tergubal satu dasar khusus untuk membantu bumiputera (memandangkan ramai bumiputera adalah beragama Islam). Ekonomi global tidak mengenali istilah kuota. Tiada projek khas disediakan untuk bumiputera. Kamus ekonomi global hanya mengiktiraf istilah-istilah seperti persaingan, kompetitif, kualiti, produktiviti, inovatif,
    kreativiti, keaslian, kecekapan dan kecemerlangan.
  • Cabaran dari segi berkomunikasi dan berinteraksi melalui bahasa yang difahami oleh masyarakat global, misalnya bahasa Inggeris, bahasa Jepun, bahasa Perancis dan tidak ketinggalan juga bahasa Cina. Bahasa yang memudahkan hubungan perdagangan dijalinkan secara efisien, bahasa yang dapat memudahkan penyebaran dan penguasaan ilmu secara berkesan.
  • Usahawan Muslim digambarkan sebagai kurang berdaya saing, kurang daya ketahanan. Pelbagai pihak telah menyeru supaya dilakukan satu anjakan sikap, satu revolusi mental bagi mereka. Mereka diseru supaya lebih berdikari, lebih mementingkan ilmu pengetahuan, lebih gigih berusaha, lebih kuat bekerja.
  • Semakin ramai bumiputera Muslim luar bandar yang berkecimpung dalam sektor pertanian. Namun usaha mereka terbatas kepada hasil pertanian mentah dan belum proses. Satu pendekatan pertanian lebih produktif dan radikal perlu dilakukan segera sebagai salah satu pendekatan untuk menjadikan bidang pertanian memiliki nilai ekonomi tinggi.

 

Kesimpulan


Para usahawan ialah mereka yang memperolehi ganjaran berlipat kali ganda daripada Allah s.w.t bukan sahaja kerana memenuhi keperluan masyarakat, bahkan kerana berjaya mengamalkan nilai dan etika Islam dalam usaha mereka itu. Hal ini adalah berasaskan firman Allah s.w.t:

 “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah s.w.t dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian”. (Surah Fatir: 29) 

Terdapat keterangan di dalam kitab “Tafsir An Naisaburi” bahawa tegaknya sebuah negara Islam adalah berpaksikan kepada 5 golongan: Golongan yang dimaksudkan tersebut ialah para ulamak yang bijaksana, pemimpin yang adil, ahli sufi dan tarikat yang berdoa, para pengusaha atau ahli korporat yang jujur dan para pentadbir jabatan kerajaan yang jujur. 

Justeru, para ahli perniagaan, tokoh korporat atau usahawan Muslim adalah merupakan salah satu golongan yang menjadi tonggak negara. Mereka mempunyai satu sistem etika yang merupakan gabungan di antara pelbagai elemen termasuklah iman dan ibadah kepada Allah s.w.t, niat yang baik dan betul, memilih yang halal dan baik, amanah, prihatin kepada orang lain dan sebagainya lagi. Kepatuhan terhadap nilai-nilai ini akan menjadikan mereka berbeza dengan usahawan yang lain dan sepatunya dikenali sebagai Muslimpreneurs.