Sejujurnya, makin hari makin ramai mula sedar tentang pentingnya kesihatan mental. Dah tak macam dulu, di mana topik ini jadi sesuatu yang tabu, disimpan rapi dalam lipatan hidup orang lain. Tapi meskipun kesedaran semakin meningkat, kita masih bergelut untuk benar-benar memahami dan mengurus kesihatan emosi dengan betul.
Contohnya, kalau kita sakit kepala, demam, atau pening, automatik kita akan cari ubat, rehat, atau ke klinik. Tapi bila hati yang sakit, bila kita rasa sempit dada, sesak nafas sebab tekanan, kita lebih selesa senyum pura-pura. Takut dikata lemah. Takut dicop tak kuat iman. Malangnya, luka emosi ni tak berdarah, tapi sakitnya tetap ada.
Baru-baru ni, satu kes yang sangat menyentuh hati berlaku. Seorang pelajar SPM dipercayai membunuh ibunya sendiri kerana tekanan emosi yang terlalu lama terpendam. Bukan sebab dia jahat, tapi sebab minda dan jiwanya dah tak tertampung lagi. Situasi ini bukan rekaan drama. Ia realiti yang berlaku di sekeliling kita. Bila tekanan tak diurus, bila tak ada siapa dengar, akhirnya tragedi berlaku. Ini patut jadi wake-up call untuk semua.
Sebenarnya, punca utama kesihatan mental masih terpinggir adalah kerana persepsi masyarakat yang terlalu sempit. Ramai masih percaya bila seseorang murung, dia kena sihir. Bila ada anxiety, katanya sebab tak cukup berdoa. Padahal, isu kesihatan mental berpunca daripada faktor saintifik dan psikologi. Ia bukan kelemahan peribadi. Tapi selama kita terus berfikir begitu, makin ramai yang akan terus menderita dalam diam. Kita cepat sangat menilai, lambat sangat bertanya, “Apa yang kau sedang rasa sebenarnya?”
Tambahan pula, dalam keluarga, anak-anak kadang-kadang cuma perlukan ruang untuk bercakap, bukan disuruh diam atau dibebel. Bila anak murung, kita anggap dia malas. Bila mereka termenung, kita tuduh mereka tak fokus. Tapi sebenarnya, mereka sedang tunggu untuk difahami. Sayangnya, kita lebih cepat suruh mereka berubah daripada cuba faham apa yang mereka sedang lalui.
Sama juga dalam tempat kerja. Ramai pekerja datang kerja dengan senyum palsu. Dalam hati, kosong. Terbeban dengan KPI, kerja bertimbun, dan suasana yang toksik. Tapi kalau mereka minta cuti untuk jaga kesihatan mental, kita pandang serong. Seolah-olah penat fizikal boleh diberi cuti, tapi penat emosi perlu ditelan begitu saja. Padahal pekerja pun manusia, bukan robot.
Teknologi hari ini dah sediakan pelbagai jalan untuk bantu — aplikasi kesihatan mental, talian sokongan, kaunseling maya. Tapi berapa ramai yang berani guna bila stigma masih kuat? Kita sendiri takut nak kongsi, takut dijauhi, takut jadi bahan gosip. Jadi, semua yang sakit terus berpura-pura sihat.
Namun begitu, kita semua masih ada peranan. Tak perlu tunggu jadi pakar untuk jadi penyelamat. Kadang-kadang, cukup sekadar duduk dan dengar. Jangan beri nasihat yang tidak diminta. Jangan bandingkan kesakitan orang lain dengan kisah kita. Hanya dengar, dan tunjuk yang kita ada. Itu lebih daripada cukup untuk seseorang yang tengah rasa hidupnya gelap.
Dan kalau hari ini kamu terasa penat yang tak boleh diungkapkan, jangan risau. Kau tak keseorangan. Penat itu normal. Letih itu manusiawi. Tak mengapa kalau hari ni kau tak boleh senyum. Tak apa kalau hari ni kau cuma mampu bangun dan duduk diam. Itu pun dah cukup kuat. Kau tak perlu jadi sempurna untuk terus hidup. Bertahan pun dah satu bentuk keberanian.
Akhir kata, dalam dunia yang makin sibuk, makin bising, dan makin menekan, marilah kita cuba jadi manusia yang lebih peka. Tanya kawan, ahli keluarga, atau sesiapa saja, “Kau okey tak hari ni?” Tanya dengan mata, dengan hati. Kadang-kadang, satu soalan kecil itu boleh jadi cahaya dalam hidup orang lain yang sedang tenggelam dalam gelap.
Kesihatan mental bukan masalah orang tertentu. Ia tentang kita semua. Sebab kita semua manusia, dan semua manusia ada rasa. Jadi jangan biar sesiapa pikul semua itu seorang diri.
Ingatlah — kadang-kadang, orang yang paling kuat tertawa, ialah orang yang paling senyap menangis.