• Sun, Dec 2024

7 FALSAFAH EKONOMI ISLAM YANG PERLU ANDA KETAHUI

7 FALSAFAH EKONOMI ISLAM YANG PERLU ANDA KETAHUI

Syariah mewajibkan semua transaksi perniagaan bebas daripada riba’ (faedah), gharar (ketidakpastian), maysir (judi) , dan aktiviti-aktiviti lain yang dilarang oleh Islam.

Prinsip ini membentuk keperluan asas bagi sesebuah institusi kewangan Islam atau singkatannya IKI. Selain itu, operasi dan aktiviti IKI juga adalah tertakluk kepada peraturan dan akta seperti yang telah ditetapkan oleh Akta Perbankan Islam 1983, Akta Takaful 1984, Akta Bank dan Institusi Kewangan atau BAFIA 1989, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, Akta Bank Negara Malaysia 2009, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, dan pelbagai garis panduan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia seperti Kerangka Tadbir Urus Syariah 2011, Dokumen Polisi Tadbir Urus Syariah 2019, dan pekeliling-pekeliling yang lain.

Tujuh (7) Falsafah Ekonomi Islam

Pemahaman kepada sumber Syariah dan prinsip utama bagi pematuhan Syariah ini adalah penting untuk memastikan operasi, aktiviti, produk dan perkhidmatan IKI mematuhi Syariah dan peraturan yang digariskan oleh pengawal selia tempatan iaitu Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti. Dalam hal ini, umat Islam seharusnya memahami konsep atau falsafah ekonomi dari perspektif Islam sebagaimana berikut:

i) Beribadah kepada Allah SWT (Tauhid)

Setiap muslim mestilah bersikap baik kepada orang lain apabila mereka menjalankan urusan perniagaan dan juga transaksi-transaksi yang lain. Konsep tauhid dalam kegiatan ekonomi adalah merujuk kepada tanggungjawab manusia, iaitu makhluk ciptaan Allah SWT menggunakan sumber secara efisien untuk menjana keuntungan dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh Syarak serta menjaga alam sekitar. Konsep ini juga adalah selari dengan konsep 3P iaitu berkaitan dengan keuntungan (profit) , manusia (people) dan alam (planet) ini. Justeru, setiap tindakan yang diambil oleh individu mahupun syarikat perlulah mengambilkira implikasinya kepada pihak lain kerana ia merupakan ibadah di sisi Allah SWT. 

ii) Tuhan adalah penguasa alam semesta ( rububiyyah )

Allah adalah penggubal undang-undang dan juga pencipta serta pemilik alam semesta ini. Hukuman dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT wajib dipatuhi oleh umat Islam termasuk dalam urusan ekonomi. Apabila manusia tidak menggunakan peraturan yang telah digariskan oleh Allah SWT bererti manusia tersebut tidak mengiktiraf Allah sebagai penguasa alam semesta dan tidak beriman dengan tauhid rububiyyah Nya.

iii) Berbudi bahasa (berakhlak)

Aktiviti ekonomi perlu dijalankan secara berakhlak supaya Muslim tersebut dapat mencapai tingkah laku yang baik. Dalam erti kata lain, aktiviti perniagaan tidak seharusnya menimbulkan penindasan dan penipuan di kalangan pihak-pihak yang terbabit. Amalan-amalan tersebut adalah dilarang kerana ia tidak selari dengan intipati pembentukan akhlak yang baik sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.  

iv) Beriman kepada Hari Kiamat

Konsep ini mempunyai kaitan dengan konsep akauntabiliti atau kebertanggungjawaban dalam semua aktiviti termasuk urusan perniagaan. Mengikut konsep ini, segala perbuatan manusia samada perbuatan yang baik dan juga perbuatan yang buruk akan dicatat dan diberikan ganjaran oleh Allah SWT. Akibatnya, perbuatan baik akan mendapat balasan yang baik, dan perbuatan jahat pasti akan mendapat balasan yang buruk. Muslim yang beriman dengan hari kiamat sudah pasti akan berhati-hati dengan tingkahlakunya kerana percaya setiap perbuatan tersebut tidak terlepas daripada proses perekodan akaun Allah SWT dan pasti akan diaudit olehNya di padang mahsyar nanti. 

v) Manusia sebagai makhluk yang menjaga alam (khalifah)

Sebagai khalifah yang diamanahkan oleh Allah SWT untuk mentadbir dunia, manusia dilengkapi dengan kecerdasan dan akal fikiran. Oleh itu, mereka diciptakan dengan tanggungjawab untuk mengurus dunia dengan sewajarnya. Sebagai pengurus organisasi, mereka perlu merancang dengan sebaiknya, memperuntukkan dan mengagihkan sumber secara adil dan saksama tanpa sebarang rasuah dan dominasi ke atas sumber tersebut.

vi) Hak sama rata individu

Islam mengiktiraf hak setiap individu secara adil, tanpa mengira etnik, jantina, dan kelas sosial. Paksaan oleh satu kumpulan manusia terhadap kumpulan manusia yang lain boleh menyumbang kepada kepincangan fungsi masyarakat itu secara total. Justeru, apabila Muslim sebagai khalifah atau wakil Allah di atas muka bumi ini berperanan secara efektif, setiap individu di bawah jagaannya akan dapat menikmati haknya secara adil dan menerima pembelaan yang sewajarnya. 

vii) Allah SWT adalah pemilik harta yang mutlak

Untuk mengelakkan manusia daripada bersikap tamak terhadap harta benda, Allah SWT menyebut dalam Al Quran bahawa Dialah pemilik harta yang muktamad atau mutlak. Justeru, untuk berlaku adil kepada orang lain, Islam memerintahkan umat Islam untuk mengagihkan sebahagian daripada harta mereka kepada fakir miskin dan pihak yang layak menerima harta ini dalam bentuk zakat. Setiap Muslim perlu sedar bahawa Allah SWT berhak untuk menarik balik kekayaan dan juga limpah kurniaanNya pada bila-bila masa kerana Dialah pemilik mutlak kepada kekayaan tersebut. 

Penutup

Kesimpulannya,  kehidupan ekonomi yang dibayangkan dalam falsafah ekonomi Islam didasari oleh suatu disiplin diri dan bertujuan untuk mencapai ketenangan jiwa yang dibentuk oleh sistem kepercayaan tentang kebenaran dalam Islam, didorong oleh aspirasi rohani yang tinggi, dan dituntun oleh hukum Ilahi. Namun, ini tidak bermakna kita perlu menolak sumbangan tradisi ekonomi barat atau ahli ekonomi yang mendapat pendidikan di luar negeri. Sebaliknya, ahli-ahli ekonomi, korporat, politik, penggubal dasar dan sebagainya perlu bermuhasabah dan merujuk kepada ahlinya berkenaan pandangan hidup Islam secara menyeluruh tanpa menjuzu’kan sebahagian ilmu ekonomi dari sebahagian yang lain.