Malaysia kini semakin mendapat pengiktirafan sebagai salah satu hab fesyen dunia. Namun demikian, kemajuan ini turut memperlihatkan kemunculan satu isu kritikal yang sering diabaikan, iaitu fenomena Fast Fashion. Cetusan ini bermula ekoran berlakunya Fashion Revolution di Bangladesh pada tahun 2013. Dengan matlamat utama untuk memanfaatkan gaya terkini dengan cepat sambil memastikan kos rendah dan produk mudah didapati dalam pasaran. Fast Fashion berbekalkan kepada model perniagaan dalam industri fesyen yang memberi penumpuan terhadap pengeluaran pakaian dalam skala yang besar, murah dan pantas, sambil meniru trend fesyen terkini. Contoh yang boleh diketengahkan seperti UNIQLO, H&M , Forever 21 dan Zara . Selain pakaian, Fast Fashion turut menawarkan koleksi aksesori yang boleh disuai padan supaya menampakkan penataan gaya yang menarik
Bagaimana Fast Fashion membantu ekonomi negara:
- Mewujudkan Peluang Pekerjaan: Industri Fast Fashion menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi melalui penawaran peluang pekerjaan di pelbagai peringkat. Ini membantu mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan pendapatan isi rumah terutamanya dalam bidang pembuatan, pemasaran, pengedaran, dan peruncitan dengan pertambahan cawangan di sini.
- Merancakkan Aktiviti Peruncitan: Fast Fashion menarik minat pengguna untuk kerap berbelanja kerana menawarkan koleksi pakaian baru secara berkala. Kedai-kedai yang menjual produk Fast Fashion sering melihat peningkatan dalam jumlah pengunjung dan jualan. Ini membawa kepada pertumbuhan sektor runcit dan meningkatkan permintaan untuk premis perniagaan, yang seterusnya menyumbang kepada pembangunan sektor hartanah.
- Peluang kepada Eksport dan Import: Industri Fast Fashion turut menyumbang kepada eksport dan import negara. Malaysia, sebagai contoh, mengimport sejumlah besar pakaian dari negara-negara yang terkenal dalam pembuatan pakaian kos rendah seperti China dan Bangladesh. Pada masa yang sama, negara kita boleh mengeksport produk Fast Fashion melalui jenama tempatan ke pasaran luar negara. Peningkatan aktiviti perdagangan ini menyumbang kepada pertumbuhan KDNK dan keseimbangan ekonomi.
- Inovasi Teknologi dalam pnggunaan E-Dagang: Perkembangan Fast Fashion juga memacu inovasi teknologi, terutamanya dalam bidang pemasaran digital. Jenama-jenama Fast Fashion sering menggunakan platform digital untuk melariskan produk mereka secara dalam talian. Ini membuka peluang kepada pertumbuhan e-dagang seperti Shopee, Lazada atau Zalora di Malaysia, yang menjadi medium penghubung antara peruncit dan pengguna.
Bagaimana Fast Fashion membantu pilihan pengguna:
- Kempen Pemasaran yang berasakan trend: Fast Fashion menumpukan kepada mempromosikan pakaian terkini berdasarkan trend semasa, sering kali diilhamkan oleh peragaan fesyen atau media sosial.Kempen pemasaran ini akan memastikan pengguna merasakan keperluan untuk membeli seperti pengenalan jualan mega pada hari tertentu.
- Meningkatkan Kadar Perbelanjaan (Consumer Spending): Fast Fashion mempromosikan budaya membeli-belah yang berasaskan trend dan harga mampu milik, yang mendorong pengguna untuk berbelanja lebih kerap. Pengguna, terutamanya golongan muda, sering kali membeli dengan kerap untuk mengikut gaya terkini, yang meningkatkan perbelanjaan domestik. Perbelanjaan yang lebih tinggi ini membantu pertumbuhan ekonomi negara melalui peningkatan dalam permintaan produk dan perkhidmatan.
- Pengaruh Media Sosial dan Influncer: Media sosial dan Influencer memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi tingkah laku pengguna dalam industri Fast Fashion. Platform seperti Instagram, TikTok, dan YouTube memberikan ruang bagi Influncer untuk memperkenalkan produk fesyen terkini dengan cara yang sangat visual dan kreatif. Pengguna, terutamanya golongan muda, cenderung untuk meniru gaya dan pilihan fesyen yang dipromosikan oleh Influencer kesukaan mereka, yang meningkatkan hasrat untuk membeli pakaian mengikut trend semasa dan sering kali mengaitkan dengan identiti mereka
- Pembelian Impulsif: Strategi pemasaran yang digunakan oleh pengeluar Fast Fashion memanfaatkan psikologi pengguna untuk mencipta situasi pembelian tanpa perancangan dan keseronokan. Ini termasuk mempromosikan koleksi yang sentiasa berubah dan terhad sebelum kehabisan stok. Salah satu contoh terkini bagi pembelian impulsif dalam Fast Fashion di Malaysia adalah fenomena "Beg Kuning" di TikTok. Trend ini bergerak pantas, dan sering kali dipacu oleh video viral yang menunjukkan influencer membeli atau pun sikap Must Have pengguna.
Natijahnya, industri Fast Fashion telah membawa impak yang signifikan kepada ekonomi negara dan pilihan pengguna, dengan mencipta peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti peruncitan, serta membuka peluang eksport dan import. Pemasaran berasaskan trend dan penggunaan media sosial memainkan peranan utama dalam mempengaruhi tingkah laku pengguna, mendorong mereka untuk membeli dengan lebih kerap, meningkatkan perbelanjaan, dan menggalakkan pembelian impulsif. Walaupun memberikan manfaat ekonomi, fenomena Fast Fashion juga menimbulkan cabaran terhadap kelestarian dan kesan alam sekitar. Oleh itu, adalah penting untuk mengimbangi antara kemajuan industri ini dan tanggungjawab sosial serta persekitaran dalam membentuk masa depan yang lebih mampan.