• Mon, Apr 2024

HALA TUJU USAHAWAN ISLAM MALAYSIA MASA KINI

HALA TUJU USAHAWAN ISLAM MALAYSIA MASA KINI

Keusahawanan merupakan bidang yang diberi penekanan oleh Islam. Masyarakat yang terdiri daripada usahawan boleh dianggap sebagai masyarakat yang berjaya kerana usahawan merupakan individu yang kreatif, inovatif dan dinamik. Ditambah pula dengan dunia dilanda wabak pandemik COVID-19 banyak memberi kesan kepada usahawan, namun, mereka sanggup berhadapan dengan risiko demi mencapai kejayaan.

PENGENALAN

Keusahawanan merupakan bidang yang diberikan penekanan oleh Islam. Institusi pengajian tinggi di Malaysia turut mewajibkan agar setiap pelajar mengambil kursus keusahawanan. Ia antara lain bagi menggalakkan golongan belia terutamanya belia Muslim agar dapat menceburi bidang ini seterusnya menjadikannya sebagai sumber pendapatan utama kelak. Masyarakat yang terdiri daripada usahawan boleh dianggap sebagai masyarakat yang berjaya. Ini adalah kerana usahawan merupakan individu yang kreatif, inovatif dan dinamik. Ditambah pula dengan dunia dilanda wabak pandemik COVID-19 banyak memberi kesan kepada usahawan, namun, mereka sanggup berhadapan dengan risiko dan cabaran semata-mata untuk mencapai kejayaan. 

Keusahawanan atau perniagaan yang dijalankan secara beretika dan menurut prinsip-prinsip Syariah amat dituntut oleh Islam. Dalam sesebuah masyarakat Islam, perniagaan dan perdagangan merupakan satu tanggungjawab sosial yang merupakan fardu kifayah. Ia juga merupakan sebahagian dari tuntutan umum supaya manusia saling bantu membantu dan bekerjasama dalam kehidupan seharian selain memenuhi keperluan hidup bermasyarakat. Bagi umat Islam ia adalah sebahagian daripada usaha kerjasama takwa dan perkara kebaikan. Justeru itu, keusahawanan atau perniagaan adalah suatu bentuk sumbangan kepada masyarakat umum dan sangat penting dalam kehidupan dan tamadun manusia.

DEFINISI USAHAWAN DALAM ISLAM

Definisi usahawan dalam bahasa Inggeris iaitu entrepreneur adalah berasal daripada bahasa Perancis entreprendre yang bermaksud memikul atau mencuba iaitu sesiapa yang terlibat dalam perniagaan sama ada membuat, menjual atau berdagang barang-barang tersebut. Sedangkan dalam bahasa Malaysia istilah usahawan sebenarnya berasal daripada perkataan usaha yang membawa maksud daya upaya termasuk ikhtiar, kegiatan, perbuatan dan lain-lain hal untuk melaksanakan atau menyempurnakan sesuatu pekerjaan. 

Oleh yang demikian, usahawan adalah seorang yang berusaha untuk menghasilkan sesuatu yang baru, berbeza dan bernilai yang diterima oleh masyarakat dengan menggunakan segala sumber yang sedia ada dan menanggung risiko kewangan dan kepuasan diri. Usahawan juga mempunyai keistimewaan yang membolehkannya mewujudkan peluang pelaburan dan mengenal pasti projek-projek yang dianggap menguntungkan mengikut batas-batas Islam. Justeru itu, bidang keusahawanan ini amat dimuliakan dalam Islam. Jika dilihat dari aspek keusahawanan Islam, status pekerjaan tidak menjadi ukuran, selama mana usaha yang dilakukan adalah dari aktiviti yang halal. Allah s.w.t. telah menganjurkan perniagaan sebagai satu bidang yang boleh diterokai seperti firman-Nya yang bermaksud: 

            “Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan ibadat haji). Kemudian apabila bertolak turun dari Padang Arafah (menuju ke Muzdalifah), maka sebutlah nama Allah s.w.t. (dengan doa, talbiah dan tasbih di tempat Masyaril-Haram (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah s.w.t. dengan menyebut-Nya sebagaimana  Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepada kamu; walaupun, sebelum ini kamu adalah dari golongan orang yang sesat (tersalah jalan ibadatnya).”     

                                                (Surah al-Baqarah:198)

Hakikatnya ayat ini diturunkan sewaktu timbulnya keraguan di kalangan umat Islam yang mengerjakan haji pada musim itu, sama ada mereka boleh berniaga pada musim haji ataupun sebaliknya. Dengan terjawabnya keraguan itu, maka musim haji itu sendiri adalah satu perhimpunan antarabangsa yang banyak memberi manfaat kepada umat Islam khususnya para usahawan.

Oleh yang demikian, usahawan Islam bermaksud seseorang yang bersedia mengabdikan dirinya kepada Allah melalui perniagaan dalam usaha untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah dengan menyediakan perkhidmatan kepada seluruh masyarakat. Firman Allah s.w.t. itu begitu jelas meletakkan perniagaan sebagai satu kegiatan yang bukan sahaja halal, malah amat digalakkan. Terdapat hadis Nabi s.a.w juga menerangkan kelebihan orang yang berusaha sendiri. Antaranya:

            “Sesungguhnya, seseorang yang membawa tali, lalu dia memikul seberkas kayu, lantas  menjualnya, (dengan usaha itu Allah s.w.t. menjaga dirinya) adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang, baik mereka yang dipinta itu memberinya atau menghalangnya.”   

          (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hakikatnya, generasi pertama Islam telah melahirkan ramai usahawan yang beriman dan turut memainkan peranan yang penting dalam penyebaran agama Islam. Para sahabat seperti Abdurrahman bin Auf, Zubair Ibnu Awwam, Talhah bin Ubaidilah dan Shuhaib bin Sinan mempunyai kualiti, keperibadian dan etika keusahawanan yang amat tinggi. Kehebatan Abdurrahman bin Auf misalnya dalam pengendalian perdagangan dirakamkan dalam kisah terkenal ketika kota Madinah menjadi gempar dengan kedatangan kafilah perdagangan mengandungi 700 kenderaan kepunyaan beliau.

Bidang keusahawanan merupakan satu medan dakwah yang cukup penting dalam Islam. Islam amat menggalakkan umatnya menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Kita juga sedar dan arif bahawa melalui keunggulan usahawan Islam inilah, iaitu menerusi bidang perdagangan, Islam akhirnya sampai ke Asia Tenggara termasuklah Malaysia melalui Kota Melaka.

DORONGAN KE ARAH KEUNGGULAN USAHAWAN ISLAM 

Sedikit orang yang mengetahui bahawa usahawan mempunyai bidang tugas dan tanggungjawab yang besar kepada masyarakat dalam menghadapi era teknologi baharu dan cabaran ekonomi masa kini. Oleh yang demikian, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa usahawan mempunyai banyak komitmen kepada masyarakat. Keuntungan yang lumayan sentiasa memotivasikan mereka untuk berusaha dengan lebih tekun lagi. Namun begitu dengan keuntungan ini mereka juga perlu mengeluarkan sebahagian daripada keuntungan tersebut bagi melunaskan zakat perniagaan dan cukai pendapatan.

Persoalan yang amat menarik di sini ialah mengapakah masih ada manusia yang sangat berminat menjadi peniaga atau usahawan? Secara ringkasnya adalah usahawan yang berjaya dan cemerlang akan mendapat tiga jenis ganjaran. Pertama, keuntungan yang lumayan, kedua adalah kepuasan dari peluang menyumbangkan pelbagai jenis perkhidmatan yang baik kepada masyarakat dan ketiga adalah kepuasan kerana dapat memberi sumbangan derma kepada berbagai kegiatan masyarakat dalam bentuk kebajikan dan sosial. Bagi usahawan Islam pula, ada dua lagi ganjaran yang disediakan oleh Allah s.w.t. untuk mereka selain daripada tiga jenis ganjaran di atas. Terdapat sebuah hadis yang bermaksud:

"Saudagar yang benar dan amanah akan (dikumpulkan pada hari balasan) bersama-sama para nabi, orang-orang yang benar dan para syuhada".

                                                                                                              (Riwayat al-Tirmidzi)

Hadis ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t. mengurniakan dua faedah lagi kepada usahawan Muslim, dengan syarat mereka itu bersifat benar dan amanah. Pertama, pangkat atau darjat para usahawan diangkat di akhirat nanti ke taraf para nabi, orang-orang benar dan para syuhada. Darjat yang dikurniakan ini boleh dikatakan sangat tinggi dan mulia. Bayangkan sahaja bahawa Allah s.w.t. telah menjadikan hanya 124,000 orang Nabi dan hanya 313 orang dari mereka adalah para Rasul. Sekiranya kita manusia biasa ini diberikan taraf yang setaraf dengan para Nabi, maka kita merupakan sebilangan kecil sahaja manusia yang bertaraf demikian di akhirat nanti. Kedua, selain dari taraf yang amat tinggi itu mereka juga diberi balasan syurga.

Dua ganjaran di akhirat ini akan diberikan kepada semua usahawan Muslim yang benar dan amanah, tidak kira sama ada mereka memperolehi keuntungan atau pun kerugian. Maka, bagi mereka yang beroleh keuntungan tetapi tidak mampu memberi apa-apa derma, maka golongan ini akan mendapat empat ganjaran sahaja. Bagi mereka yang mengalami kerugian pula, mereka hanya mendapat tiga ganjaran sahaja. 

Titik tolak daripada membicarakan tentang persoalan ganjaran ini, persoalan lain mula timbul iaitu yang manakah paling baik? Sudah tentulah mereka yang mendapat lima ganjaran. Mereka ini sebenarnya adalah usahawan yang cemerlang usaha mereka, cemerlang dari segi teknik perniagaan mereka, cemerlang juga dari segi akhlak mereka dan cemerlang pula dari segi ganjaran mereka. Oleh itu amat realistik sekali untuk kita mengetahui bahawa Islam itu sesungguhnya menuntut umatnya bukan hanya setakat berniaga dan berusaha, tetapi seharusnya berniaga dan berusaha dengan cemerlang dan sedar akan hala tuju yang harus dihadapi pada masa kini.

HALA TUJU USAHAWAN ISLAM MALAYSIA MASA KINI 

Dunia hari ini sedang berhadapan dengan gelombang perubahan secara mendadak serta mengubah landskap ekonomi di sekeliling kita. Perubahan ini di jangka akan menjadi semakin hebat di masa akan datang khususnya di zaman tanpa sempadan ini. Sebagai seorang usahawan Islam yang sejati, mereka haruslah bersedia dari segi mental dan fizikal. Ini penting dalam memperlihatkan hala tuju usahawan Islam itu sendiri samada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Penguasaan Teknologi oleh Usahawan Islam 

Meneroka bidang perniagaan umpama menyerah diri pada satu pertimbangan, antara kejayaan atau kegagalan. Dunia tanpa sempadan telah memberi ruang kepada usahawan Islam untuk terus bergerak ke hadapan dengan menguasai pelbagai kemahiran seperti menguasai teknologi dan inovasi. Mahir dalam aspek digitalisasi termasuk teknologi rantaian blok ( blockchain ) dianggap sebagai senjata utama setiap usahawan yang ingin berjaya dalam sesuatu perniagaan yang mereka ingin ceburi. Usahawan Islam perlu berupaya bersaing dan berupaya membuat jaringan hubungan dengan bangsa-bangsa lain di dunia yang setanding berdiri sama tinggi dan berlari sama pantas. Ditambah pula dunia dan tidak terkecuali Malaysia dilanda wabak pandemik COVID-19, usahawan Islam seharusnya mampu memanfaatkan teknologi baharu dalam memastikan pemulihan perniagaan daripada pandemik COVID-19 serta daya tahan perniagaan terhadap krisis akan datang. Pandemik COVID-19 dilihat menunjukkan keperluan yang ketara bagi mendapatkan teknologi baharu yang canggih dan moden, mudah disesuaikan ( adaptable ) dan bercirikan transformatif ( transformative ) untuk terus menyokong inovasi digital. Transformasi sebagai negara berteknologi tinggi adalah menjadi kewajipan semua pihak termasuk usahawan Islam untuk saling bekerjasama dalam merealisasikan model perniagaan bagi meneroka teknologi baharu.

Merebut Peluang Pasaran Makanan Halal Global

Pada tahun 2020 dianggarkan pasaran makanan halal global telah bernilai lebih dari USD1.96 trilion (RM8.77 trilion). Oleh itu usahawan Islam tempatan perlu merebut peluang yang wujud ini bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat makanan halal dunia. Usahawan Islam juga harus waspada bahawa ekonomi global telah bergerak dari ekonomi berbentuk pengeluaran kepada ekonomi berpaksikan pengetahuan dan inovasi digitalisasi. Keuntungan tidak sekadar bersumberkan barangan yang dihasilkan tetapi melalui idea, melalui penciptaan dan melalui perisian yang menjadi hak milik. Era baru ekonomi global menggunakan kayu ukuran iaitu menggunakan dacing timbangan dalam era inovasi digitalisasi.

Meletakkan Usahawan Islam di Peta Dunia

Usahawan Islam sewajarnya mempelbagaikan bidang dan bukan hanya tertumpu kepada satu bidang sahaja seperti sektor makanan dan pertanian. Ini jelas kelihatan senario yang wujud di kalangan usahawan Islam sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan iaitu tahun 1970. Sebenarnya untuk meletakkan usahawan Islam di peta dunia maka mereka perlu berdaya saing, memahami senario global dan dapat mengharungi gelombang perubahan permainan pasaran.  Inovasi dalam penghasilan barangan, pengiklanan, pemasaran, logistik dan penjualan barangan menimbulkan cabaran kepada negara dan menimbulkan cabaran lebih besar kepada usahawan Islam. Kini kuasa pasaran berperanan lebih penting dan menjadi penentu. Mereka yang gagal bersaing akan tewas. 

Menggalakkan Belia Islam Menceburi Bidang Usahawan

Dewasa ini ramai graduan daripada universiti awam mahupun swasta gagal mendapat kerja di pasaran pekerjaan. Perkara ini telah mendapat perhatian serius daripada Perdana Menteri Malaysia sendiri. Lantaran itu pelbagai insentif diberikan bagi menarik lebih ramai golongan ini terlibat dalam bidang usahawan. Contohnya inisiatif seperti Program MyKasih Kapital bagi menggalakkan wanita menjana pendapatan yang merangkumi bantuan asas modal perniagaan, bimbingan serta latihan bagi menggalakkan perniagaan secara dalam talian, Skim Semarak Niaga Keluarga Malaysia iaitu dana pembiayaan padanan ( matching fund ) bagi membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi meningkatkan amalan lestari perniagaan, Skim Mikrokredit Sukan TEKUN iaitu skim pembiayaan suntikan modal pusingan untuk memulihkan dan memulakan semula perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 kepada usahawan fasiliti sukan, Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF)-Equity Crowdfunding (ECF) dan Peer-to-peer Financing (P2P) iaitu pelaburan bersama dalam PMKS dan Perusahaan Sosial di samping pelaburan melalui platform pendanaan awam ( crowdfunding ) dan pembiayaan Peer-to-peer (P2P) .

Negara Malaysia Menjadi Pusat Perdagangan Islam

Negara Malaysia merupakan antara negara yang termaju dalam melaksanakan dan memperjuangkan sistem perbankan Islam sama ada peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Perkara ini telah menarik minat negara-negara asing untuk terlibat secara langsung dengan produk perbankan Islam yang dilihat lebih kompetitif dan stabil berbanding dengan produk konvensional. Sehingga tahun 2020, aset perbankan Islam di Malaysia adalah berjumlah USD264.5 bilion (RM1,183.37 bilion) mewakili 34.2% daripada keseluruhan saiz pasaran perbankan di Malaysia. Dijangkakan saiz pasaran perbankan Islam ini akan mencapai 50% menjelang tahun 2030 apabila sektor perbankan Islam dilihat berjaya memperkukuh daya tahannya semasa pandemik COVID-19. Ini secara tidak langsung telah menunjukkan peningkatan perdagangan antara Malaysia dan negara luar termasuklah di Eropah dan Timur Tengah. Dengan peluang yang wujud ini sudah pasti memberi impak positif kepada usahawan Islam bagi mempromosikan lagi produk mereka di peringkat antarabangsa. 

Hakikatnya ada banyak perkara yang perlu dilakukan oleh usahawan Islam untuk berjaya. Paling utama, usahawan perlu menyiapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan tertentu mengenai perniagaan yang diusahakan serta kemahiran dalam aspek pengurusan organisasi. Pada masa yang sama, usahawan bukan sahaja perlu melakukan perkara tertentu untuk berjaya, tetapi juga perlu mengelakkan diri daripada melakukan perkara tertentu untuk mengelakkan kegagalan.  Keusahawanan merupakan bidang yang diberikan penekanan oleh Islam. Kerajaan Malaysia amat menggalakkan rakyat khususnya masyarakat Islam untuk menyertai bidang ini yang amnya didominasi oleh masyarakat bukan Islam.  Pelbagai dasar dan pakej ransangan telah diperkenalkan untuk menggalakkan penyertaan golongan bumiputera amnya dan Muslim khususnya, namun hasilnya masih jauh daripada yang disasarkan.

RUMUSAN

Oleh yang demikian, hala tuju usahawan Islam mempunyai tugas yang istimewa kepada agama, bangsa dan negara. Sebagai manusia yang dijadikan oleh Allah s.w.t., mereka haruslah melaksanakan segala tugas yang membawa kepada kebahagiaan hidup mereka bukan sahaja di dunia ini tetapi juga di akhirat kelak. Usahawan Islam mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang dapat membezakannya dengan usahawan biasa.  Kerjaya sebagai seorang usahawan sememangnya menjanjikan pendapatan yang lumayan. Namun, usahawan yang dianjurkan dalam ekonomi Islam ialah usahawan yang cuba memaksimumkan pahala disamping memaksimumkan kepuasan dan keuntungan. Justeru itu, usahawan Islam ini akan dianggap berjaya sekiranya mereka mampu memperolehi kejayaan di dunia dan di akhirat ( al-falah ) dan seterusnya mendapat keredhaan Allah s.w.t. bukan sahaja kerana memenuhi keperluan agama, bangsa dan negara, bahkan kerana berjaya mengamalkan nilai dan etika Islam dalam usaha mereka itu.