“ RM10 sehari cukup ke?” soalan ini mungkin kedengaran biasa dalam kalangan mahasiswa hari ini. Ekonomi dunia yang semakin mencabar menjadi satu kesukaran pada mahasiswa untuk terus bernafas dalam mengharungi cabaran ekonomi. Kisah tentang kos sara hidup sering menjadi bahan isi perbincangan di parlimen Malaysia. Malahan, bukan setakat di parlimen tetapi di media sosial, keratan akhbar dan sebagainya sering mengutarakan isu ini. Harga makanan yang semakin meningkat, bayaran kos pengangkutan yang semakin membebankan dan kos sewa penginapan menjadi seakan perkara yang sentiasa difikirkan oleh mahasiswa pada masa kini. Oleh sebab itu, antara kemahiran yang amat diperlukan oleh mahasiswa adalah kemahiran pengurusan kewangan.
Bagi kebanyakan pelajar, pada waktu makan, menu kegemaran bukanlah menjadi pemerhatian utama mereka tetapi dimanakah kedai makanan yang murah untuk mereka berjimat dalam menghadapi hari hari yang mendatang. Dalam hal ini, ada mahasiswa yang sanggup berjalan lebih jauh semata-mata untuk mendapatkan pilihan makanan yang lebih murah dan ada juga yang rela memasak sendiri bagi menjimatkan perbelanjaan. Perbezaan setiap ringgit menjadi satu nilai yang sangat memberi makna kepada kehidupan seorang mahasiswa.
Seterusnya, pengangkutan juga menjadi komponen perbelanjaan wajib pada mahasiswa. Sama ada menggunakan kenderaan sendiri, pengangkutan awam atau perkhidmatan e-hailing, kos perjalanan ke kelas, program universiti dan latihan industri akan memberi kesan pada bajet kewangan pelajar.
Jika dilihat dari segi penginapan, tidak hairanlah sekiranya terdapat rumah sewa yang menempatkan sehingga 10 penyewa yang terdiri daripada mahasiswa universiti. Perkara ini terjadi kerana peningkatan kadar sewaan rumah dan bilik di sekitar kawasan universiti menyebabkan keputusan menyewa secara beramai-ramai menjadi perkara biasa untuk menjimatkan perbelanjaan mahasiswa. Tetapi di sebalik kesukaran yang mahasiswa hadapi pada masa kini dapat membentuk mahasiswa menjadi cekap dalam menguruskan kewangan dan mereka lebih bersistematik dalam memanfaatkan pelbagai bantuan kerajaan mahupun swasta yang disediakan untuk mereka.
Perkara ini tidak terhenti begitu sahaja, mahasiswa juga semakin berdikari dan bijak dalam menguruskan kehidupan mereka. Mahasiswa kini semakin aktif dalam mencari pendapatan sampingan malalui perniagaan dalam talian, menjadi tutor, pereka kandugan digital atau menjadi pemandu e-hailing untuk mermbantu mereka dalam bertahan untuk berbelanja bagi memenuhi keperluan kehidupan seharian.
Sebagai warga Universiti Malaysia Kelantan yang terkenal dengan budaya keusahawanan, mahasiswa perlu melihat cabaran kos sara hidup bukan sekadar sebagai halangan, tetapi juga peluang untuk membina kreativiti, ketahanan diri dan kemahiran pengurusan kewangan. Dengan perancangan yang baik, sokongan daripada universiti serta semangat untuk terus berusaha, setiap cabaran yang dihadapi hari ini mampu menjadi bekalan berharga untuk kejayaan pada masa hadapan.