• Mon, Feb 2026

TRANSFORMASI DIGITAL DALAM PENGURUSAN HOMESTAY: IMPLIKASI TERHADAP DAYA SAING PELANCONGAN KOMUNITI DI KELANTAN

TRANSFORMASI DIGITAL DALAM PENGURUSAN HOMESTAY: IMPLIKASI TERHADAP DAYA SAING PELANCONGAN KOMUNITI DI KELANTAN

Inisiatif memperkukuh pembangunan pelancongan komuniti semakin dipertegaskan apabila Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui wakil pensyarah Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) telah menerima jemputan sebagai penceramah dalam Program Pemerkasaan Homestay Kubang Telaga anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC)

 

image-36.jpeg

Inisiatif memperkukuh pembangunan pelancongan komuniti semakin dipertegaskan apabila Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui wakil pensyarah Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) telah menerima jemputan sebagai penceramah dalam Program Pemerkasaan Homestay Kubang Telaga anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dengan kerjasama Homestay Inapdesa Kampung Kubang Telaga. Program ini mencerminkan sinergi antara institusi akademik, komuniti dan agensi kerajaan dalam usaha memperkukuh transformasi pengurusan inap desa, khususnya melalui adaptasi teknologi digital bagi meningkatkan daya saing pelancongan berasaskan komuniti.

Program yang diadakan di Homestay Kampung Kubang Telaga tersebut menghimpunkan pengusaha homestay, guru dan pelajar 3P, kakitangan MOTAC serta JKKN Negeri Kelantan. Seramai 12 orang pensyarah FHPK UMK turut hadir sebagai peserta dan pemerhati akademik bagi memperluas jaringan kolaborasi industri. Slot ceramah bertajuk “Pendigitalan Homestay di Kelantan: Memacu Pelancongan Era Digital” disampaikan oleh Ts. Dr. Fadhilahanim Aryani Abdullah yang menekankan kepentingan transformasi digital dalam pengurusan dan pemasaran homestay selaras dengan perkembangan pasaran penginapan global.

Antara isu kritikal yang diketengahkan meliputi kebergantungan kepada promosi tradisional, ketiadaan sistem tempahan dan pembayaran dalam talian, serta kelemahan komunikasi visual yang mengurangkan keterlihatan digital homestay. Bagi mengatasi cabaran tersebut, siri amalan terbaik diperkenalkan merangkumi penggunaan platform Online Travel Agency (OTA), pemanfaatan media sosial sebagai medium penceritaan pengalaman pelancongan, automasi komunikasi pelanggan, penggunaan pembayaran digital serta integrasi teknologi sokongan seperti penyelarasan kalendar tempahan dan pengurusan ulasan pelanggan.

Selain itu, Ketua Jabatan Hospitaliti Dr. Maizana Mat Nawi turut berkongsi kaedah penambahbaikan kualiti pengurusan premis meliputi aspek kebersihan, penyediaan ruang yang kondusif, serta penyampaian imej visual berkualiti tinggi. Program diteruskan dengan siri aktiviti sukaneka dan eksplorasi kawasan sekitar sebagai usaha mengenal pasti aset pelancongan semula jadi dan budaya setempat yang berpotensi dijadikan bahan promosi digital homestay Kampung Kubang Telaga.

Selain meningkatkan literasi digital, program ini turut memberi impak langsung kepada komuniti setempat khususnya pengusaha inap desa. Melalui latihan dan pendedahan kepada teknologi digital, pengusaha mampu mempelbagaikan strategi pemasaran, memperluas capaian pelanggan, serta meningkatkan kadar tempahan melalui platform dalam talian. Penggunaan sistem tempahan digital dan pembayaran tanpa tunai berupaya meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan risiko transaksi tunai, dan memudahkan penyelarasan logistik penginapan.

Program ini juga membantu pengusaha memahami keperluan standard kualiti hospitaliti, seperti kebersihan, pengalaman pelanggan dan pengurusan ulasan, yang mempengaruhi reputasi dalam talian serta kepercayaan pelancong. Sokongan pensyarah dan pakar hospitaliti membuka peluang kolaborasi jangka panjang bagi tujuan pemantauan prestasi, pembangunan modul latihan berterusan, serta peningkatan kompetensi keusahawanan komuniti.

Secara tidak langsung, pengukuhan ekosistem digital dalam operasi homestay dapat merangsang ekonomi setempat melalui peningkatan aliran pelancong, penggunaan perkhidmatan sokongan dan perniagaan komuniti, serta pewujudan peluang pekerjaan baharu kepada belia kampung. Pendekatan ini mempercepat usaha merealisasikan pelancongan komuniti pintar dan mapan, sekali gus memperkasakan kapasiti pengusaha inap desa untuk bersaing dalam industri pelancongan digital yang semakin mencabar.

Penglibatan UMK dalam program ini memperlihatkan komitmen berterusan universiti terhadap pemindahan ilmu dan kepakaran akademik kepada komuniti melalui pendekatan pelancongan inklusif dan lestari. Secara tidak langsung, usaha ini membuka ruang kepada kolaborasi penyelidikan berasaskan komuniti, pembangunan modul latihan pendigitalan homestay dan potensi inovasi pelancongan mampan yang memanfaatkan teknologi serta warisan budaya tempatan.

Di samping latihan pendigitalan, program ini turut mengintegrasikan aktiviti berasaskan komuniti yang menonjolkan keunikan kehidupan desa kepada para peserta, khususnya dalam konteks pelancongan pengalaman (experiential tourism). Antara aktiviti yang diperkenalkan termasuk demonstrasi menoreh getah oleh penduduk setempat, aktiviti menanam pokok, serta penerokaan kawasan kebun sekitar homestay yang menjadi sumber rezeki utama komuniti.

Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memberikan pengalaman autentik kepada pelancong, tetapi juga membantu pengusaha homestay menstruktur produk pelancongan komuniti yang bernilai tambah. Program turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai bagaimana aktiviti agro-pelancongan dapat dijadikan naratif pemasaran digital, misalnya melalui penceritaan visual (visual storytelling), rakaman video pengalaman, atau penjenamaan semula pakej penginapan berasaskan aktiviti desa.

Melalui integrasi aktiviti komuniti ini, program bukan sahaja mempelbagaikan pengalaman pelancong, malah memupuk hubungan sosial antara pelawat dan komuniti, menggalakkan penyertaan belia dalam sektor pelancongan desa, serta memperkukuh kelestarian ekonomi tempatan melalui pewujudan peluang perniagaan baharu berasaskan sumber desa. Pendekatan ini seiring dengan konsep pelancongan bertanggungjawab dan berasaskan komuniti, yang menekankan penglibatan aktif penduduk dalam memajukan pendapatan dan warisan budaya setempat.

image-37.jpeg

Secara keseluruhannya, program ini merupakan langkah strategik mengarusperdanakan konsep Smart Community Tourism melalui pendigitalan sistem pengurusan dan pemasaran homestay. Pendekatan ini diyakini dapat meningkatkan keterlihatan destinasi pelancongan desa Kelantan di pasaran digital, di samping memperkasa keusahawanan pelancongan komuniti sejajar aspirasi pembangunan pelancongan negara dan mandat UMK sebagai universiti berteraskan komuniti dan keusahawanan.