Artikel ini bukan sekadar berkaitan kewangan, tetapi lebih besar daripada itu iaitu bagaimana kita mengurus kehidupan melalui pengurusan nafsu.
Bila kita bercakap tentang masalah kewangan masyarakat hari ini, kebanyakan orang menyangka ia berpunca daripada gaji kecil semata-mata. Tetapi hakikatnya, ramai juga yang bergaji besar tetap menghadapi masalah hutang, tekanan hidup, pembaziran dan ketidakbahagiaan.
Maka persoalannya: Mengapa perkara ini berlaku?
Jawapannya kerana masalah kewangan bukan hanya isu ekonomi, tetapi juga isu spiritual dan psikologi manusia.
Dalam Islam, punca utama ketidakseimbangan manusia sering dikaitkan dengan “nafsu”. Nafsu bukan semuanya jahat. Nafsu adalah dorongan dalam diri manusia. Tetapi jika tidak dikawal, ia boleh membawa kepada kerakusan, pembaziran dan ketidaktenangan hidup.
Oleh itu, artikel ini bertujuan melihat bagaimana 7 tahap nafsu memberi kesan langsung kepada cara manusia berbelanja, mengurus wang dan membuat keputusan kewangan.
Pengenalan: Hubungan Nafsu dan Kewangan
Setiap kali kita membeli sesuatu, sebenarnya ada dua perkara sedang berlaku:
- Transaksi ekonomi
- Pertarungan spiritual dalam diri manusia
Kadang-kadang kita membeli bukan kerana perlu, tetapi kerana:
- mahu dipandang hebat,
- mahu mengikut trend,
- mahu menenangkan emosi,
- atau mahu memuaskan ego.
Sebab itu ada orang:
- stres lalu pergi shopping,
- sedih lalu membeli makanan mahal,
- baru dapat gaji terus habis,
- membeli kerana FOMO,
- sanggup berhutang demi gaya hidup.
Semua ini berkait rapat dengan tahap nafsu manusia.
Imam al-Ghazali menyebut bahawa kejayaan manusia bukan sekadar menguasai dunia luar, tetapi menguasai dunia dalam dirinya sendiri.
1. Nafsu Ammarah: Nafsu yang mengajak kepada kejahatan
Allah SWT berfirman dalam Surah Yusuf ayat 53:
“Sesungguhnya nafsu itu sangat menyuruh kepada kejahatan…”
Nafsu Ammarah ialah tahap paling rendah. Pada tahap ini manusia dikuasai oleh kehendak dan impuls tanpa kawalan.
Dalam konteks perbelanjaan peribadi, individu yang berada pada tahap ini:
- membeli secara impulsif,
- boros,
- suka menunjuk-nunjuk,
- tidak memikirkan masa depan,
- sanggup berhutang demi kehendak.
Contohnya:
- beli telefon baru sedangkan telefon lama masih elok,
- berhutang kad kredit demi bercuti mewah,
- membeli kerana terpengaruh dengan TikTok atau influencer,
- “pay later” tanpa kemampuan sebenar (sehingga Dis. 2025, hutang Buy Now Pay Later (BNPL) di Malaysia mencatatkan baki tertunggak sebanyak RM4.9 bilion melibatkan 7.5 juta pengguna, dengan lebih 70% pengguna BNPL dilaporkan terdiri daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40)).
Mereka hidup berdasarkan slogan:
“Aku nak sekarang.”
Bukan:
“Aku mampu atau tidak?”
Industri pemasaran hari ini sangat memahami psikologi nafsu Ammarah.
Sebab itu iklan menggunakan:
- emosi,
- kecantikan,
- status,
- kemewahan,
- dan ketakutan untuk ketinggalan.
Akhirnya manusia membeli bukan kerana perlu tetapi kerana mahu merasa bernilai.
Sebab itu ada orang rumah kecil tetapi telefon RM7000.
Kereta mahal tetapi simpanan kecemasan tiada.
Gaya hidup nampak kaya tetapi jiwa sentiasa tertekan.
2. Nafsu Lawwamah: Nafsu yang mula menyesal
Tahap kedua ialah Nafs Lawwamah.
Pada tahap ini manusia mula sedar kesalahan diri dan menyesal selepas melakukan sesuatu.
Dalam kewangan, orang pada tahap ini biasanya:
- membeli secara emosional,
- kemudian menyesal,
- mula sedar hutang semakin banyak,
- mula rasa bersalah terhadap pembaziran.
Contohnya:
- selepas checkout daripada pembelian online, baru rasa menyesal,
- tengok bil kad kredit lalu stres,
- sedar duit habis tetapi tidak tahu ke mana.
Tahap ini sebenarnya baik kerana kesedaran sudah bermula.
Masalah terbesar manusia bukan melakukan kesalahan.
Masalah terbesar ialah apabila dia tidak merasa bersalah langsung.
Lawwamah ialah titik permulaan perubahan.
Ramai anak muda hari ini sebenarnya berada pada tahap ini. Trend kebankrapan dalam kalangan anak muda di Malaysia mencatatkan angka yang membimbangkan. Dilaporkan sebanyak 4,704 kes kebankrapan melibatkan individu berusia 34 tahun ke bawah direkodkan dalam tempoh lima tahun. Daripada jumlah keseluruhan kes kebankrapan nasional sejak kebelakangan ini, kira-kira 15% daripadanya berpunca daripada golongan muda.
Mereka tahu:
- gaya hidup mereka tidak sihat,
- hutang semakin meningkat,
- simpanan tiada,
- tetapi mereka terperangkap dalam budaya konsumtif (budaya konsumtif adalah kecenderungan seseorang atau masyarakat untuk membeli atau menggunakan barang dan perkhidmatan secara berlebihan, sering kali dipengaruhi oleh kemahuan atau gaya hidup berbanding keperluan sebenar).
Maka penyelesaiannya bukan hanya tambah pendapatan, tetapi mendidik jiwa.
3. Nafsu Mulhamah: Nafsu yang mendapat ilham kebaikan
Pada tahap ini manusia mula mendapat kesedaran dan ilham untuk berubah.
Mereka mula:
- belajar ilmu kewangan,
- menyusun bajet,
- membezakan keperluan dan kehendak,
- mula menyimpan,
- mula bersedekah.
Ini tahap penting dalam pembangunan diri.
Mereka mula bertanya:
- Adakah aku benar-benar perlukan ini?
- Adakah pembelian ini membawa manfaat?
- Apa kesan keputusan ini kepada masa depan aku?
Pada tahap ini seseorang mula:
- membaca buku kewangan,
- mengikuti ceramah kewangan Islam,
- belajar pelaburan,
- mengawal perbelanjaan.
Tetapi cabarannya ialah istiqamah.
Kerana nafsu Ammarah masih boleh datang semula.
Sebab itu kita lihat ramai orang:
- semangat menyimpan awal bulan,
- hujung bulan kembali boros.
4. Nafsu Mutmainnah: Jiwa yang tenang
Allah SWT berfirman: “Wahai jiwa yang tenang…” (Surah al-Fajr: 27)
Inilah tahap yang sangat indah.
Pada tahap ini, manusia tidak lagi diperhambakan oleh material.
Mereka berbelanja dengan tenang, bukan kerana tekanan sosial.
Ciri individu Mutmainnah:
- membeli berdasarkan keperluan,
- hidup sederhana,
- tidak berlumba kemewahan,
- tidak iri hati,
- tenang walaupun orang lain lebih kaya.
Orang yang tenang tidak semestinya kaya.
Tetapi orang yang tamak tidak akan pernah cukup walaupun kaya.
Nabi Muhammad SAW mengajar konsep qanaah iaitu rasa cukup.
Hari ini ramai orang memiliki:
- rumah besar,
- kereta besar,
- pendapatan besar,
tetapi hati kecil dan jiwa sempit.
Sebaliknya ada orang sederhana tetapi hidup bahagia kerana hatinya tenang.
Tahap Mutmainnah melahirkan pengguna yang bijak.
Mereka bertanya:
Adakah ini membawa keberkatan?
Bukan sekadar:
Adakah aku mampu membelinya?
5. Nafsu Radiyah: Jiwa yang reda kepada Allah SWT
Tahap ini lebih tinggi.
Pada tahap ini manusia menerima ketentuan Allah SWT dengan reda.
Dalam aspek kewangan:
- mereka tidak iri melihat rezeki orang lain,
- tidak tertekan dengan media sosial,
- tidak memaksa diri hidup mewah,
- tidak menjadikan harta sebagai ukuran maruah.
Mereka faham:
Rezeki bukan sekadar jumlah wang, tetapi keberkatan.
Hari ini media sosial menyebabkan manusia sentiasa membandingkan hidup.
Kita melihat:
- orang bercuti,
- beli kereta baru,
- rumah besar,
- gaya hidup mewah.
Akhirnya kita rasa hidup kita tidak cukup.
Padahal yang dipamerkan hanyalah highlight kehidupan, bukan realiti sebenar.
Ramai orang kelihatan kaya di Instagram tetapi sebenarnya dibebani hutang.
Orang yang berada pada tahap Radiyah tidak mudah terpengaruh dengan tekanan sosial ini.
6. Nafsu Mardhiyyah: Jiwa yang diredai Allah SWT
Tahap ini lebih tinggi lagi.
Bukan sahaja manusia reda kepada Allah SWT, tetapi Allah SWT reda kepadanya.
Dalam kewangan, mereka melihat harta sebagai amanah dan alat untuk memberi manfaat.
Mereka menggunakan wang untuk:
- membantu keluarga,
- pendidikan,
- sedekah,
- wakaf,
- pembangunan masyarakat.
Mereka tidak obses mengumpul harta semata-mata.
Sebaliknya mereka bertanya:
Apa manfaat hartaku kepada orang lain?
Dalam Islam, kejayaan kewangan bukan sekadar:
- banyak aset,
- banyak wang,
- banyak kemewahan.
Tetapi sejauh mana harta itu mendekatkan kita kepada Allah SWT dan memberi manfaat kepada manusia.
Sebab itu orang kaya yang dermawan lebih mulia daripada orang kaya yang sombong.
7. Nafsu Kamilah: Jiwa yang sempurna dan seimbang
Tahap tertinggi ialah Kamilah. Dalam perbahasan ilmu tasawuf, Nafsu Kamilah (nafsu yang sempurna) adalah darjat atau maqam nafsu yang paling tertinggi. Martabat ini merupakan eksklusif dan hanya dianugerahkan khusus kepada para Nabi dan Rasul sebagai tanda kesempurnaan makrifat mereka kepada Allah SWT.
Walaupun ia adalah darjat kenabian, terdapat perincian yang lebih lanjut mengenainya:
a) Sifat Nafsu Kamilah: Ia adalah jiwa yang telah suci sepenuhnya daripada sifat-sifat keji. Segala gerak-geri, ibadah, dan tindakan mereka secara automatik selari dengan keredaan Allah SWT dan tidak lagi terdorong oleh hasutan syaitan.
b) Had Manusia Biasa (Wali & Ulama): Menurut majoriti ulama tasawuf, manusia biasa (termasuk para wali atau orang soleh) hanya mampu mencapai tahap tertinggi setakat Nafsu Mardhiah (peringkat keenam).
c) Tujuan Mendidik Nafsu: Walaupun manusia tidak boleh mencapai tahap para Nabi secara mutlak, umat Islam sentiasa didorong untuk melalui proses mujahadah melawan nafsu (dari Ammarah ke Lawwamah, Mulhamah, Mutmainnah, Radhiah, dan Mardhiah) agar sentiasa dekat dengan Allah SWT.
Para Nabi dan Rasul ada yang menguasai harta, tetapi mereka tidak diperhambakan oleh harta.
Para Nabi dan Rasul boleh kaya tanpa takbur. Boleh miskin tanpa hina diri.
Mereka melihat wang hanya sebagai alat ibadah.
Pada tahap ini:
- perbelanjaan dipandu hikmah,
- keputusan kewangan dipandu iman,
- kekayaan digunakan untuk maslahat umat.
Masalah dunia hari ini bukan kekurangan sumber.
Tetapi ketamakan manusia.
Jika manusia mampu mengawal nafsu:
- rasuah berkurang,
- pembaziran berkurang,
- hutang isi rumah berkurang,
- jenayah kewangan berkurang.
Maka pembangunan sebenar bukan sekadar pembangunan ekonomi, tetapi pembangunan jiwa.
Cabaran Semasa: Nafsu dalam Era Digital
Hari ini cabaran lebih besar kerana kita hidup dalam ekonomi digital.
Aplikasi e-wallet, flash sale, live shopping dan algoritma media sosial semuanya direka untuk merangsang nafsu membeli.
Dulu orang perlu pergi kedai untuk berbelanja.
Hari ini:
- tekan satu butang,
- barang sampai depan rumah.
Maka disiplin diri menjadi lebih penting.
Kajian menunjukkan pembelian tanpa tunai menyebabkan manusia kurang merasa ‘sakit’ ketika berbelanja berbanding penggunaan wang fizikal.
Sebab itu ramai tidak sedar wang keluar terlalu cepat.
Langkah Praktikal Mengawal Nafsu dalam Perbelanjaan
Saya ingin kongsikan beberapa langkah praktikal:
1. Bezakan keperluan dan kehendak
Tanya diri:
- Adakah ini perlu?
- Atau sekadar mahu?
2. Elakkan pembelian emosional
Jangan membeli ketika:
- marah,
- sedih,
- stres,
- terlalu gembira.
3. Gunakan kaedah ‘tunggu 24 jam’
Jika mahu membeli sesuatu yang mahal, tunggu sehari sebelum membuat keputusan.
4. Tetapkan bajet
Orang gagal kewangan bukan kerana kurang duit sahaja, tetapi kerana tiada perancangan.
5. Banyakkan sedekah
Sedekah melembutkan hati dan mengurangkan ketamakan.
6. Kurangkan perbandingan sosial
Tidak semua yang dipamerkan di media sosial adalah realiti.
7. Didik keluarga tentang kewangan
Anak-anak perlu belajar nilai wang sejak kecil.
Penutup
Kesimpulannya, pengurusan kewangan sebenarnya bermula daripada pengurusan nafsu.
Jika nafsu tidak dikawal:
- pendapatan sebesar mana pun tidak akan cukup.
Tetapi jika jiwa tenang:
- hidup sederhana juga boleh membahagiakan.
Akhirnya kita perlu bertanya kepada diri:
Adakah kita memiliki harta?
Atau sebenarnya harta memiliki kita?
Mudah-mudahan kita menjadi manusia yang:
- bijak berbelanja,
- tenang jiwa,
- dan diberkati rezekinya.
Saya akhiri dengan firman Allah SWT:
“Beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya, dan rugilah orang yang mengotorinya.”
(Surah al-Syams: 9-10).