Dalam usaha menangani cabaran kos pemakanan ternakan dan menyokong keterjaminan makanan, syarikat pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Eco U Vibe Enterprise, telah menganjurkan Bengkel Penghasilan Makanan Itik Penelur bertempat di UMK Kampus Jeli. Program berteraskan keusahawanan sosial ini mempertemukan mahasiswa daripada UMK Kampus Jeli dan UMK Kampus Kota bagi memupuk kemahiran amali dalam bidang penternakan dan pemindahan teknologi tepat guna (appropriate technology).
Bengkel ini menampilkan pendedahan ilmiah daripada pakar akademik, Ts. Dr. Suniza binti Mohd. Sukri, pensyarah UMK Kampus Jeli, yang menyampaikan ceramah mengenai kaedah formulasi nutrisi seimbang bagi ternakan itik. Selain kefahaman teori, para peserta turut menjalani latihan amali bagi penyukatan bahan dan peng e ndalian mesin pemprosesan makanan ternakan di makmal makanan UMK. Bagi menilai keberkesanan formulasi tersebut di lapangan, para peserta dibekalkan sampel makanan itik yang dihasilkan sendiri untuk diuji pada ternakan masing-masing.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Eco U Vibe Enterprise dalam mengaplikasikan model keusahawanan sosial, iaitu menghubungkan kepakaran akademik universiti dengan pembangunan kapasiti komuniti penternak tempatan.
PELUANG KERJASAMA STRATEGIK DAN PENYERTAAN PROGRAM
Menyedari impak positif pemindahan ilmu ini kepada industri agroteknologi tempatan, Eco U Vibe Enterprise berhasrat untuk memperluas pelaksanaan siri bengkel ini kepada komuniti penternak, persatuan belia, serta pihak luar yang berminat. Di samping itu, pihak syarikat turut mengalu-alukan sebarang bentuk kolaborasi strategik bersama agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan rakan korporat yang berhasrat melaksanakan projek pembangunan komuniti atau Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam sektor pertanian dan penternakan lestari.

Dr. Yusmazida Binti Mohd Yusoff
Dr. Zharif Bin Ramli
Mentor University to Community (UTC 3.0)
Universiti Malaysia Kelantan
+60 11-21952609
ecouvibe@gmail.com
yusmazida.my@umk.edu.my
zharif.r@umk.edu.my