KOTA BHARU, 15 September 2026 – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tampil memperkasakan agenda sosioekonomi generasi muda melalui pembentangan Kertas Kerja I bertajuk “Ekonomi Jingga: Menjana Peluang Pekerjaan Dalam Industri Kreatif Belia Negeri Kelantan” sempena Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Kelantan 2026 (Sidang II, Penggal 35, Sesi 2025–2026) yang berlangsung di Dewan Sri Makmur I, H Elite Design Hotel, Kota Bharu.
Sesi pembentangan rasmi mewakili UMK ini disampaikan oleh Dr. Yusmazida Binti Mohd Yusoff (Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan), dengan kerjasama Dr. Mohd Firdaus Bin Mohd Nasir (Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi), dan Prof. Dr. Mohammad Bin Ismail (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
Persidangan belia ini dipengerusikan bersama oleh YB Zamakhshari bin Muhamad (Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan) dan Dr. Wan Nur Ibtisam Binti Wan Ismail (Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan), serta turut dihadiri oleh En. Mohd Saipuddin bin Zakaria (Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan) dan saudara Khairul Azhar bin Kamaruzaman (Presiden Majlis Gabungan Belia Kelantan).
Menerokai Potensi Ekonomi Jingga & Aset Warisan Kelantan
Melalui pembentangan tersebut, Ekonomi Jingga didefinisikan sebagai ekosistem ekonomi yang menukarkan kreativiti, budaya, warisan, bakat, dan teknologi kepada produk, perkhidmatan, jenama, serta Harta Intelek (IP). Sektor ini merangkumi rantaian peranan yang luas, daripada pencipta idea, pereka, jurukamera, editor, pemasar digital, pengurus acara, hingga kepada pengurus platform dan akauntan kreatif.
Di peringkat antarabangsa, industri budaya dan kreatif menyumbang sebanyak 3.1% kepada KDNK global dengan nilai eksport mencecah US$1.4 Trilion. Di Malaysia pula, sektor kreatif menyumbang RM130.7 Bilion (6.8% daripada KDNK negara) dan menyerap 763.1 ribu guna tenaga. Sektor ini diiktiraf sebagai industri strategi High Growth, High Value (HGHV) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta diperkasa melalui penubuhan Majlis Ekonomi Jingga oleh Kementerian Komunikasi.
Negeri Kelantan mempunyai kelebihan tersendiri dengan kekayaan aset warisan seperti Dikir Barat, Wayang Kulit, Main Teri, Mak Yong, Batik, Songket, Ukiran Kayu, Wau, Rumah Kelantan Tiang 12, Perahu Kolek, serta seni gastronomi seperti Nasi Kerabu dan Budu. Menerusi Logik Transformasi 5C (Culture, Creativity, Capability, Commercialisation, Connection), kekayaan budaya ini dipindahkan ke dalam produk dan kandungan bernilai komersial tanpa menjejaskan keaslian identiti tempatan.
Mengubah Belia daripada Job Seeker kepada Value Creator
Strategi latihan dan pendedahan masa depan memerlukan perubahan pemikiran daripada sekadar mencari jawatan (job seeker) kepada pencipta nilai (value creator). Pembentangan UMK menggariskan pelan pelaksanaan menerusi:
- Pemanfaatan Infrastruktur Digital: Menggunakan 72 Pusat NADI di Kelantan serta teknologi tekno-kreatif (3D, AI, dan AR/VR) untuk membolehkan belia luar bandar menghasilkan kandungan dan mendokumentasikan warisan.
- Formula Latihan Praktikal: Mengaplikasikan nisbah 70% projek sebenar, 20% mentor industri, dan 10% teori bagi membina skills stack yang menggabungkan kemahiran kreativiti dan perniagaan.
- Pelbagai Laluan Kerjaya: Menyediakan fleksibiliti kerjaya menerusi kerja formal, freelance, usahawan mikro, dan perintis kolektif/koperasi.
Sasaran Strategik & KPI Utama 2030
Bagi memacu perkembangan Ekonomi Jingga secara bersasar di Kelantan, draf pelan tindakan membentangkan Pelan 12 Bulan dan Roadmap 2027–2030 yang disokong oleh 7 inisiatif utama (termasuk Masterplan Ekonomi Jingga, Creative Talent Hub, dan 1 Graduan 1 Portfolio Kreatif).
Antara sasaran KPI utama yang dibentangkan menjelang tahun 2030 merangkumi:
- 10,000 graduan atau belia dilatih dalam industri kreatif.
- 2,000 projek kreatif diterbitkan.
- 500 startup kreatif dibentuk.
- 300 projek pengkomersialan dan IP didaftarkan.
- 100 jenama tempatan sedia pasaran.
- 50 perniagaan menembusi pasaran ASEAN atau global.
Penganjuran MPBN ini menjadi platform penting dalam menyuarakan aspirasi belia serta memastikan syor daripada wakil akademik UMK dapat diserap ke dalam perancangan pembangunan sosioekonomi Negeri Kelantan.