• Fri, Oct 2026

MEMPERKASAKAN KOMUNITI DAN JATI DIRI SISWA SINERGI UMK DAN UPSI MENERUSI PROGRAM SEWATAN

MEMPERKASAKAN KOMUNITI DAN JATI DIRI SISWA SINERGI UMK DAN UPSI MENERUSI PROGRAM SEWATAN

Program SEWATAN yang dianjurkan oleh UPSI dengan kerjasama UMK bertujuan memperkasa jati diri mahasiswa menerusi penghayatan Adat Perpatih dan keusahawanan sosial. Program ini merangkumi aktiviti kampung angkat, bengkel keusahawanan, demonstrasi pemasaran digital, serta sesi kerohanian. Ia berjaya memindahkan ilmu dan memperkukuh hubungan universiti bersama komuniti luar bandar.

Menterjemahkan Agenda Semarak Siswa Madani dan Pemindahan Ilmu Komuniti

Program Semarak Siswa Madani: Merentas Ilmu Tanah Air (SEWATAN) merupakan satu inisiatif berimpak tinggi di bawah kerangka Semarak Siswa Madani (SSM) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia. Program ini telah dilaksanakan dengan jayanya pada 2 hingga 4 September 2025 bertempat di Perkampungan Budaya Terachi (Balairaya Tanjong Ipoh), Kampung Kuala Parit Terachi, Tanjong Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Penganjuran utama program ini diterajui oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP UPSI). Bagi menjayakan agenda pemakmuran luar bandar, UPSI telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerusi Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), di samping penglibatan institusi lain seperti Asia Pacific University (APU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Highlands International Boarding School, Persatuan Kraf, dan sekolah-sekolah tempatan. Kolaborasi berbilang institusi ini bertujuan memperkasakan komuniti luar bandar melalui aktiviti pendidikan, seni warisan, keusahawanan sosial, dan pemindahan ilmu berasaskan konsep ‘Kampung Angkat’

Sinergi Keusahawanan Sosial dan Pemindahan Ilmu Digital FKP UMK

Penglibatan UMK diserlahkan menerusi penyertaan dua orang pensyarah pengiring—iaitu Dr. Abdul Aziz Yaacob dan Dr. Yusmazida Mohd Yusoff—bersama lima orang usahawan pelajar FKP (Nur Faten Natasya Binti Mohd Pauzi, Nur Adriana Batrisyia Binti Jasmer, Muhammad Al Hakim Kamal Sharin, Normaisarah Binti Zahari, dan Aina Filzah Binti Mohd Zaidi). Penyertaan ini memfokuskan kepada aktiviti pemindahan ilmu berasaskan keusahawanan, selaras dengan Teras 6 Kebitaraan Keusahawanan Institut Keusahawanan UMK (UMKEI). Antara pengisian utama dan sesi pemindahan ilmu yang dikendalikan oleh delegasi FKP UMK merangkumi:

Perkongsian Inspirasi Usahawan Muda: Usahawan pelajar FKP, Aina Filzah Binti Mohd Zaidi, berkongsi kisah kejayaan dan pengalaman praktikal dalam pembangunan perniagaan kraf serta produk kreatif

Bimbingan Asas Perniagaan: Dr. Abdul Aziz Yaacob menyampaikan ceramah bertajuk "Tips Mula Bisnes dari Zero", yang memberikan panduan praktikal memulakan perniagaan modal rendah berasaskan strategi pengalaman sebenar. Demonstrasi Pemasaran Digital: Usahawan pelajar Nur Faten Natasya Binti Mohd Pauzi mengendalikan demonstrasi secara langsung penggunaan platform Shopee dan TikTok bagi promosi serta jualan dalam talian.

Penjenamaan Produk Warisan: Dr. Yusmazida Mohd Yusoff menyampaikan bimbingan penjenamaan produk tempatan yang memfokuskan kepada identiti jenama, pembungkusan, dan nilai tambah produk berasaskan warisan tempatan.

Booth Pemindahan Ilmu & Klinik Usahawan: UMK mengendalikan Booth Pemindahan Ilmu yang menyediakan sesi bimbingan 1:1 "Klinik Usahawan", jualan produk usahawan pelajar, kuiz keusahawanan, cabutan bertuah, serta pengedaran brosur penawaran program pengajian UMK kepada komuniti dan pelajar sekolah menengah

 

Penghayatan Adat Perpatih dan Pembangunan Sahsiah Mahasiswa

Membawa tema “Ilmu Merentasi Tanah Air”, Program SEWATAN berteraskan usaha memperkukuh jati diri dan kesedaran budaya mahasiswa menerusi penghayatan Adat Perpatih sebagai warisan kebangsaan. Pengisiannya dirangka secara holistik dengan menggabungkan aspek akademik, kerohanian, dan kemasyarakatan.  Para pelajar UMK dan peserta program terlibat secara aktif dalam:

Program Anak Angkat & Kemasyarakatan: Tinggal bersama keluarga angkat di Kampung Kuala Parit Terachi, menyertai aktiviti gotong-royong, rewang penyediaan makanan, sukaneka, serta acara simbolik tepung tawar dan demonstrasi pembuatan kuih tradisi Negeri Sembilan

Slot Kebudayaan & Adat Bicara: Sesi perkongsian bersama tokoh adat mengenai Adat Perpatih dan Adat Bicara bagi meningkatkan kefahaman mahasiswa tentang struktur sosial dan nilai tradisi

Slot Kerohanian & Sahsiah: Aktiviti kerohanian yang dijalankan di Surau Al-Ikhlas bagi membina sahsiah dan kepimpinan yang seimbang dari segi akademik, budaya, dan spiritual

 

Impak Berkelanjutan dan Peluang Kolaborasi Masa Hadapan

Penyertaan UMK dalam Program SEWATAN berjaya mencatatkan pencapaian positif dalam meningkatkan keterlihatan universiti, memperkasakan modal insan pelajar, serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi luar bandar. Walaupun berdepan kekangan logistik perjalanan, liputan internet yang terhad semasa demonstrasi digital, serta faktor cuaca hujan, keseluruhan objektif program tetap dicapai dengan jayanya

Bagi memastikan kesinambungan impak sosial ini, beberapa langkah penambahbaikan telah dicadangkan:

Penganjuran Bengkel Lanjutan: Mengadakan bengkel atau klinik perniagaan mikro susulan yang memfokuskan kepada pembangunan produk, pemasaran digital lanjutan, dan pengurusan kewangan asas

Kajian Kes Berstruktur: Melaksanakan penyelidikan susulan bagi menilai keberkesanan pemindahan ilmu serta mengukur impak sosial universiti terhadap komuniti

Peluasan Penyertaan Pelajar: Menambah bilangan penglibatan pelajar pada masa hadapan bagi memantapkan kelancaran program dan memperluas impak pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning)

UMK dan FKP sentiasa komited untuk meneruskan kolaborasi strategik bersama IPTA, agensi kerajaan, dan komuniti luar dalam usaha memartabatkan pendidikan keusahawanan sosial dan pembangunan lestari di seluruh negara