• Fri, Oct 2026

GENERASI SKROL ATAU GENERASI ILMU? CABARAN MOTIVASI PEMBELAJARAN MAHASISWA MASA KINI

GENERASI SKROL ATAU GENERASI ILMU? CABARAN MOTIVASI PEMBELAJARAN MAHASISWA MASA KINI

Media sosial seperti TikTok dan Instagram mengubah corak pembelajaran mahasiswa melalui kandungan ringkas dan pantas. Namun, budaya “skrol dan tonton” boleh mengurangkan fokus, penglibatan serta keupayaan berfikir kritis. Mahasiswa perlu bijak mengimbangi teknologi dengan pembelajaran akademik, pembacaan dan analisis mendalam. Ilmu bukan sekadar ditonton, tetapi perlu difahami, dinilai dan diaplik

“ Video 30 saat lebih mudah difahami daripada membaca artikel 30 muka surat”. Kenyataan ini merupakan satu gambaran corak pembelajaran generasi masa kini di dalam era digital ini. Era digital seperti Tik Tok, Instagram dan pelbagai platform media sosial dipenuhi dengan pelbagai suapan maklumat kepada pengguna platform dalam pelbagai perkara tanpa henti. Kaedah ini lebih digemari oleh pelajar kerana ia mengandungi kandungan ringkas dan kesimpulan daripada ketebalan buku hanya dijelaskan dengan video selama 30 saat Sahaja. Walaupun teknologi memudahkan proses pembelajaran, namun ia akan memberikan cabaran Baharu terhadap motivasi dan penglibatan pelajar dalam pendidikan tinggi. 

Perkara ini tidak dapat dinafikan kerana media sosial sememangnya menyediakan maklumat yang pantas di hujung jari Sahaja. Walaubagaimanapun, budaya pembelajaran secara “ skrol dan tonton” akan menyebabkan pelajar kurang memberi perhatian kepada bahan akademik yang memerlukan penelitian, analisis dan pemikiran kritis. Akibatnya, sesetengah pelajar  hanya bergantung kepada nota ringkas, slaid kuliah atau ringkasan yang diperoleh daripada internet tanpa benar-benar memahami konsep yang dipelajari.  

Antara kesan negatif keadaan ini ialah ia akan memberi kesan kepada penglibatan pelajar di dalam kelas. ada yang hadir secara fizikal tetapi kurang terlibat dalam perbincangan, leka dengan dunia sendiri, tidak fokus dalam aktiviti berkumpulan atau sesi soal jawab. Malahan, ada pelajar yang menggunakan telefon pintar ketika sesi pembelajaran berlaku dan ini akan menyumbang kepada ketidakfahaman pelajar terhadap ilmu yang disampaikan oleh pensyarah. 

Situasi ini sangat membimbangkan kerana sikap bergantung kepada maklumat segera boleh menjejaskan keupayaan pelajar untuk berfikir secara mendalam dan dapat menyelesaikan masalah yang kompleks. Perkara ini akan memberikan kesan kepada pelajar apabila mereka membuat latihan industri kerana sikap sebegini akan memudaratkan mereka kelak. Dunia pekerjaan memerlukan graduan yang mampu menganalisis, membuat keputusan dan menghasilkan idea yang kreatif. Kemahiran ini sememangnya tidak dapat dibelajar melalui pembacaan ringkas atau kandungan media sosial semata-mata. 

Namun begitu, penolakan terhadap teknologi tidak haru berlaku tetapi mahasiswa perlu bijak untuk mengimbangi penggunaan teknologi dengan pembelajaran akademik yang berkualiti. Diakui, media sosial merupakan satu medium pembelajaran yang sangat menarik, tetapi ia tidak seharusnya menjadi satu satunya medium untuk mahasiswa mencari maklumat. 

Sebagai mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan, kita perlu sentiasa memupuk semangat ingin tahu, minat membaca dan kesediaan untuk terus belajar. Ilmu yang mendalam tidak diperoleh melalui jalan pintas, tetapi melalui usaha yang berterusan. Dalam dunia yang bergerak pantas, mahasiswa yang berjaya bukanlah mereka yang paling banyak menonton, tetapi mereka yang paling banyak memahami, menilai dan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari.