• Fri, Apr 2024

UNISTARTR.COM, PLATFORM CROWDFUNDING PERTAMA WARGA INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI DI MALAYSIA

UNISTARTR.COM, PLATFORM CROWDFUNDING PERTAMA WARGA INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI DI MALAYSIA

Satu platform crowdfunding atau pendanaan awam telah berjaya dibangunkan oleh kumpulan pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan

Pendanaan awam merupakan salah satu alternatif baharu sumber kewangan kepada warga institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia, khususnya yang terlibat dengan aktiviti keusahawanan. Jika dahulu proses mendapatkan dana berkaitan aktiviti keusahawanan agak sukar diperolehi kerana sumber kewangan yang terhad, kini dengan adanya platform ini akan merapatkan jurang kewangan tersebut. 

Bagi mereka yang masih belum mengetahui atau kurang memahami tentang pendanaan awam, ianya bermaksud “amalan mendapatkan sebilangan besar orang (komuniti dalam talian) untuk masing-masing memberikan sejumlah kecil wang kepada keperluan kewangan sesebuah projek, biasanya menggunakan internet”. Jika diperhatikan, konsep pendanaan awam bukan satu benda baru tetapi dengan adanya kemudahan internet dan Web 2.0, telah memberikannya nafas baharu dengan penglibatan komuniti dalam talian. Setiap orang yang mempunyai akses kepada internet, tidak kira dari negara manapun boleh menyumbang kepada mana-mana projek yang mereka suka, menjadikannya semakin digemari oleh mereka yang bermindakan keusahawanan. 

Warga IPT perlu memanfaatkan kemudahan platform ini kerana potensi pendanaan awam adalah sangat tinggi. Sebagai contoh, laporan industri pendanaan awam yang dikeluarkan oleh Universiti Cambridge, telah menyaksikan sejumlah USD 304.5 bilion jumlah transaksaksi telah direkodkan di seluruh dunia pada tahun 2018. Di Malaysia pula, sejumlah RM127.73 juta transaksi telah berlaku pada tahun 2020 (sumber: The Edge Market). Jumlah transaksi ini juga diramalkan akan mengalami pertumbuhan dari tahun ke setahun. Ini menunjukkan jumlah wang yang telah berjaya diperolehi oleh usahawan diseluruh dunia termasuk Malaysia adalah sangat besar, dan peluang untuk terlibat dan berjaya mendapatkan dana aktiviti keusahawanan melalui pendanaan awam juga adalah tinggi. Oleh yang demikian, platform yang dibangunkan ini juga dijangka akan menarik warga IPT untuk menggunakannya, selari dengan aspirasi kerajaan Malaysia. 

Akhir sekali, ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Universiti Malaysia Kelantan melalui Institut Keusahawanan UMK, dan juga Kementerian Pengajian Tinggi kerana telah menyokong pembangunan platform ini. Dengan adanya platform ini, diharap warga IPT terutamanya dikalangan pelajar boleh menggunakan platform tersebut untuk mendapatkan dana daripada orang ramai untuk merealisasikan idea atau projek keusahawanan mereka. Platform tersebut boleh dicapai melalui pautan https://unistartr.com.