Isu adab dan tingkah laku pelajar ketika berkomunikasi dengan para pensyarah sudah semakin kerap diperkatakan. Namun, isu ini seolah-olah tiada jalan penyelesaian malahan semakin meruncing dalam kalangan pelajar terutamanya di peringkat universiti.
Artikel ini berkongsi beberapa idea dan cadangan yang mungkin boleh dijadikan panduan dan rujukan kepada pelajar ataupun mahasiswa universiti untuk membentuk dan menjaga adab semasa berkomunikasi dengan pensyarah.
Adab ketika berada di dalam kelas:
- Datang awal ke kelas/kuliah sekurang-kurangnya 10 minit sebelum kelas bermula.
- Memakai pakaian yang sopan, kemas dan yang bersesesuaian. Pelajar boleh rujuk garis panduan pemakaian yang telah digariskan oleh pihak universiti.
- Sekiranya kelas diadakan secara atas talian, pelajar juga wajib berpakaian kemas, sopan dan menutup aurat seolah-olah menghadiri kelas secara fizikal.
- Tunjukkan minat untuk belajar dan ingin tahu sesuatu topik, walaupun minda anda sudah melayang ke kedai makan!
- Jika mengantuk boleh minta izin dari pensyarah untuk keluar kelas sekejap.
- Sekiranya ada topik yang kurang jelas, boleh minta pensyarah untuk terangkan atau dapatkan bantuan rakan lain. Pelajar juga boleh berjumpa dengan pensyarah selepas sesi kuliah tamat.
Adab ketika berjumpa dengan pensyarah (di luar waktu kuliah):
- Set masa perjumpaan dengan pensyarah.
Dapatkan persetujuan pensyarah tentang masa yang sesuai untuk berjumpa dan nyatakan juga tujuan perjumpaan tersebut supaya pensyarah boleh membuat persiapan lebih awal. - Patuhi masa yang telah ditetapkan untuk perjumpaan. Jangan biarkan pensyarah anda tertunggu-tunggu kehadiran anda.
Pengalaman penulis semasa menuntut di sebuah universiti di Scotland, sekiranya temujanji adalah pada pukul10 pagi, maka pintu bilik pensyarah akan terbuka luas menunggu kehadiran pelajar sebelum pukul 10. Namun, sekiranya pelajar lewat 10 minit dari masa yang telah dipersetujui, pensyarah akan menutup pintu bilik beliau hampir sepenuhnya menandakan anda tidak menepati masa! - Pastikan nama pensyarah dan bilik pensyarah adalah betul.
Setiap semester pasti ada pelajar yang lupa nama pensyarah yang mereka ingin jumpa. Maka keluar lah beberapa versi nama pensyarah tersebut. Ini bukan kisah dongeng! - Ketuk pintu bilik pensyarah, beri salam dan tunggu maklumbalas/isyarat dari pensyarah sebelum masuk.
Ramai pelajar tidak sabar untuk berjumpa dengan pensyarah dengan terus membuka pintu bilik pensyarah tanpa diberi keizinan oleh pensyarah tersebut. Pelajar perlu memberi ruang kepada pensyarah untuk bersiap sedia. Usah terburu-buru! - Jaga kelakuan dan tingkah laku semasa di dalam bilik pensyarah dan hormat rakan-rakan pensyarah lain (sekiranya pensyarah berkongsi bilik atau ruang pejabat dengan pensyarah lain atau sekiranya pensyarah tersebut didatangi tetamu yang lain).
- Setelah selesai perjumpaan, ucapkan terima kasih kepada pensyarah dan beredar dengan segera.
Adab menghantar mesej melalui emel atau aplikasi whatsapp:
- Kenalkan diri anda seperti nama, kelas dan kursus yang diambil pada semester semasa.
Psst: pensyarah tidak mampu nak ingat semua nama pelajar. - Nyatakan dengan jelas tujuan anda menghantar mesejatau emel tersebut.
Ada pelajar yang menghantar mesej melalui whatsapp dengan menaip ‘salam’ dan tiada mesej susulan. Sekiranya pelajar diminta untuk menghantar tugasan atau sijil cuti sakit melalui emel, jangan biarkan subjek emel kosong dan sepi tanpa kata-kata. - Pilih perkataan yang bersesuaian dan elak daripada menggunakan perkataan ringkas.
- Waktu yang sesuai untuk berkomunikasi dengan pensyarah adalah semasa waktu bekerja iaitu kebiasaannya di antara pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang (bergantung kepada pensyarah tersebut).